Sudah berapa jauh aku berjalan? Terlalu jauh dan sering kali aku lalui liku-liku yang perit untuk dilalui lagi.
Bila kali terakhir hati ini benar-benar tenang? 10 tahun lalu mungkin bila arwah Kak Nor masih ada untuk aku berbual-bual dengannya tentang kehidupan.
Bila kali terakhir aku menyesali perbuatan yang aku telah lakukan? Apabila aku melihat potret-potret bahagia insan-insan yang pernah aku kenali dan kini berada begitu jauh dari aku.
Kenapa aku masih mencari setelah sekian lama? Kerana aku terlalu sensitif dan memilih. Aku akui jua akhirnya. Aku sentiasa mencari kesempurnaan dalam apa jua keadaan, sama seperti hasil-hasil kerja aku. Sedang sempurna itu hanya di mata.
Adakah begini akhirnya hidup ini? Mungkin. Mungkin bersendirian tanpa arah dalam mengejar bayang-bayang yang berlari meninggalkan aku. Aku tahu aku meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dalam hidup ini hingga menyusahkan diri aku sendiri.
Sebenarnya semua ini kerana wang. Aku tidak punya cukup wang walau untuk hidup sebulan. Sedang aku sudah bekerja lebih 6 tahun di jawatan yang aku pegang ini. Aku tidak berani melangkah lebih jauh kemudiannya menyusahkan orang lain akibat dari tindakan aku itu.
Maka setiap masa dan ketika aku cuba untuk penuhi keperluan aku dahulu, dan menolak kemahuan yang lain. Aku lepas bebaskan insan-insan yang aku sayangi secara terpaksa (dari sudut hati ini) sedang aku mengharapkan mereka faham keadaan aku (dalam bisu aku ini, tentunya mereka takkan faham).
Setiap masa jua aku mengharapkan sesuatu. Sesuatu yang dapat membantu hidup ini menjadi lebih selesa dan seterusnya dapat aku limpahi selesa itu kepada insan yang aku sayangi, kiranya ada lagi. Namun aku tidak lagi mengharap. Kerana pengharapan itu seperti bersujud meminta sedekah, belas simpati. Maka aku biarkan saja segala keindahan berlalu sedang aku pasti sekecil-kecilnya keindahan hidup itu mahu berada dekat dengan aku. Tetapi aku sendiri menepisnya jauh.
Kamu pasti menasihati aku dengan cara-cara yang kamu nampak jelas. Aku yakin ianya begitu. Aku cuma mampu tersenyum menghargai kamu yang berusaha membantu. Terima kasih untuk itu semua. Aku cuma tidak boleh menerima senangnya hidup dengan cara begitu. Kerana separuh dari nafas aku sudah terhenti, separuh lagi menunggu dalam hening.
Kamu tahu apa yang aku fikirkan setiap masa? Aku fikir kenapa aku begitu sunyi hidup ini. Setiap langkah aku melihat orang lain dalam bahagia hidup mereka. Sedang aku terasa amat-amat sunyi dalam lautan jiwa manusia.
Mungkin aku harus sedar, hidup ini tidak selalunya bahagia. Aku sedang alami masa duka aku dan ianya telah berlarutan sejak 10 tahun lalu...
sabarlah abangku.setiap insan dijadikan berpasang-pasangan....tetapi a.idan belum jumpa lagi insan itu,,yang dapat membahagiakan kita,,.oleh itu sabarleeeer.macam cikgu ilah cakap.lau kita takada jodoh kat duniani mungkin pasangan kita tu meninggal lebih dulu dan kita akan bertemu dia ke alam akhirat..jgn mare..;)
BalasPadam