Langkau ke kandungan utama

Catatan

Menunjukkan catatan yang berlabel Qaseh Nurzahra

Secoret Kenangan Buat Masa Hadapan

Ramadan sudah separuh dilalui. Aku masih belum kurus. Nampaknya makin tua, metabolisme makin kurang. Melainkan aku senaman. Timbul masalah. Aku tidak bersenam, kecuali buat kerja-kerja rumah sekali sekala. Kasut sukan New Balance aku sudah lama dibuang kerana tapaknya sudah tertanggal. Bila aku beli kasut tersebut? Rasanya hampir 10 tahun. Aku perlu dapatkan kasut sukan baru. Lepas raya ini aku ada dua bulan untuk bersenam tanpa perlu risau balik awal ke rumah lepas kerja. Anak isteri akan bercuti di kampung sepanjang tempoh itu. Ogos nanti aku menanti kehadiran anak kedua, inshaAllah. Lelaki. Jadi cukup sepasang. Syukur. Tidak ada apa yang lebih bermakna dari semua ini. Aku akan cuba sebaik mungkin untuk membesarkan mereka agar menjadi insan yang baik. Qaseh pun sudah semakin besar dan makin 'banyak akal'nya. Makin bijak dan petah berkata-kata. Ada waktu terasa seperti tidak terkejar proses pembesaran Qaseh. Ada saja perkara baru yang dipersembahkan kepada mama dan...

Kampung Halaman

Hujung minggu lalu kami sekeluarga pulang ke Kuala Kangsar. Sudah lama tidak menghabiskan masa beberapa hari di Kuala Kangsar di hujung minggu. Lima hari di Kuala Kangsar seperti tidak terasa langsung. Sedar-sedar sudah di penghujung cuti. Namun begitu, perkara yang paling menyenangkan aku adalah bila Qaseh mudah mersa dengan nenek, pakcik dan makciknya. Kalau dulu, jangan hendak didukung, hendak bercakap pun tidak mahu. Sekarang sudah pandai bermain dan bergurau dengan pakcik dan makciknya. Kami tidak ke mana-mana pun. Sekadar di rumah berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga. Petang aku bawa Qaseh ke kolam renang kerana sejak beberapa ketika dia sering meminta untuk berenang. Kuala Kangsar ada kolam renang awam dengan bayaran masuk sebanyak RM2. Cukup murah dan selesa. Walaupun kolam renang kanak-kanak rosak dan sedang dibaiki, ianya tidak mengapa. Qaseh lebih selesa berenang di kolam renang biasa. Dia sudah semakin cekap berenang dan menggerakkan kakinya. Makcikny...

Dugaan November

Minggu lepas Qaseh diserang demam campak. Pada mulanya kami syaki dia kena demam denggi kerana badannya kejap panas, kejap sejuk. Simptom biasa demam denggi. Ini kerana beberapa minggu lalu, mamanya, Zura baru pulih dari demam denggi. Jadi tidak mustahil Qaseh juga disangka mengalami keadaan sama. Jadi pulang dari kerja, aku dan Zura terus bergegas membawa Qaseh ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Setelah diperiksa dan doktor mengambil sampel darah Qaseh, keputusannya negatif. Tiada tanda-tanda denggi. Doktor hanya mengatakan ianya mungkin jangkitan viral yang biasa berlaku. Kami menarik nafas lega. Bukan denggi seperti yang kami risaukan. Balik dari hospital, Qaseh nampak masih lemah dan seperti kesakitan. Kami dapati juga di bahagian kaki dan mulutnya timbul bintik-bintik kecil kemerahan. Mulalah kami sangka mungkin Qaseh sebenarnya menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Qaseh pernah alaminya tidak lama dulu walaupun tidak serius. Kami yakin ianya HFMD kerana seh...

Aku dan Sesuatu

Bila memandu, ada waktunya aku lebih sukakan jalan berliku laluannya dihiasi pepohon yang menghamparkan bayang-bayang di sepanjang jalan. Ketika itu, disulami irama yang mendamaikan aku dapat rasakan sebuah ketenangan. Waktu bujang dulu, itulah perkara yang paling kerap aku lakukan. Kerana aku tidak pernah ada sahabat karib atau teman rapat. Malah aku sebenarnya tidak ada sahabat untuk berhujung minggu bersama-sama seperti orang lain. Hidup di penghujung hari selepas kerja atau di hujung minggu adalah sendiri. Ke mana-mana sendiri. Hingga pernah bercuti seorang diri di Langkawi. Itulah pertama kali aku ke Langkawi. Seorang diri. Maka aku lebih banyak berdiam diri dari bercakap. Aku jadi pendiam kerana keadaan. Banyak waktu-waktu bisu ini aku penuhi dengan fotografi dan membaca. Pantai Klanang Kini aku terkesan dengan keadaan ini. Ketika ini Qaseh semakin membesar dan semakin betah berbicara. Ada waktunya aku dan Zura langsung tidak faham apa yang diluahkan oleh Qaseh. Ada waktunya dia ...

Dugaan Seminggu

Seminggu aku berulang alik ke hospital kerana Zura diserang demam denggi. Hospital hanya sepelaung dari rumah. Itu memudahkan sedikit perjalanan namun dalam keadaan begitu, aku masih terasa keletihan ke sana sini mencari penawar alternatif untuk Zura. Aku cari air pucuk daun betik kerana terdapat kajian yang membuktikan air pucuk daun betik mampu meredakan panas akibat demam denggi dan meningkatkan platlet darah. Sekarang air pucuk daun betik ada dijual secara komersial. Lihat sini, http://juspucukbetik.blogspot.com/ Harga agak berpatutan, RM12 (aku dapat harga RM10) sebotol dan kena habiskan sekurang-kurangnya sebotol sehari. Pengedar sarankan aku beli empat botol sekaligus. Namun begitu aku beritahu aku ingin mencuba dua botol terlebih dahulu. Tidak lama selepas beli, sepupu Zura mengirim mesej mengatakan suaminya sudah sediakan jus daun betik yang dipetik dari laman rumah. Pati daun betik yang dicampur madu. Cukup untuk beberapa hari.  Aku cuba juga cari sup ketam untuk Zura. Zu...

Menanti Hujung Minggu

Sekelip mata penghujung minggu tiba. Waktu terasa berlalu begitu pantas. Esok november menjelang tiba. Setahun lagi waktu bakal dilalui dan ditinggal pergi. Aku seperti tidak sempat mengejar apa-apa buat masa ini. Tahun hadapan aku menjejak usia 40 tahun. Empat puluh tahun. Sungguh lama walaupun terasa begitu sekejap tibanya. Mana perginya dekad-dekad yang aku tempuhi sebelum ini? Qaseh hanya baru berusia dua setengah tahun. Empat puluh tahun. Lama. Sungguh lama. Aku doakan agar 20 tahun dari sekarang aku masih ada untuk melihat Qaseh membesar gembira dan bahagia. Aku pasti akan merindui saat-saat jari tangan ini ditariknya, mendesak aku mengikut kemana saja dia pergi untuk bermain; di rumah dan di mana saja. Dia sudah menjadi begitu bijak sekarang. Kelmarin dia buat tipu daya terhadap aku. Aku pasang suis mesin pembersih udara. Dia tutup. Aku pasang kembali dan aku cuba halang dari dia menutupnya. Dia berlari ke kanan dan ke kiri cuba mencari ruang untuk jarinya menek...

Bila Damai Di Hadapan Mata

Aku asyik membaca catatan lama di blog ini. Nampak lebih bersantai dan lebih banyak idea ketika itu. Sudah ada lebih 1,500 posting di sini. Sudah banyak yang aku lupa. Bila dibaca kembali, aku tersenyum sendirian. Aku sedari banyak perkara yang sudah berubah. Aku tidak lagi berbicara hal politik. Aku sendiri tidak mahu menulis mengenainya lagi. Aku tidak mahu tempat ini jadi medan tempur perbalahan pendapat. Tidak ada lagi cerita mengenai Asyikin yang kerap ditulis di sini suatu ketika dulu. Tidak ada lagi lakaran alam melalui potret-potret yang aku rakam melalui lensa kamera. Kamera itu pun telah aku jual. Hanya ada kamera telefon yang lebih kerap merakam karenah dan keceriaan si kecil kesayangan, Qaseh Nurzahra. Sesungguhnya aku rindu saat apabila ada kamera DSLR di genggaman tangan setiap masa. Ruang alam ini terlalu indah untuk dibiarkan begitu saja. InshaAllah jika ada rezeki, aku mahu membeli kembali sebuah kamera DSLR. Cukup dengan sebuah lensa asas agar dapat aku cerap momen-mo...

Membina Kreativiti & Imaginasi Qaseh

Tempohari aku berhasrat nak belikan Qaseh sebuah set permainan Playdoh. Aku fikir dengan usianya semakin meningkat, dia perlu diberi permainan yang memerlukan kreativiti dan imaginasi. Playdoh iaitu permainan tanah liat (plasticine) aku fikir adalah permainan yang baik untuk membina imaginasi dan kreativiti Qaseh. Semalam aku akhirnya belikan dia sebuah set Playdoh. Aku beli set asas yang mempunyai beberapa acuan tekan dan beberapa playdoh berwarna warni. Menariknya dari pemerhatian aku, Qaseh seperti sudah tahu apa yang hendak dilakukan dengan permainan ini. Zura tunjukkan beberapa contoh dengan menggunakan acuan. Qaseh seterusnya meniru perbuatan tersebut dan cuba hasilkan karya menggunakan acuan yang diberikan. Lama kelamaan Qaseh jadi semakin kreatif dan berimaginasi. Dia gunakan Playdoh itu sebagai bahan untuk dia bermain 'masak-masak'. Lalu bongkah tanah liat dipotong-potong menggunakan pisau plastik membentuk seperti 'makanan' yang kemudiannya cuba ...

Qaseh Pengubat Rasa

Sudah terlalu lama aku tinggalkan ruang ini. Suatu masa dulu sinilah jadi tempat aku mengadu rasa hati yang dalam terpendam. Mungkin kerana hidup aku lebih gembira dengan isteri dan anak tersayang sekarang. Atau mungkin juga kerana Facebook. Sembilan bulan berlalu tanpa bicara; Qaseh Nurzahra sudah menjejak usia dua setengah tahun. Sudah pandai berkata-kata, sudah pandai merajuk, sudah pandai meminta-minta, sudah pandai serba serbi. Masa sungguh pantas berlalu. Tak terkejar aku dengan pantasnya Qaseh membesar. Hari demi hari ianya seperti lakaran yang semakin luas ruangnya untuk aku gapai setiap inci keindahannya. Tuhan anugerahkan aku suatu yang sangat istimewa dan aku lihat ianya semakin mekar dan harum setiap ketika. Life is trully beautiful. Isteriku tersayang, Maszura berkata, tunggulah biar Qaseh sudah bijak sedikit lagi sebelum merancang untuk mendapatkan adik. InshaAllah. Kami tidak pernah puas dengan Qaseh. Belum lagi. Mungkin untuk selamanya belum. Setiap detik ...

Tiga Hari Mengejar Kesabaran

Jumaat tempohari, balik dari kerja, Zura tunjukkan beberapa keputihan di dalam mulut Qaseh. Cepat-cepat aku rujuk internet dan aku dapati ianya dikenali sebagai Thrush atau dalam bahasa Melayu, Kulat Susu. Semakin lama ianya semakin merebak dan akhirnya seluruh mulut Qaseh dipenuhi dengan kulat susu. Doktor berikan kami ubat sapu untuk Qaseh dan beritahu kami ianya akan mengambil masa untuk pulih. Sabtu dan Ahad kami hanya duduk di rumah melayan karenah Qaseh yang meragam sepanjang masa. Makan minum terpaksa diberi secara paksa kerana beliau berasa sakit setiap kali makan. Kami sapukan Teething Gel untuk mengurangkan rasa sakit. Sepanjang Qaseh sakit, inilah kali permata dia meraung sepanjang malam. Tidur 30 minit, terjaga dan meraung. Aku dan Zura bergilir-gilir menjaganya. Selalunya dulu kalau Qaseh sakit, dia hanya akan mahu kepada Zura. Dia akan memerap pada mamanya. Tetapi kali ini dia mahu memerap dengan aku. Jadi sehari dua ini aku langsung tak cukup tidur melayan Qaseh yang tak...

Cerita Tujuh Hari

Tempohari Qaseh dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Puncanya kerana batuk berterusan dan penafasannya terganggu (wheezing) seperti sedang mengalami lelah. Aku dan Zura sudah sedia maklum, sekiranya Qaseh mengalami selsema dan batuk, potensi untuk Qaseh diberi nebulizer adalah besar. Namun begitu kali ini lebih membimbangkan. Ketika dibawa ke PPUM, suhu badan Qaseh mencecah 39 darjah selsius. Sangat tinggi dan berpotensi untuk terkena sawan. Setelah diberi nebulizer, doktor menasihati kami agar Qaseh diberi rawatan susulan di wad pedriatik. Maka selama tiga hari Qaseh dipantau dengan rapi oleh beberapa orang doktor dan jururawat. Aku terasa kagum melihat kegigihan para doktor dan jururawat di PPUM. Walaupun ada di antara mereka adalah doktor pelatih, namun dedikasi mereka tetap tinggi. Tidak seperti yang selalu digambarkan, tingkah perbuatan mereka terhadap Qaseh adalah lembut dan mesra. Sentiasa mengambil berat keadaan Qaseh dan kerana itu, aku ucapkan terima kasih ...

Salam Aidil Fitri 2013

Qaseh ke Genting Highlands

Kelmarin kami sekeluarga bercuti di Genting Highlands. Sewa bilik yang berpatutan aku perolehi melalui internet. Ada bagusnya guna kad kredit. Itu kelebihan yang patut kita guna. Selepas ini aku perlu lebih baik mengawal perbelanjaan kad kredit. RM160 untuk dua bilik di Hotel First World adalah sangat berpatutan.maklumlah, kami bercuti bukan untuk menikmati bilik hotel, tetapi suasana di taman tema permainan sana. Aku sama sekali tidak terduga bagaimana Qaseh begitu sukakan permainan di sana, terutamanya Carousel. Beliau mendesak aku bermain berkali-kali dan enggan turun dari permainan tersebut. Anehnya dia tidak duduk di atas kuda tetapi duduk di atas kerusi dan bermain-main sepanjang Carousel berpusing. Nasib juga aku boleh mengawal pening. Namun begitu ada beberapa permainan kanak-kanak yang Qaseh tidak boleh main kerana dia masih kecil dan tingginya hanya 70cm, jauh dari tinggi minimum iaitu 76cm. Sesekali ternampak riak wajahnya kecewa tidak dapat bermain permainan yang menarik mi...

Masa Untuk Qaseh

Masa untuk Qaseh; Setiap hari bekerja; - 15 minit di waktu pagi sebelum dihantar ke penjaganya. - Lebih kurang 4 jam selepas balik kerja sehingga dia tidur. = Lebih kurang 24 jam. Hujung minggu sepenuh masa dengan Qaseh @ 2 hari. Seminggu = 3 hari. 52 minggu = 156 hari. (Aku anggap 180 hari) 180 hari = lebih kurang 6 bulan. Sekadar 6 bulan. Mana cukup!

Mencari Damai di Bukit Fraser

Dek kerana jerebu yang semakin serius, siang tadi aku bawa lari Zura dan Qaseh ke Bukit Fraser. Pertama kali aku ke sana. Tiba sudah lewat petang. Namun begitu, walaupun cuma sekadar untuk sejam dua, ianya sudah cukup untuk kami sekeluarga menghirup udara segar di sana. Cukup untuk membuat Qaseh nampak lebih selesa. Itu yang penting. Fraser memang mendamaikan. Suasananya sangat tenang. Jauh berbeza dengan Cameron Highlands. Aku fikir Bukit Fraser masih terpelihara daripada pembangunan berleluasa. Tidak ada ladang sayur yang dibuka di mana-mana. Mungkin faktor geografi yang kurang sesuai atau kawasan sekitar yang kebanyakkannya digazetkan sebagai hutan simpan kekal. Akses yang aku fikir lebih sukar berbanding ke Cameron Highland juga satu faktor. Jalan di sana sangat kecil. Mustahil bas-bas besar dapat terus sampai ke puncak dengan mudah. Untuk bercuti sambil menikmati suasana damai alam yang sejuk dan nyaman, Bukit Fraser adalah sangat sesuai. Kita tidak akan habis banyak duit di sana....

Lewat Malam

Antara punca aku kurang menulis adalah disebabkan untuk beberapa ketika, setiap post aku mesti dikepilkan dengan foto. Bukan sekadar foto, tetapi foto yang menceritakan sesuatu. Akibatnya aku lebih banyak menceritakan hal keluarga dan kurang hal-hal lain yang tidak aku rakam dengan kamera. Blog ini dulunya begitu terbuka. Aku berbicara apa saja. Semuanya aku sumbat di sini sebagai momento saat itu. Ianya begitu relevan dengan suasana dan apa yang berlaku ketika itu. Tidak berapa lama dulu aku haramkan diri aku dari menulis hal politik di sini. Aku juga sudah tidak menulis hal yang sedih, kecewa atau bersifat terlalu peribadi. Sedangkan dulu aku ceritakan semuanya. Mungkin ada perkara yang tidak perlu aku tulis lagi di sini kerana tidak mahu mencetus salah faham atau menyentuh perasaan orang lain. Selepas ini blog ini akan lebih terbuka. Aku begitu berminat hendak menulis mengenai teknologi; buat ulasan terhadap sesuatu produk seperti telefon bimbit atau komputer. Aku juga berminat berk...

Selamat Hari Lahir Yang Pertama, Qaseh Nurzahra

1 April 2013, Qaseh Nurzahra berusia satu tahun. Terasa begitu pantas masa berlalu. Masih aku teringat ketika pertama kali aku menyambut kehadiran Qaseh, lebih kurang jam 3.30 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Ianya suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Segalanya ada. Setahun berlalu dan Qaseh semakin membesar menjadi seorang manusia yang sungguh bijak dan penuh telatah dan karenah yang menghiburkan. Sepanjang tempoh setahun itu juga aku dan Zura pernah lalui saat-saat getir dan meresahkan ketika Qaseh tidak sihat, atau ketika melayan kehendak Qaseh yang masih belum mahu tidur di lewat malam walaupun kami sudah terlalu mengantuk dan keletihan. Qaseh adalah anak papa ketika bermain dan gembira dan anak mama ketika sakit dan mahu tidur. Kecil-kecil sudah pandai membahagi masa untuk papa dan mamanya. Tidak salah kami memilih nama Qaseh (atau Kasih) kerana itulah yang kami rasakan setiap masa ketika bersama Qaseh Nurzahra. Aku tidak mahu menjanjikan apa-apa yang besar atau ...

38 Tahun, 2 Hari

Kelmarin hari lahir aku yang ke-38. Kalau ikut tradisi tahun-tahun sebelumnya, pasti aku akan menulis di sini sehari dua sebelum atau pada hari tersebut. Ikut tradisinya juga, pada hari lahir aku, aku akan ke mana-mana restoran makanan segera, makan sambil membaca buku atau majalah atau novel. Biasanya restoran tersebut mestilah jauh dari tempat kebiasaan aku pergi. Aku pernah sambut hari lahir aku di KFC Sungai Pelek. Ya, sejauh itu. Rasanya semua itu akan hanya tinggal kenangan. Hari lahir aku kelmarin disambut bersama dua insan; Zura isteriku dan Qaseh, anakku.Ianya suatu pengalaman yang tidak dapat dicairkan dengan tulisan di sini. Kami tidak pergi ke restoran mewah atau membeli sebuah kek besar untuk diletak lilin di atasnya.  Kami cuma ke Restoran Strawberry di Petaling Jaya, restoran kegemaran kami. Kami pesan semangkuk tomyam seafood, telur dadar bersama daging ayam dan kailan ikan masin, jus tembikai untuk Zura dan air coklat untuk aku. Aku memesan sepotong kek tiramisu se...

Asma

Tolak tepi dulu kerja kerana otak sudah jammed. Memang agak stress dengan kerja, ditambah pula dengan ekspektasi bos yang melampau dan membandingkan dengan perkara yang bukan-bukan. Graphics design is art, and you cannot rush art. 10 hari merancang untuk menulis di blog ini. Hari ini aku memaksa diri mencuri waktu demi menenangkan jiwa dan gelodak hati akibat tekanan kerja. Pertama, Qaseh disyaki doktor mengalami simptom-simptom berkaitan asma. Punca paling jelas adalah akibat beliau sering selsema dan batuk. Kesan dan selsema dan batuk berpanjangan ini yang menyebabkan asma berlaku. Kata doktor, ianya trauma dan badan cuba menghalang penyakit dari terus berlaku, sebaliknya menimbulkan masalah lain pula. Orang kata ianya berpunca dari sejuk (tidak pakai stokin waktu malam/tidur, udara sejuk dan lain-lain). Sebenarnya rumah kami tidak sejuk. Itu realitinya. Ada waktunya kami terpaksa pasang dua kipas semata-mata untuk tidak berpeluh ketika tidur. Bukan untuk sejuk, tetapi untuk tidak be...

Qaseh VS Papa - 1