Langkau ke kandungan utama

Engkau Dan Aku Sama Sahaja

Aku bukan pakar bahasa. Tidak sama sekali. Aku juga bukan pakar budaya, pakar antropologi, pakar sejarah, pakar arkeologi. Aku cuma penulis blog yang menulis mengenai apa yang difikir dan mengulas apa yang difahami. Pandangan aku semata-mata. Bukan untuk dijadikan sumber rujukan Buletin Utama TV3 ketika mengulas sesuatu perkara yang menyebabkan orang lain nampak salah dan aku seorang saja yang betul.

Maka dengan itu aku ingin mengulas mengenai perbalahan Indonesia dan Malaysia mengenai lagu Rasa Sayang (aku orang Malaysia jadi aku tidak perlu perbetulkan ejaan aku) dan Barongan serta asal usul orang Melayu dan bahasa Melayu dan penggunaan perkataan Indon sebagai merujuk kepada rakyat Indonesia. Aku BUKAN anti-Indonesia. Malah aku sentiasa kagumi kekayaan budaya dan seninya serta lagu-lagu modennya yang jauh lebih sedap dari lagu Melayu.

Pendapat aku, semua manusia yang berasal usul dari nusantara ini adalah asalnya serumpun. Atau satu golongan kaum yang sama yang biasanya orang sebut rumpun Melayu. Ianya tidak spesifik kepada orang yang melayu berada di Malaysia sahaja. Ianya merujuk kepada semua kaum asal dari nusantara, baik melayu, jawa, batak, minang atau champa. Sama saja, melayu. Geo-politik yang mengasingkan bangsa-bangsa ini menjadi rumpun bangsa dalam negara masing-masing. Maka di Indonesia, mereka digelar orang Indonesia. Manakala di Malaysia, mereka digelar orang Malaysia. Tapi bezanya Malaysia dan Indonesia, orang Malaysia masih membuat segregasi kaum mengikut asal usul kaum tersebut. Maka Melayu adalah Melayu, Cina adalah Cina dan India adalah India, tidak kira apa etnik mereka. Orang melayu di Cambodia tidak disebut Melayu Indonesia atau Melayu Malaysia, sebaliknya digelar Melayu Champa atau Melayu Kemboja. Salahkah begitu? Sudah tentu tidak kerana ianya bersifat geografikal semata-mata.

Jelas dari sini, usaha-usaha sesetengah pihak yang mahu orang Melayu di Malaysia digelar orang Indonesia adalah usaha remeh yang tidak tepat maksudnya. Mungkin kerana secara sejarah (seperti yang dikemukakan oleh beberapa pihak), orang Melayu kononnya berasal dari Indonesia. Nah, sebenarnya menggunakan perkataan 'berasal dari Indonesia' itu sendiri sudah tidak tepat dari segi geografinya. Indonesia mengunjur dari hujung utara Sumatera hingga ke Irian Jaya. Mana mungkin kita simpulkan orang Melayu di Malaysia asalnya dari Indonesia tanpa ada rujukan spesifik tempatnya. Dan berkenaan teori asal usul orang Melayu dari kepulauan Indonesia juga adalah sesuatu yang agak rapuh. Kalau mengikut kontur bumi, Indonesia berada dipenghujung plat bumi sedang Malaysia berada jauh lebih dalam dengan muka bumi yang jauh lebih tua berbanding dengan bumi Indonesia. Kalau benar teori orang Melayu berasal dari kepulauan Indonesia, maka sudah semestinya juga benar kalau dikatakan orang Melayu yang berasal dari kepulauan Indonesia itu sebenarnya berasal dari Malaysia juga (rujuk susur jalan evolusi manusia sekiranya kamu bertuhankan fahaman Darwin). Tidak mungkin manusia akan melompat ke Indonesia dan kembali ke Malaysia. Ingat, suatu masa dahulu, bumi Malaysia dan Indonesia adalah satu tanah dataran yang luas dan tidak dipisah oleh selat dan laut. Jadi pada fikiran aku, tidak perlu dipersoalkan dari mana asal usul orang Melayu (kalau merujuk kepada teori evolusi Darwin - aku tidak pernah menyokongnya).

* Sebenarnya aku teringat cerita Forrest Gump. Dia berlari dari hujung ke hujung Amerika Syarikat. Sampai di setiap penghujung, dia akan berpusing dan berpatah balik, lalu kembali berlari. Korang bayangkan orang zaman purba dahulu berbuat demikian dan kamu akan nampak kenapa teori orang Melayu berasal dari Indonesia adalah agak kelakar... (stand-up comedian, take notice!)

Jadi, akibat dari asal-usul orang Melayu itu adalah serumpun saja dengan orang Indonesia sendiri, maka budaya, bahasa dan corak hidup tidak banyak jauh berbeza. Ianya tidak dimilik negarakan kerana semata-mata ianya berasal dari negara tersebut. Maka aku sokong kritikan Indonesia terhadap pemilik-negarakan lagu Rasa Sayang dan Barongan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa). Kalau ianya disebut warisan orang Melayu, aku terima. Kalau ianya disebut Warisan orang Malaysia, well, jelasnya ia bukan berasal dari China atau India.

Begitu juga dengan bahasa. Apa hak kita nak persoalkan bahasa orang lain dan cara sebutan serta maksudnya? Malah di Malaysia ini juga ada perkataan yang mempunyai maksud berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Kelmarin bagi orang Kuala Lumpur adalah 2 hari yang lepas. Tetapi bagi orang utara Semenanjung, ia merujuk kepada semalam. Gampang membawa maksud yang kasar dalam bahasa Melayu tetapi sebaliknya dalam bahasa Indonesia. Belon adalah belon dalam bahasa Melayu tetapi bermaksud kapal terbang kalau di Malaysia Timur. Malah bahasa Inggeris juga mempunyai maksud yang berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Adakah kita mahu mempersoalkannya juga? Tidak.

Asal usul sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa juga tidak perlu dipersoalkan selagi dalam bahasa asal sudah wujud perkataan tersebut tetapi kita masih sengaja hendak tambah perkataan baru. Contohnya perkataan 'otak', ianya sudah ada cukup lama dalam bahasa Melayu, maka tidak perlu lagi kita cipta perkataan baru, 'minda'. Sedang 'minda' itu berasal dari bahasa Inggeris. Kenapa perlu tambah perkataan yang sudah ada sebelumnya? Begitu juga perbezaan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu. Asal usulnya tetap dari satu rumpun yang sama dan ianya disebut bahasa Melayu. Ianya bukan milik eksklusif Malaysia. Ianya merujuk kepada bahasa yang berasal dari nusantara. Yang menjadikan sesuatu bahasa itu terpisah adalah kerana faktor geo-politik. Bahasa Inggeris di England disebut British English. Manakala di Amerika Syarikat di sebut American English. Sedang bahasanya lebih kurang sama saja. Jadi bahasa Melayu di Indonesia disebut bahasa Indonesia manakala bahasa Melayu di Malaysia disebut bahasa Malaysia (sekarang). Dulu orang sebut bahasa Melayu sahaja. Apa masalahnya? Tidak ada apa-apa. Ianya masih kaya dengan bahasa. Ianya masih unik. Tidak ada apa yang pelik dengan sebutan bahasa tersebut oleh pengguna bahasa itu. Kamu tidak perlu paksa orang lain untuk bertutur dengan gaya bahasa yang kamu biasa bertutur. Mereka itu manusia, bukan burung.

Sebelum aku selongkar internet, aku fikir perkataan 'Indon' adalah singkatan mudah untuk merujuk kepada orang-orang yang berasal dari negara Indonesia. Tidak pula aku tahu ianya membawa maksud yang menghinakan. Malah mungkin suatu masa dahulu, perkataan 'Indon' ini adalah untuk memudahkan kita menyebutnya. Sebenarnya aku agak pelik. Setahu aku orang Indonesia cukup suka menyingkatkan perkataan. Warung Telefon jadi Wartel, Monumen Nasional jadi Monas. Kenapa marah bila orang Malaysia singkatkan perkataan orang Indonesia jadi Indon? Asalnya mungkin tidak langsung menghinakan. Tapi akibat kes-kes yang sering berlaku (aku tahu tidak semuanya dilakukan oleh orang Indonesia semata-mata), maka perkataan 'Indon' sudah jatuh tarafnya menjadi sesuatu yang menghinakan bila disebut. Salah siapa sebenarnya? Orang yang menyebutnya atau orang yang membawanya? Niggers itu asalnya bukanlah perkataan yang menghinakan tetapi menjadi hina akibat keadaan manusia yang termasuk dalam golongannya dan juga akibat perhambaan yang berlaku sebelum itu. Kalau tidak ada semua itu, aku yakin perkataan Niggers akan dianggap mulia orang ramai. Begitu juga perkataan 'Indon'. Orang yang membawanyalah yang bertanggungjawab menjaganya. Kalau mereka membawanya dengan baik, maka baiklah tarafnya nanti. Jadi buat masa ini, aku akan menurut permintaan orang-orang Indonesia agar mereka digelar orang Indonesia (4 suku-kata, sedang 2 suku-kata lebih senang, bukan?).

Manusia apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang dibawa oleh api, maka emosional mereka juga akan dibakar oleh api-api ini. Sepatutnya mereka menentang si pembawa api ini yang merosakkan harmoni bangsa. Sepatutnya kita sedar, kita sebenarnya tidaklah jauh antara satu sama lain dan sama-sama bangun menjadi rumpun bangsa yang maju dan berjaya, sama atau jauh lebih baik dari bangsa Aryan, Anglo-Saxon dan Cina. Kalau kita masih asyik mahu berdebat mengenai perkara trivial; asal usul kaum, bahasa atau bangsa, selamanya kita tidak akan kemana. Disini saja. Berdiri dan menunding jari antara satu sama lain.

"Ya, aku melayu, kamu indonesia. Aku bodoh dan kamu pun bodoh!"

Stop it! Bangun dan berjalan. Atau berlari. Atau terbang. Atau apa saja. Jangan jadi tunggul yang menyusahkan orang lain semata-mata. Bangsa lain yang ada di sini akan tersenyum melihat porak peranda rumpun bangsa kita.

Aku tak kira Hang Tuah berasal dari mana, tapi kononnya dia pernah sebut,

"Tak Melayu Hilang Di Dunia."

Kamu sanggup pertahankan kata-kata itu?

Ulasan

  1. assalamu'alaikum..

    saudara, antara adab yang diajarkan oleh rasulullah s.a.w ialah janganlah memangil seseorang dengan panggilan yang ia benci, allah ta’ala juga berfirman yang bermaksud: “…dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk …” (al-hujuraat : 11)

    ayat tersebut sangat tegas menjelaskan kepada kita bahawa seorang muslim ditegah memanggil sesama saudaranya dengan panggilan yang dibenci oleh saudaranya, hal ini bukan sahaja antara akhlak yang tidak terpuji, bahkan memanggil dengan nama atau gelar yang dibenci ini dapat membuatnya marah bahkan menimbulkan permusuhan.

    perlu kita sedari di sini, yang menentukan suatu perkataan itu menghina atau tidak hanyalah hati dan perasaan orang yang dipanggil, walau kadang si pemanggil tidak la bermaksud untuk menghina atau merendah-rendahkannya. kesimpulannya bukanlah si pemanggil yang berhak menjadi hakim untuk menentukan suatu perkataan itu menghinakan atau tidak.

    mengenai jenayah yang dilakukan pekerja asing di malaysia, perkara ini telah pun dijelaskan oleh menteri dalam negeri datuk seri syed hamid albar dalam sebuah rancangan di tv9 beberapa minggu lepas, katanya hanya 4.8 peratus sahaja yang melibatkan warga asing, selebihnya melibatkan orang-orang tempatan, jadi menurut data ini siapakah yang lebih jahat? siapakah yang lebih ramai menjadi penjenayah? di mana letaknya kewajaran hal ini kita jadikan alasan untuk menghina dan merendah-rendahkan warga asing? atau sememangnya rakyat malaysia ni terdiri dari kalangan yang suka membesar-besarkan cerita?? angkuh, bongkak lagi sombong? ingat! janganlah sombong dengan kejayaan yang telah dikecapi, semuanya datang dari allah, bila-bila sahaja allah boleh ambil balik.. maka sedari itu janganlah bongkak, jangan sombong jangan takabbur..

    simple jer sebenarnya, sekarang ni kita nak hidup rukun damai ker nak gaduh-gaduh? gunakanlah nama yang orang sukai sebagai panggilan, apalagi dalam hal ini pihak kerajaan indonesia sendiri telah meminta dengan baik supaya perkataan “indon” tidak lagi digunakan. namun ini semua terserah pada individu masing-masing, tak ada pun paksaan.. masih nak berkeras dengan panggilan yang dah nyata-nyata orang indonesia katakan perkataan tu menghina mereka pun tak ada masalah, tak mengapa.. silalah panggil.. tapi kelak di hadapan allah rabbul jalil berkeraslah dengan alasan bahawa bahawa panggilan “indon” tu lebih ringkas, dan ini adalah bahasa malaysia, orang indonesia tak berhak untuk merasa terhina dalam perkara ni. kot-kot la allah nak terima alasan tu..

    n/b: hormati orang lain jika ingin anda di hormati

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 2

Sambungan koleksi gambar MRSM Balik Pulau, circa 2003. Ini bas maktab suatu ketika dulu. Aku sudah tengok bas baru. Tapi bas lama ini sungguh manis kenangannya. Kami menyanyi gembira setelah muncul johan bolasepak under-15 dan under-18. Pergi berkelah di Batu Feringgi atau melawat Botanical Garden. Pergi trip ke MRSM Berseri dengan ditemani bumbung bas yang bocor. Ianya suatu kebanggaan dapat naik bas ini suatu ketika dahulu. Masa itu tidak semua sekolah ada bas sendiri. Jadi kira hebat la. Baru sekarang aku terperasan, bas tersebut ada iras-iras Penang Yellow Bus. Hmm... Padang. Kalau masa aku pergi tahun 2003 dahulu ada sign board tertulis, "Home of The Cougars", merujuk kepada pasukan ragbi maktab. Mungkin pada ketika itu ianya amat kuat. Memang ragbi masa zaman aku pun kuat juga, tapi tidak sehebat team bolasepak yang dibentuk sejak kami form 2. Sepanjang itu hingga ke form 5, kami tidak pernah tewas satu game pun (betul tak Carrie?). Jadi johan Under-15 dan Under-18 nege...

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l...

Apple Mac - Cerita Aku 1

Aku pakai komputer jenama Apple di rumah dan di pejabat. Laptop MacBook Pro aku beli menggantikan laptop Acer Aspire (sudah dijual) dengan tujuan sebenar untuk kerja sampingan sebagai video editor dengan sebuah studio perkahwinan ( DinaWedding ). Aku sudah menggunakan Apple iMac di pejabat sejak penghujung 2006 lagi. Secara umumnya, banyak kerja aku melibatkan senireka grafik menyebabkan komputer Apple menjadi pilihan paling sesuai. Aku pernah dan sering ditanya serta aku yakin di luar sana ramai juga yang ingin mengetahui kebaikan dan keburukan menggunakan komputer jenama Apple. Jadi aku fikir lebih baik aku kongsi pengalaman aku. Komputer jenama Apple secara umumnya adalah komputer peribadi/workstation/server yang dibina dan dijual sendiri oleh syarikat Apple Inc. dan menggunakan sistem operasi (Operating System) jenama Mac OS. Suatu ketika dulu ada syarikat pengeluar komputer yang mengeluarkan komputer dengan menggunakan sistem operasi Mac OS namun begitu semenjak Steve Jobs (CEO d...