14.1.11

Tambang Murah

No comments :
Tempohari, sebuah kapal terbang AirAsia terbabas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. Katanya ia terbabas kerana mendarat dalam hujan yang sangat lebat. Akibat daripada kejadian tersebut, banyak penerbangan dari dan ke Kuching terpaksa dibatalkan.

Ada juga dakwaan aku baca dalam blog bahawa AirAsia tidak mengamalkan langkah-langkah keselamatan penerbanan yang betul. Malah ada yang mempersoalkan syarikat AirAsia dan pemiliknya sendiri, Tony Fernandes. Ini banyak datang dari blog politik tertentu yang menunding jari kepada hubungan Tony Fernandes dengan beberapa orang ahli politik yang tidak disukai mereka.

Aku sendiri cuma baru beberapa kali menggunakan perkhidmatan AirAsia. Pertama kali pada tahun 2006 untuk perjalanan ke Miri. Kali terakhir aku guna AirAsia atas waran kerajaan bagi satu tugasan di Kuching, hujung Disember lalu. Aku tidak hadapi banyak masalah dengan AirAsia. Mungkin kerana aku tidak letakkan ekspektasi tinggi terhadap mutu layanan dan kualiti perkhidmatan mereka. Kita sendiri tahu dari segi kualiti, mereka masih jauh untuk bersaing dengan MAS.

Cuma kita perlu ingat, bila kita guna perkhidmatan tambang murah, kita jangan harap kita dapat perkhidmatan kualiti hotel lima bintang atau seperti dipandu dalam limosin. Tempat duduk pasti sempit. Makanan perlu bayar kerana semasa kita beli tiket, ianya tidak termasuk dengan harga makanan. Kalau mahu makan 'percuma' dalam kapal terbang (sebab mungkin selalu menonton filem yang ada adegan makan dalam kapal terbang), sila guna MAS atau mana-mana syarikat penerbangan 'full-service'.

Rakan-rakan di pejabat ramai yang menggunakan AirAsia untuk ke destinasi mereka. Ada yang tidak sabar menunggu waktu AirAsia menawarkan harga murah untuk membeli tiket ke Bandung atau balik kampung di Malaysia Timur. Aku tidak pernah dengar mereka merungut dengan perkhidmatan yang diberikan. Maklumnya, hampir semua rakan di unit/bahagian aku ini pernah menaiki MAS dan tahu bagaimana bezanya kualiti perkhidmatan mereka. Jadi, bila naik AirAsia yang awal-awal lagi jelaskan bahawa mereka adalah sebuah syarikat penerbangan tambang murah, tidak perlulah kita harap yang bukan-bukan. Ideanya adalah untuk sampai ke sesuatu destinasi dengan pantas dan murah.

Kadang-kadang aku hairan dengan kritikan orang terhadap rasional kewujudan AirAsia. Aku bukan penyokong kuat AirAsia walaupun secara jujur, aku hargai kewujudannya. Mereka yang kritik, kalau tidak suka, sila beritahu apa alternatif lain untuk orang ramai bergerak dengan mudah ke sesuatu destinasi? MAS? Mereka mungkin lebih suka naik MAS kerana mereka mampu. Tetapi ramai antara kita yang tidak mampu beli tiket MAS. Kalau ada alteranatif lain, mungkin orang boleh buat pilihan. Tetapi setakat ini syarikat tambang murah lain seperti FireFly mempunyai rangkaian penerbangan yang terhad.

Berbalik kepada berita kapal terbang AirAsia yang terbabas. Ini bukan kejadian pertama. Sudah ada beberapa kejadian yang sama sebelum ini. Aku fikir AirAsia patut memberi penekanan yang lebih serius dalam menangani keselamatan penerbangan mereka. Ianya melibatkan nyawa manusia. Jangan sampai ada nahas buruk yang berlaku kelak.

Orang ramai akan terus menggunakan AirAsia walaupun ada kritikan daripada beberapa pihak. Ini kerana buat masa ini, hanya AirAsia mampu membawa orang ramai ke destinasi yang sungguh meluas dengan harga paling minima. Keselesaan perkara kedua. Orang lebih pentingkan destinasi yang dituju, bukan makanan dalam kapal terbang. Lagipun, semasa aku dihidangkan secara percuma nasi ayam di dalam penerbangan AirAsia tempohari, aku fikir rasa makanan itu sudah cukup sedap tetapi masih tidak sehebat nasi ayam arwah Pak Ngah aku suatu ketika dulu.

No comments :

Post a Comment