Sekali sekala apabila kita melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun ianya cuma sekecil zarah, kita dihargai biarpun hanya dengan ucapan terima kasih. Selalunya manusia tidak mencari lebih dari itu, tidak lebih dari ucapan terima kasih. Ianya sudah cukup untuk membuat kita tersenyum puas dengan apa yang telah kita lakukan. Mungkin aku begitu. Aku tidak mahu apa-apa penghargaan yang hebat-hebat. Cukup sekadar terima kasih.
Namun ada juga manusia yang tidak tahu untuk menilai hasil kerja orang lain, apatah lagi mahu memberi sedikit penghargaan atas usaha dan kerja yang telah dilakukan. Selagi boleh, mahu saja mereka mempergunakan kita untuk apa saja dan setiap arahan yang diberikan, diletakkan juga dari mana punca datangnya. Biasanya mereka akan mengatakan bahawa ianya arahan bos. Secara automatik semua kerja wajib disiapkan mengikut tempoh masa yang 'ditetapkan oleh bos'. Aku yakin selalunya bos yang mereka rujuk itu adalah diri mereka sendiri.
Hari ini aku berada dalam keadaan low-point kerja aku. Aku siapkan kerja yang aku bertungkus lumus untuk siapkan semalam. Hari ini aku mahu sekurang-kurangnya dapatlah aku rehat untuk seminggu sebelum aku jalankan kerja-kerja seterusnya. Kerja-kerja grafik (untuk seorang amatur seperti aku) perlu idea dan apabila ianya dilakukan bersendirian, idea-idea selalunya cepat habis. Aku perlu recharge dan perlu dapatkan sumber ilham baru.
Tapi kalau aku terus terperap di dalam kubikel sepanjang masa, entah dari mana boleh aku cari idea untuk hasilkan karya yang seterusnya. Ini pun sudah mencapai tahap tepu. Aku tidak boleh berfikir dengan kreatif.
Malangnya, bertugas di jabatan kerajaan di mana bos biasanya datang dari kalangan lulusan tadbiran awam atau lepasan sekolah tidak kreatif, maka mereka tidak faham apa itu kreativiti. Mereka fikir ianya komoditi yang sentiasa ada dan tidak pernah pudar dari fikiran sesiapa pun. Mereka fikir idea kreatif untuk menghasilkan karya datangnya dengan duduk sepanjang hari di hadapan komputer. Oh, secara mudah, idea kreatif itu adalah automatik, sama seperti mesin tiket KTM Komuter atau LRT.
Biarlah. Aku mahu mogok dalam diam. Seminggu aku tidak dapat penuhi 'rehat' aku ini akan aku penuhi dengan rehat tidak berbuat apa-apa di kubikel melainkan surfing, menonton YouTube, menulis blog dan main games.
Alasan? Mencari idea kreatif.
Ulasan
Catat Ulasan