Langkau ke kandungan utama

Menceritakan Sesuatu

Aku gumpal-gumpal menjadi kejap kemudian aku telan dan simpan jauh disudut gelap hati ini hingga ianya menjadi reda. Kemudian aku menjadi biasa kembali. Begitu caranya aku memendam rasa. Apa jua rasa. Sekarang masa kecewa dan sedih aku. Aku sedang buat begitu.

Pernah orang bertanya, tidakkah lama nanti semua itu akan meletup? Setakat ini masih belum walau bertimbun-timbun telah aku buang sebegitu. Setakat ini ianya lenyap ditelan masa. Syukur. Harapnya selama-lama begitu.

====

"Kalau dia sayang Abang, mesti dia pilih Abang".

Dengan kata-kata itu aku tersentak dan tersedar. Betul. Selepas dua hari aku dengar dari mulut Lily, baru sekarang aku akui betul. Masa itu aku hanya menggeleng cuba menafikan atau tidak mahu percayakannya. Tapi sekarang, sekarang aku sudah nampak betulnya kata-kata dia. Kadang-kadang kita perlukan orang diluar sistem kita untuk menunjukkan jalan yang kita fikir lurus. Dia nampak lain. Baru tersedar.

====

Jiwa dan perasaan aku jauh lebih tenang hari ini berbanding semalam. Syukur. Kalau semalam aku marahkan diri aku sendiri dengan apa yang telah berlaku dan apa yang sering terbayang dalam benak fikiran ini. Hari ini aku cuma tersenyum setiap kali minda aku cuba bermain-main dengan perasaan.

====

Ada seorang yang aku suka tengok di pejabat. Staf baru. Suka tengokkan matanya. Mata besar ditambah dengan bulu mata yang melentik panjang. Macam karektor dalam komik atau anime Jepun. Orangnya lemah lembut. Baik. Takdelah aku kata aku suka. Aku cuma tertarik melihat matanya saja.

====

Entah kenapa sekarang aku rasakan begitu tenang dan damai sekali. Aku tertanya-tanya mana pergi segala celaru yang membanjiri hati ini kelmarin, semalam dan pagi tadi. Ya, setiap doa selepas solat aku memohon dan merayu agar hati ini ditenangkan perasaannya, aku mohon jiwa aku tenang. Sesungguhnya aku dapat rasakan sekarang. Syukur. Tidak bermakna Allah memakbulkan doa aku. Aku cuma rasakan dengan mendekati Allah, aku lebih tenang.

Aku akui dan aku rasa ramai orang akan akui bahawa dalam kita mengalami waktu susah dan gelisah, akhirnya kita akan bersujud memohon pertolongan dari Allah. Ketika aku buat begitu, aku terasa amat malu. kerana sewaktu aku senang, aku sering lupa padaNya. Tapi kemana lagi hendak aku tuju selain diatas sejadah memohon hati ini menjadi tenang dalam aku dilimpahi perit kenyataan hidup? Siapa yang dapat mendengar dan membantu selainNya? Aku menyesal sebab aku tak sedar semua ini dari awal lagi. Kalau tidak, pasti bila tiba saat menyedihkan, hati ini tetap tenang dan damai.

Aku mahu tindakan aku ini tidak sekadar separuh jalan. Aku mahu ianya berterusan hingga nyawa terpisah dari jasad.

====

Aku masih ingat masa umur aku 6 tahun. Aku bakal masuk sekolah darjah satu. Aku berjalan-jalan dengan Ayah ditaman perumahan kami tinggal di Gerik dulu. Aku bertanyakan samada sekolah itu menakutkan atau tidak. Ayah dengan gayanya (dia tidak akan senyum macam drama swasta), dia yakinkan aku sekolah adalah tempat yang menarik. Tempat ramai kawan-kawan dan tempat belajar macam-macam yang tidak boleh belajar di rumah. Dia berjanji pada aku kalau periksa akhir tahun darjah satu nanti aku dapat nombor satu, dia akan belikan basikal BMX.

Akhirnya pada periksa akhir tahun, aku cuma dapat nombor dua. Tapi mungkin mengenangkan aku sudah cuba dengan bersunguh-sungguh, maka Ayah hadiahkan juga sebuah basikal BMX Shimano berwarna biru. Aku cukup gembira walaupun aku tak tahu langsung menunggang basikal. Maka mula-mula aku kenalah pakai roda tambahan dan berpusing-pusing diruang legar depan rumah. Bila berani sikit, Ayah cabutkan roda tambahan dan aku masih berpusing-pusing diruang legar rumah. Suatu hari, aku beranikan diri untuk membawa basikal diluar rumah. Dengan gahnya aku tonton basikal keatas puncak lereng jalan paling tinggi. Aku mula mengayuh sederas mungkin menuruni jalan yang curam disebelah rumah.

Tiba-tiba aku panik sebab aku tak boleh nak kawal dan tak pandai main brek. Dengan basikal meluncur laju menuruni lereng, aku terhoyong-hayang cuba mengawal. Basikal tersebut dengan tidak semena-mena meluncur kearah pagar rumah jiran disebuah lereng yang agak curam. Entah apa tindakan reflek aku, aku tiba-tiba melompat dari basikal dan terjatuh betul-betul dilereng yang mempunyai pagai dawai besi yang tajam diatasnya. Basikal BMX aku terus melanggar tiang dekat pagar. Aku jatuh kesakitan. Nasib baik. Kalau tidak, agaknya aku tidak menulis disini sekarang.

Tapi pengalaman jatuh basikal tidak menghalang aku menjadi mahir menunggang basikal. BMX kesayangan aku, aku jaga dengan baik dan sebelum masuk rumah, aku pastikan ianya berkunci. Ditakdirkan pada suatu hari, aku tidak kunci BMX tu, tak sampai sepuluh minit, BMX biru aku hilang. Kena curi. Punya la sedih. Ayah siap panggil polis. Polis siap datang rumah. Aku pula dengan dungunya membawa bahan bukti yang merupakan sarung handle basikal yang aku cabut tempohari. Polis hanya tertawa kecil sebab katanya benda tu tak boleh buktikan apa-apa.

Mungkin ayah sedar aku amat sedih. Mungkin juga disebabkan aku dapat nombor satu dalam semua kelas untuk peperiksaan akhir darjah dua walaupun masa itu aku duduk dikelas B. Mungkin sebab darjah tiga nanti aku kena sekolah petang. Akhirnya ayah belikan sebuah basikal BMX berwarna merah. Basikal penuh makna dalam hidup ini. Basikal yang banyak kenangan. Kebetulan tidak lama selepas itu, polis temui rangka basikal BMX biru aku didalam semak tidak jauh dari sebuah kuil hindu dengan pekan Gerik. Depan balai polis pula tu! Jadi aku ada dua basikal. Aku berikan yang biru kepada adik.

====

'Aku sedar, tidak selamanya aku akan dapat melihatmu, dapat berbual-bual denganmu dan dapat bersamamu. Aku sedar, tiba masa, aku takkan dapat melihat anak-anakmu membesar, dirimu menjadi seorang ibu dan hidupmu yang damai. Namun, bila waktu engkau berjalan-jalan dan wajahmu dibelai angin yang berlalu, itu adalah aku, memberi tanda, aku masih ada disisimu...'

Ulasan

  1. safira12:02 PTG

    Cinta dari pandangan Imam Al-Syafie


    IMAM Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama.



    Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya: “Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

    “Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.”

    “Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.

    “Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.”

    Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya.

    Katanya: “Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya.

    “Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

    “Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras.

    “Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan.

    “Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

    “Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai.

    “Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.”

    Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan.

    Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata: “Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

    “Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

    “Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon