Aku Di Akhir Tahun Ke 31 Hidup Ini
Aku tak percaya lagi
Dengan apa yang kau beri
Aku terdampar disini
Tersudut menunggu mati
Aku tak percaya lagi
Akan guna matahari
Yang dulu mampu terangi
Sudut gelap hati ini
Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat
Kenapa ada derita
Bila bahagia tercipta
Kenapa ada sang hitam
Bila putih menyenangkan
Aku pulang…
Tanpa dendam
Ku terima kekalahanku
Aku pulang…
Tanpa dendam
Ku salutkan kemenanganmu
Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukan aku bahagia
Kau tunjukan aku derita
Kau berikan aku bahagia
Kau berikan aku derita
Aku pulang…
Tanpa dendam
Ku terima kekalahanku
Rebahkan tangguhmu
Lepaskan perlahan
Kau akan mengerti
Semua…
Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat
====
Selama berdiam diri, banyak yang dikenangkan. Selama tidak menulis, begitu banyak yang hendak diperkatakan namun semuanya tidak sesuai hendak diperkatakan disini. Aku mahu menceritakan sesuatu tetapi tidak untuk semua orang mengetahuinya. Kenapa dan mengapa dan bagaimana.
Lagi sehari dan aku menjadi 32 tahun. Separuh dari hayatku sudah aku lalui dan aku tidak miliki apa-apa lagi melainkan sebuah pekerjaan. Hidup bagai terhenti disitu. Seperti ada yang mengatakan, "Cukup!".
Tetapi aku tidak percaya ianya sudah "Cukup". Masih banyak yang perlu aku lakukan. Aku berkira-kira, masihkah sempat aku melakukannya. Sebegitu banyak perkara yang hendak aku lakukan dalam sebegitu sedikit masa. Entah bila dan bagaimana sudahnya nanti. Banyak aku terpaksa buang dalam hidup ini hingga aku rasakan aku telah kehilangan separuh dari hidup ini dengan sia-sia.
Kenapa? Aku tidak mahu kehilangan apa saja. Aku mahu ingat dan aku mahu memilikinya. Carpe Diem aku tidak menjadi. Tidak langsung datang dan tiba kepadaku. Malah aku masih mencari Carpe Diem yang orang lain nampak begitu mudah memilikinya.
Aku masih mengejar apa yang pasti sesuatu yang takkan aku dapat kejar. Aku masih harapkan sesuatu yang pastikan akan tinggal menjadi genggam buih-buih. 5 tahun lamanya dan aku rasa cukuplah aku mencubanya. Aku takkan perolehinya biar 5 tahun lagi aku mencuba.
Aku kembali mengatur hidup dalam suasana yang sama seperti pernah aku lalui suatu masa dulu yang begitu mengecewakan. Bagaimana caranya untuk aku halang semua itu dari berlaku lagi?
====
Teringat cerita animasi Spirited Away, sewaktu alunan muzik The Sixth Station karya Joe Hisaishi dimainkan dalam babak keretapi membawa penumpang pulang ke destinasi. Aku sebahagian dari penumpang itu; yang gelap tidak berwajah. Aku tidak tahu kemana destinasi hidup aku. Aku masih menunggu ianya berhenti dan membawa kesuatu tempat dimana aku boleh pulang dan berehat.
Aku sudah letih.. mental. Apa jua yang dilakukan dirasakan tidak kena. Entah apa yang aku kejar. Entah apa yang aku cari. Tidak satupun menjadi realiti, sebaliknya menjadi kenangan sedih yang begitu mengecewakan.
Aku bukanlah manusia yang baik. Itulah hakikatnya. Begitu banyak salah dan silap, rasanya begitu sukar untuk aku menjadi baik, sebaik yang diharapkan orang sesiapa saja. Semacam manusia yang sentiasa dihantui dengan kesilapan masa silam. Itulah yang dirasakan.
Aku lihat aku, rasanya tidak perlu melakukan apa jua melainkan berdiam diri saja kerna tidak ada yang dilakukan itu boleh dibanggakan oleh aku dan sesiapa saja. Tidak ada yang boleh dihargai.
====
Aku harap hidup ini lebih mudah dan tidak mengelirukan. Tidak menyusahkan dan tidak menjemukan. Aku harap hidup ini akhirnya dapat menemukan aku dengan sesuatu yang dapat aku tumpukan sepenuh jiwa dan sedalam upaya. Entah dimana lagi perlu aku buka langkah dan mencarinya.
Aku mahu, kalau dapat sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, aku akhirnya memperolehi apa yang dihajati.
====
Sehari lagi...
Pastinya dipetang itu nanti aku akan berhenti dimana-mana fast-food dan makan seperti yang biasa aku lakukan sejak beberapa tahun yang lalu. Sambil membaca surat khabar. Berseorangan. Itulah yang aku lakukan. Sudilah kiranya ada yang menemani, tetapi tidak aku harapkan. Terima kasih saja, aku mahu berseorangan sebagaimana biasa.
Kalaupun ada yang mahu menemani, aku cuma berharap ianya datang dari seorang yang begitu aku harapkan. Sukar namun, itulah yang diharapkan. Tetapi tidak mengapa. Aku faham kiranya takkan aku dapat peluang itu sampai bilapun. Aku sedar ianya seperti mengarapkan bulan di riba.
Tapi ingatan darinya sudah mencukupi. Sudah menggembirakan hidup ini. Walau sesaat cuma, ianya sudah cukup untuk aku bahagian hingga tahun hadapan menjelang kembali. Tidak perlu aku beritahu siapa, dia sendiri mengetahuinya. Maaf menyusahkan.
Maka, biarkanlah aku seorang esok. Itu lebih baik untuk kita. Tidak perlu ada sesiapa yang terasa sudah dan menyusahkan. Aku tidak mahu ada yang membebankan hidup orang lain hanya kerna sehari dalam hidup aku.
====
20 jam lagi. Cukuplah masa untuk aku habiskan 31 tahun hidup ini tanpa apa-apa. Tapi tahun ke 31 hidup ini, aku telah memperolehi beberapa perkara;
1. Aku mengenali Rosmawati (terima kasih dan mohon maaf)
2. Aku meninggalkan kenangan dengan Mazura (terima kasih dan mohon maaf)
3. Aku belajar dan mahirkan diri dengan Adobe InDesign CS2 tanpa bantuan sesiapa
4. Aku belajar dan mahirkan diri dengan Adobe Photoshop CS2 tanpa bantuan sesiapa
5. Aku belajar dan mahirkan diri dengan Apple OSX 10.4.8 Tiger (memang tidak perlu belajar dari sesiapa - senang)
6. Aku berkenalan dengan Digital SLR lalu jatuh cinta. Aku akan cuba dapatkannya nanti.
7. Aku berkenalan dengan Nor Aliah Ya'acob dan menjadi sahabat yang amat baik.
8. Aku tonjolkan diri sepenuhnya kepada pengurusan Jabatan tentang keupayaan aku dalam seni reka grafik dan teknologi persembahan slideshow modern (orang kerajaan masih gunakan PowerPoint, aku mahu beralih kepada Flash)
9. Aku berpindah ke Bahagian baru dalam Jabatan dan bekerja sepenuhnya dalam bidang yang aku minati, seni reka grafik komputer pengkhususan penerbitan majalah dan buku (desktop publishing)
10. Aku masih menghargai Asyikin, setelah 5 tahun lalu sejak 14/2/2002. Bukan hari Valentine's buat aku, tetapi hari perkenalan yang amat-amat istimewa.
Ada banyak lagi tetapi aku rasakan 10 ini begitu signifikan sepanjang tahun ke 31 aku hidup di bumi ini.
====
Aku tinggalkan hari ini sebagai kenangan sepanjang tahun. Hari esok bakal bermula. Entah bila lagi aku akan kesini nanti.
Ahmad Sharidan... :o)
BalasPadamsungguh byk perubahan... lain sungguh wajah mu Ahmad Sharidan...