17.7.15

Selamat Hari Raya Aidilfitri


3.7.15

Secoret Kenangan Buat Masa Hadapan

Ramadan sudah separuh dilalui. Aku masih belum kurus. Nampaknya makin tua, metabolisme makin kurang. Melainkan aku senaman. Timbul masalah. Aku tidak bersenam, kecuali buat kerja-kerja rumah sekali sekala.
Kasut sukan New Balance aku sudah lama dibuang kerana tapaknya sudah tertanggal. Bila aku beli kasut tersebut? Rasanya hampir 10 tahun. Aku perlu dapatkan kasut sukan baru. Lepas raya ini aku ada dua bulan untuk bersenam tanpa perlu risau balik awal ke rumah lepas kerja. Anak isteri akan bercuti di kampung sepanjang tempoh itu.

Ogos nanti aku menanti kehadiran anak kedua, inshaAllah. Lelaki. Jadi cukup sepasang. Syukur. Tidak ada apa yang lebih bermakna dari semua ini. Aku akan cuba sebaik mungkin untuk membesarkan mereka agar menjadi insan yang baik.

Qaseh pun sudah semakin besar dan makin 'banyak akal'nya. Makin bijak dan petah berkata-kata. Ada waktu terasa seperti tidak terkejar proses pembesaran Qaseh. Ada saja perkara baru yang dipersembahkan kepada mama dan papanya setiap hari.


Tempohari ketika aku sedang makan salad di meja makan, Qaseh datang melihat. Ada sepinggan kuay teow goreng yang digoreng khusus untuk Qaseh di meja. Mulanya Qaseh hanya makan bebola ikan yang dicampur di dalam kuay teow sahaja. Sambil makan, dia bernyanyi lagu kanak-kanak yang dihafalnya. Kemudian diajaknya aku bernyanyi bersama. Maka aku dan Qaseh menyanyi di meja makan. Aku berhenti sekejap dan aku kata kepada Qaseh yang aku mahu menjamah makanan. Dia ikut apa yang aku buat.

"Papa nak makan jap la..."
"Qaseh nak makan jap la..."

Lalu diambilnya kuay teow dan dimasukkan kemulutnya. Kemudian kami sambung menyanyi. Setiap kali habis satu rangkap, kami berhenti untuk makan. Seterusnya hingga hampir habis sepinggan kuay teow. Kami makan dan bergembira dalam masa sama. 

Aku tidak tahu bila lagi kami akan buat benda begitu lagi. Cukuplah aku coretkan di sini agar menjadi kenangan buat aku dan mungkin juga Qaseh suatu masa nanti.

18.6.15

Cerita Hal Sampah



Secara jujurnya, aku seorang designer amatur. Tidak ada pendidikan secara rasmi. Aku belajar sendiri. Selongkar maklumat di mana saja untuk memahirkan diri aku. Hendak dikata mahir, jauh sekali. Tambahan pula aku rabun warna jadi mungkin tidak akan mahir seperti orang lain.

Tapi bila aku design sesuatu, poster contohnya, aku sangat menitik berat mengenai apa yang aku design. Aku ambil berat dengan warna yang aku guna kerana aku mahu memastikan sesiapa saja boleh melihatnya tanpa sebarang masalah. Aku ambil berat dengan penggunaan typeface (font) kerana aku mahu orang mudah membacanya dari sudut mana pun ianya dilihat. Aku ambil berat penampilan keseluruhan termasuk dari segi bahasa.

Bila sebuah poster promo produk pejabat aku dipapar di laman media sosial rasmi pejabat, aku jadi terkilan. Pertamanya, design sangat buruk. Ianya caca marba tanpa peduli kesan dan impak kepada pembaca. Maksudnya ikut sedap orang yang buat saja. Lebih menyakitkan hati bila tatabahasa yang digunakan salah dan tidak bersesuaian langsung. Ini tidak lebih daripada menggunakan Google Translate untuk menterjemah maksud dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Sudah berapa kali kita buat silap yang sama di pejabat-pejabat kerajaan? Terlalu banyak. Tidak reti nak sedar lagi ke?

Ini salah satu ciri-ciri kerja sambil lewa dan bodoh sombong. Bila tidak tahu tetapi buat-buat tahu. Bila tidak tahu tetapi tidak mahu bertanya kepada yang lebih tahu. Nasib baik aku sedar awal sebelum orang komplen.

Benda macam ini selalu buat aku kecewa bila buat kerja design di pejabat-pejabat kerajaan sebab ada orang yang perasan boleh buat design juga dan menghasilkan benda seperti ini. Sampah.

4.6.15

Dua Bulan Dari Sekarang



Sudah Jun, 2015.

Pantasnya masa berlalu.

Tinggal lagi dua bulan, inshaAllah cahaya mata kedua kami akan hadir di dunia ini. Semoga dipermudahkan segala urusan.

Kalau ditanya Qaseh, dia tidak kisah. Malah dia sebenarnya sukakan bayi. Dia akan cuba belai dan cium jika ada kesempatan. Aku pasti Qaseh akan jadi seorang kakak yang baik.

Tidak banyak persediaan yang kami buat untuk menyambut cahaya mata baru nanti. Hampir barang keperluan sudah ada dan masih dalam keadaan baik. Mungkin cuma perlu dibeli beberapa helai baju baru sahaja.

Ramadan pun bakal tiba tidak lama lagi. Tahun ini kami berdua membeli keperluan hari raya lebih awal. Zura sudah semakin sarat dan tidak mungkin mampu menempuh sesak orang ramai nanti. Jadi biarlah bersedia dari awal.

Aku sendiri tidak akan beli baju melayu baru. Aku akan pakai baju melayu yang sudah berusia lebih 5 tahun. Aku tidak mahu membazir. Baju melayu raya tahun lepas pun tidak pernah disentuh sejak raya tahun lepas. Jadi tahun ini pakai saja apa yang ada dan semuanya masih elok dan selesa. Cuma Zura dan Qaseh sahaja yang akan membeli baju baru. Tidak mengapa. Baju mereka jauh lebih murah dari sepasang baju melayu orang lelaki.

Tinggal lagi dua bulan. Tidak sabar menunggu kelahiran cahaya mata kedua kami nanti.

Syukur.

8.5.15

Makan


Hidup kami sekeluarga di rumah sentiasa santai. Zura bila balik dari kerja tidak terburu-buru untuk sediakan bermacam lauk untuk dimakan. Sebaliknya aku lebih senang biarkan Zura masak makanan yang paling mudah dimasak. Sama ada bihun goreng, nasi goreng atau sekadar roti dengan salad, itu sudah mencukupi untuk kami sekeluarga mengalas perut.

Namun sekali sekala Zura hidangkan kami dengan masakan yang istimewa. Semalam kami makan Salmon goreng yang diserikan dengan kentang lenyek, sayur kobis dan asparagus. Semuanya homemade. Itu yang terbaik.

Jika ada kesempatan waktu terutama di hujung minggu, Zura akan sediakan laksa, makanan kegemaran kami berdua. Jika terlebih rajin, mungkin ada nasi lemak atau laksam Kedah. Semuanya sangat menyelerakan.

Ada waktunya bila balik dari kerja, Zura mengadu kepenatan setelah seharian bekerja di pejabat, aku sering beritahu dia tidak perlu masak apa-apa. Cukuplah sekadar ada roti dengan kaya atau peanut butter. Ianya sudah memadai.

Lain pula dengan selera Qaseh. Qaseh sejak dari kecil sangat sukakan sup. Sup kosong pun sudah memadai. Jadi kadang-kadang Zura akan sediakan stok sup yang mencukupi untuk beberapa hari. Kalau tidak ada pun, tidak susah buat sup ringkas untuk Qaseh nikmati. Mungkin dari pengaruh luar, dia sekarang suka juga makan nasi dengan kicap. Zura akan tambah telur goreng untuk sumber protein atau isi ikan. Qaseh sendiri lebih sukakan ikan berbanding ayam. Malah ikan pekasam pun sudah menjadi kegemaran dia.

Tiba waktu tertentu, Qaseh akan jadi kemaruk untuk makan roti dengan kaya. Kadang-kadang beberapa dia minta beberapa keping dalam satu masa dan semuanya dihabiskan. Tapi kurusnya tetap begitu. Mungkin kerana dia sangat aktif sepanjang masa. Tidak mengapalah. Asalkan Qaseh sihat.

Kalau kami makan di luar, ada beberapa tempat menjadi destinasi kegemaran kami. Paling utama adalah Cafe Strawberry Field di Petaling Jaya (PJ State). Ianya kafe yang menyedia pelbagai juadah makanan baik dari barat, melayu atau cina. Semua ada. Semuanya menyelerakan. Malah tomyum di situ juga sangat sedap.

Harga agak berpatutan dan suasana yang santai dengan dekorasi muzikal. Paling menarik di Cafe Strawberry Field ini adalah keragaman pengunjungnya. Semua bangsa ada di situ dalam masa yang sama. Ianya melting pot dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika anda belum pernah ke sana dan hendak mencuba, rujuk peta di bawah untuk lokasinya.


View Larger Map

Alamatnya pula adalah seperti berikut;

Strawberry Cafe
Jalan Tengah, PJ New Town, 46050 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia ‎

Aku cadangkan anda mencuba Tomyum, Cantonese Kuay Teow atau mana-mana masakan baratnya. Cuba apa saja. Ianya tidak akan mengecewakan.

Selamat berhujung minggu.

7.5.15

Permainan Komputer - OpenTTD

Walaupun aku sudah berusia 40 tahun, aku masih berminat dengan permainan komputer (PC Games). Anehnya, sejak dulu aku tidak pernah minat dengan games bercorak ganas dan seram yang popular. Paling ekstrem adalah Unreal Tournament dan aku bermain tersebut kerana waktu aku bekerja di sebuah Cyber Cafe. Sebaliknya aku lebih berminat kepada games berbentuk strategi dan simulation.

Games yang aku masih main dari dulu hingga kini adalah Transport Tycoon Deluxe, Civilization, SimCity dan Football Manager. Aku sedang sibuk bermain OpenTTD iaitu Transport Tycoon Deluxe versi open platform yang dibangunkan oleh peminat games asal tersebut. Jadi untuk kali ini aku akan ceritakan mengenai OpenTTD.

OpenTTD


OpenTTD adalah games pengurusan pengangkutan di mana kita bertanggungjawab untuk mengendali sebuah syarikat pengangkutan yang boleh beroperasi menggunakan apa saja bentuk pengangkutan di darat, laut dan udara. Tugas utama kita adalah untuk menyediakan pengangkutan dari poin A ke poin B dengan mengangkut manusia atau barang demi mengaut keuntungan. Games ini dicipta oleh Chris Sawyer pada penghujung tahun 80an lagi.

Apa menarik sangat games ini? Jalinan jalan kereta api yang kita bina bersimpang siur dan melihat kereta api bergerak ke sana sini mengikut perjalanan yang telah ditentukan. Itu yang paling menarik mengenai OpenTTD. Nampak mudah tetapi sangat teknikal. Kita bersaing dengan pencabar untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang paling efisien. Tetapi selalunya aku bermain tanpa pencabar kerana aku lebih berminat untuk membina rangkaian pengangkutan yang paling efisien. Jadi sering ada pembetulan sana sini untuk laluan kereta api paling pantas atau laluan penerbangan paling optimum. Jika anda rajin melihat video di YouTube, anda boleh jumpa peminat fanatik OpenTTD yang membina rangkaian pengangkutan terunggul mereka.

Jalinan kereta api bersimpang siur.
Komuniti games ini juga telah membuat pelbagai modifikasi terutama dari sudut jentera/kenderaan yang digunakan dalam games. Kebanyakkan kenderaan yang dimodifikasi oleh komuniti OpenTTD adalah berdasarkan kepada kenderaan di dunia sebenar seperti Shanghai Maglev dan Airbus A380. Setiap masa ianya dikemaskini dan diperbaharui. Dalam games OpenTTD sendiri mempunyai tools untuk menyemak di internet sama ada modifikasi terbaru sudah diterbitkan dan kita boleh download untuk menggunakannya.

Stesen kereta api untuk mengangkut arang batu ke loji janakuasa elektrik.
Aku fikir games ini sangat sesuai untuk mereka yang sukakan pengurusan strategik dan pembangunan infra pengangkutan. Kita juga boleh belajar mengenai supply chain, bekalan dan permintaan semasa.

Untungnya games ini adalah percuma dan boleh di download di www.openttd.org

Keperluan sistem PC tidak terlalu tinggi. Malah kalau PC anda berusia lebih lima tahun pun masih okay. Cuma anda perlu ambil maklum, dari segi grafik, ianya bukanlah grafik tahap tinggi. Games ini menggunakan grafik kuno zaman awal 90an dengan paparan 2D 8 bit saja. Komuniti games ini sedang dalam proses untuk membuat modifikasi dari 8 bit ke 32 bit supaya paparan di atas monitor yang besar nampak lebih cantik dan tidak berpiksel.

Sekiranya ada kesempatan, aku akan membuat tutorial mudah untuk mula belajar main games ini. InshaAllah.

6.5.15

Kampung Halaman


Hujung minggu lalu kami sekeluarga pulang ke Kuala Kangsar. Sudah lama tidak menghabiskan masa beberapa hari di Kuala Kangsar di hujung minggu. Lima hari di Kuala Kangsar seperti tidak terasa langsung. Sedar-sedar sudah di penghujung cuti.

Namun begitu, perkara yang paling menyenangkan aku adalah bila Qaseh mudah mersa dengan nenek, pakcik dan makciknya. Kalau dulu, jangan hendak didukung, hendak bercakap pun tidak mahu. Sekarang sudah pandai bermain dan bergurau dengan pakcik dan makciknya.

Kami tidak ke mana-mana pun. Sekadar di rumah berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga. Petang aku bawa Qaseh ke kolam renang kerana sejak beberapa ketika dia sering meminta untuk berenang. Kuala Kangsar ada kolam renang awam dengan bayaran masuk sebanyak RM2. Cukup murah dan selesa. Walaupun kolam renang kanak-kanak rosak dan sedang dibaiki, ianya tidak mengapa. Qaseh lebih selesa berenang di kolam renang biasa. Dia sudah semakin cekap berenang dan menggerakkan kakinya.


Makciknya berkata Qaseh boleh jadi perenang bila besar nanti. Aku tidak menghalang kalau itu minatnya.

Kami sempat juga ke Ipoh dan bersiar-siar di Kinta Riverfront, Ipoh, suatu kawasan di tepi sungai Kinta yang dihiasi pohon pokok LED, ada restoran dan gerai makaan dan dibuat pelbagai aktiviti sampingan untuk orang ramai yang datang. Paling menarik perhatian adalah aktiviti berbasikal. Pelbagai jenis basikal disediakan, dari basikal untuk budak kecil sehinggalah basikal untuk sekeluarga enam orang sekaligus.


Aku menyewa basikal untuk seorang dewasa dan anak. Itulah pengalaman pertama Qaseh menaiki basikal dan dia sangat sukakannya. Aku fikir aktiviti ini sangat menarik dan boleh dikembangkan ke tempat lain terutamanya di Putrajaya. Putrajaya mempunyai kawasan berbasikal yang sangat luas dan sewaan basikal seperti ini terutama pada waktu malam boleh menarik minat ramai orang untuk menggunakannya.

Lima hari di kampung terasa begitu sekejap. Damai di sana tiada bandingnya di sini yang penuh dengan hiruk pikuk kota dan hutan batu.

20.1.15

Yang Terbaik 2014


Selamat Tahun Baru 2015. Tahun ini jika diizinkan Allah, keluarga kecil aku akan bertambah seorang lagi pada Ogos nanti. Tujuh bulan dari sekarang. Masa menunggu kehadiran Qaseh dahulu, kami begitu teruja dan pelbagai persiapan yang kami lakukan. Beli itu ini. Segalanya perlu dicari kerana ianya yang pertama buat kami. Tempohari aku bertanya kepada Zura, apa agaknya yang perlu dibeli untuk kehadiran cahaya mata kedua ini. Hampir semuanya sudah ada. Namun kalau anak lelaki, kami perlu siapkan pakaian untuk lelaki pula. Itu sahaja yang perlu dilakukan. Qaseh pun seperti sudah mengerti bahawa tidak lama lagi dia bakal mempunyai adik, peneman masa mainnya. Jika adiknya lahir kelak, beza umur antara mereka adalah tiga tahun empat bulan. Jadi aku fikir Qaseh sudah tentu semakin bijak untuk tidak menimbulkan karenah kelak. InshaAllah. Itu perkara istimewa yang bakal berlaku pada tahun ini. InshaAllah. Tahun 2014 berlalu dengan penuh suka duka. Zura diserang demam denggi pada awal November lalu. 10 hari Qaseh tidak bertemankan ibunya ketika tidur. Ianya sebuah pengalaman yang menyedarkan aku tentang banyak perkara. Qaseh memang rapat dengan aku. Dia akan mengekori aku ke mana saja aku pergi, walaupun ke tandas. Malah untuk ke tandas, aku perlu beritahu terlebih dahulu. Kalau tidak dia akan mencari-cari aku seluruh pelusuk rumah dan kalau tak jumpa, dia akan menangis. Jadi sekiranya ada adik nanti, Zura tidak perlu risau mengenai Qaseh kerana dia rapat dengan aku. Seperti tahun-tahun sebelum ini, aku akan senaraikan beberapa perkara yang terbaik berlaku di sekeliling aku sepanjang tahun 2014.

Filem


Interstellar


Filem fiksyen sains yang sungguh menarik daripada Christopher Nolan. Saingan terdekat adalah The Hobbit: The Battle of Five Armies.

Manakala untuk filem animasi terbaik yang aku tonton sepanjang tahun 2014 adalah filem The Wind Rises, karya terakhir Miyazaki Hayao sebelum beliau bersara. Filem ini bagi aku pelengkap perjalanan Miyazaki sebagai seorang yang melakar karya melalui animasi indah dan penuh 'perasaan' dalam setiap karyanya.


The Wind Rises

Muzik

Banyak juga lagu-lagu menarik yang aku dapat dengar sepanjang tahun 2014. Tahun lepas juga menimbulkan minat aku untuk mendengar muzik-muzik genre instrumental yang menenangkan hati dan perasaan serta muzik asli filem (Oginal Sound Track) karya Hans Zimmer seperti dari filem Inception dan The Last Samurai.

Ada beberapa lagu yang menarik perhatian aku sepanjang tahun lepas. Paling menarik adalah,

The Last Goodbye - Billy Boyd. Lagu dari filem The Hobbit: The Battle of Five Armies. Ianya sungguh menyentuh perasaan terutama kepada mereka yang setia mengikuti filem Lord of The Rings dan The Hobbit selama lebih sedekad. Lagu ini sangat tepat sebagai penutup filem karya Peter Jackson ini.

Lagu lain yang sering aku dengar sepanjang tahun lepas adalah Langit oleh Yuna, Terbang Tunduk oleh Fynn Jamal dan All of Me oleh John Legend.

Fotografi

Agak sukar hendak aku pilih foto mana yang terbaik aku rakam sepanjang tahun 2014. Ini kerana ada banyak foto yang menarik!

Untuk gambar keluarga, aku pilih yang ini,


Gambar percutian kami di Pulau Redang awal 2014. Seronok melihat Qaseh snokeling dan memarahi ikan yang cuba mencuri makanan dari tangannya.

Untuk potret Qaseh, yang ini,

Qaseh tertidur sendiri di hadapan televisyen tanpa ditemani Mama yang masih dirawat di hospital akibat serangan denggi. Aku sedari hakikat yang Qaseh sudah besar dan pandai memahami banyak perkara.

Itulah sekadar beberapa perkara yang aku fikir meninggalkan kesan dalam hidup ini sepanjang tahun lalu.

16.12.14

Menganjak Usia


Kurang setengah bulan menjelang 2015.

2015 nanti, aku berusia 40 tahun.

Orang kata hidup bermula pada usia 40 tahun. Aku tidak faham apa maksudnya. Mungkin berkaitan dengan fasa 'settle down' dan tumpuan kepada keluarga; membina keluarga.

Atau mungkin maksudnya kita sudah benar-benar dewasa.

Kalau di kalangan umat Islam, usia 40 tahun itu adalah tingkat di mana 2/3 daripada usia ini telah dicapai dan tinggal 1/3 lagi yang harus dilalui. Ini kerana Nabi Muhammad wafat di usia 63 tahun. Jadi bagi umat Islam, usia lebih daripada itu adalah ujian atau anugerah Allah.

Sedikit sebanyak aku dapat rasakan kudrat di usia 40 tahun ini tidak lagi sekuat dahulu lagi. Sudah terasa risau dengan segala penyakit yang mungkin melanda. Lebih 20 tahun tidak menjaga diri, inilah akibatnya.

Banyak yang belum dicapai dan masih terkapai-kapai mengejar.

Hidup ini bukan mudah. Ianya sebuah perjalanan yang penuh dugaan.

InshaAllah jika diizinNya, tahun hadapan keluarga kecil kami ada bertambah seorang lagi. Aku menerima berita ini dalam perasaan yang bercampur baur. Gembira paling pasti. Risau keadaan ekonomi sekarang. Bagaimana Qaseh hendak menghadapi semua ini nanti apabila kasih sayang terhadapnya terpaksa dikongsi dengan bakal adiknya pula. Banyak perkara yang perlu difikirkan.

Sebenarnya aku mahu berhenti bekerja dengan kerjaya sekarang. Aku terfikir untuk berniaga sendiri atau mengusahakan perniagaan internet. Namun begitu ianya masih difikirkan lagi. Untuk hidup selesa dengan bekerja sendiri, pendapatan bulanan bersih aku nanti mesti tidak kurang dari RM5000 sebulan. Itu pun sekadar cukup untuk menyara keluarga sehari-hari namun tidak cukup untuk memberi kemewahan melainkan aku tinggal di luar bandar.

Untuk hidup betul-betul selesa, aku perlukan sekurang-kurangya RM10 ribu sebulan dari perniagaan sendiri. Tidak ada apa yang mustahil. Cuma jalannya belum jelas. Aku tiada kepakaran dan kelayakan untuk buat apa pun.

Aku fikir bekerja dengan kerjaya sekarang bukanlah naluri aku. Bukan jiwa aku. Ianya tidak memberikan potensi yang besar. Ianya terasa sempit. Namun untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri juga bukanlah sesuatu yang mudah. Pertama, aku perlu selesaikan hutang piutang pinjaman peribadi yang dibuat atas slip gaji sekarang. Ianya banyak dan aku tidak mahu ianya membebankan aku kelak. Akal cetek waktu muda dulu yang menyebabkan semua ini.

InshaAllah aku akan langkah setapak demi setapak untuk mencapai hasrat aku ini.

Bak kata orang, hidup ini bermula di usia 40 tahun. Moga ianya benar-benar bermula nanti.

11.12.14

Aku dan Sesuatu


Hari ini hari Khamis. Hari cuti umum di negeri Selangor. Tetapi aku di Putrajaya bekerja, walaupun menetap di Selangor. Jalan lengang bila ke pejabat awal pagi tadi. Tidak banyak kenderaan seperti kebiasaan.

Cuma satu perkara yang sentiasa ada apabila di jalanraya. Sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan egoistik.

Aku berharap dalam masa terdekat, mungkin lima hingga 10 tahun dari sekarang, kereta pandu sendiri akan menjadi realiti. Kemudian, 20 tahun dari sekarang, manusia secara peraturannya, dilarang sama sekali untuk memandu di jalan-jalan utama. Ini kerana manusia dalam apa keadaan pun, sering dikuasai oleh emosi dan ego. Sukar untuk memisahkan sifat tersebut dari diri manusia termasuk ketika memandu.

Maka kereta pandu sendiri (driveless automobiles) adalah penyelesaian yang selamat untuk ini. Aku mahu lihat di jalanraya utama kenderaan dipandu oleh robot/komputer menggunakan sistem canggih yang boleh menghindar dari terjadinya kemalangan dan kelewatan untuk tiba ke destinasi.

Biarkan manusia terus menikmati pemanduan di jalan-jalan raya yang khusus untuk pemanduan oleh manusia. Ianya adalah satu nikmat yang sukar hendak ditarik dari manusia sejak manusia mengenali automobil. Kelajuan adalah mengasyikkan. Ianya pencetus adrenalin. Tetapi bukan di jalan-jalan utama di mana manusia lain harus dilindungi daripada emosi dan ego sesetengah manusia.

 

Copyright @ 2015 frossonice.

Designed by Templateiy & CollegeTalks