Semasa di Terminal Bas Larkin tempohari, aku mencari-cari buku/majalah untuk dibaca. Aku merayau dari kedai ke kedai untuk mencarinya tetapi akhirnya aku kecewa. 90% daripada bahan pembacaan berbahasa Malaysia adalah berkaitan dengan agama, mistik hiburan dan novel-novel cinta. Sedang bacaan ilmiah langsung tidak aku temui. Selebihnya adalah buku-buku motivasi dan buku skim untuk menambah pendapatan/cepat kaya, majalah komputer serta majalah-majalah berkaitan sukan dan automotif.
Tertanya-tanya dalam hati, inikah saja yang orang Melayu kita baca? Hendak juga aku mencari buku-buku ilmiah yang mungkin berkaitan contohnya, alam sekitar, sejarah Johor (sebab aku berada di Larkin ketika itu), seni dan budaya atau apa saja yang boleh dikatakan ilmu yang lebih meluas ruang lingkupnya.
Bukan aku mengatakan buku-buku agama tersebut tidak baik, tapi kalau dari 100 buku, 90 daripada menceritakan hal yang sama, apa maksudnya? Adakah orang kita ini tidak faham sangat-sangat sehinggakan kita perlu beberapa buku untuk menerangkan perkara yang sama? Atau boleh dilihat dari satu sudut lagi, orang kita ini sebenar samada amat-amat kuat beragama kerana rajin membaca banyak buku agama atau amat lemah agamanya hingga perlu sebanyak-banyaknya buku agama untuk mendidik?
Sedang aku mencari-cari bahan yang hendak dibaca, ada dua orang perempuan Melayu datang dan mencari-cari sesuatu. Kemudian tersenyum apabila menemui majalah Mastika keluaran terbaru. Semuanya berkaitan hal-hal mistik yang mungkin boleh membantu mereka menjalani penghidupan mereka dengan lebih meriah. Aku memilih apa yang ada disebelah, Ridest Digest keluaran terbaru. Mahal. RM15.
Mungkin sebab itu. Majalah ilmiah adalah mahal. Lihat saja Anjung Seri, National Geographic dan lain-lain lagi. Malah buku-buku ilmiah berbahasa Malaysia sendiri pun adalah amat-amat mahal. Ada sebuah buku aku terlihat semasa di Puduraya mengenai bangsa-bangsa purba yang sudah pupus (sebenarnya sebuah buku agama juga), harga RM34. Aku terkedu. Mahal untuk sebuah buku yang agak nipis. Kalau masuk kedai buku, boleh dikatakan hampir kesemua buku ilmiah atau yang berkonsep penulisan yang menarik dalam bahasa Malaysia adalah mahal. Hampir semahal buku-buku bahasa Inggeris. Kenapa begitu?
Sebab itu aku jarang membeli buku. Ada sebab lain sebenarnya. Sebelah pejabat ada perpustakaan dengan begitu banyak buku ilmiah yang masih tidak terusik. Ada antaranya yang berusia puluhan tahun, sebelum merdeka lagi. Jadi aku masih tidak merasakan perlu untuk membeli buku setakat ini. Tapi aku beli majalah. Paling utama aku beli TopGear edisi Malaysia. Tapi sekarang aku mula berkira-kira untuk tidak membelinya lagi. Kenapa? Pertamanya editornya si Donald Cheah itu bagai seronok sendiri dan bersifat over exposure di dalamnya. Aku fikir, kalau seorang itu sanggup meletak potret diri dengan gaya metroseksual sekali ganda lebih besar dari potret Jeremy Clarkson di dalam majalah yang popular kerana Jeremy Clarkson, aku rasa dia ada isu. Aku mula bosan dengan berita mengenai koleksi jam yang tak masuk akal mahalnya. Juga aku bosan kerana semua review kereta yang beliau lakukan melihat masih kiasunya orang Malaysia terhadap kereta. Semua berkaitan Toyota dan Honda adalah terbaik. Eh.. melalut. You get my point.
Ada kalanya semasa di Larkin, akibat bosan menunggu bas, aku membaca kandungan nutrisi makanan-makanan McDonald's. Hingga setakat itu bosannya aku.
Nasib baik ketika sampai awal pagi di Larkin, semasa aku makan di McD, seorang mat saleh Amerika Syarikat sudi berbual-bual dengan aku. Puncanya, aku mengeluarkan kamera digital SLR dari beg untuk aku buat setting. Dia menegur dan bertanyakan mengenai kamera. Tidak sampai 2 minit, dia mengeluarkan kamera Olympus dan duduk di hadapan aku. Kami berbual-bual dari jam 4 pagi hingga menjelang subuh.
Umur beliau 67 tahun tetapi masih mengembara keserata dunia. Dia mahu melihat World Heritage Site, katanya. Aku pasti ianya tiada di Singapura, destinasi perjalanan beliau awal pagi tersebut. Aku kata dia patut ke Langkawi atau ke Sabah dan Sarawak untuk melihatnya. Tapi kamu faham kalau masyarakat barat sudah disogok dengan 'kehebatan' Singapura, dia kata dia mahu berehat di Singapura untuk sehari dua sebelum kembali ke Bangkok. Malaysia ini cuma laluan lintas saja. Aku tak salahkan dia. Agensi Pelancongan kita masih gagal sebenarnya.
Si Mat Saleh Amerika Syarikat yang pernah menjadi anggota tentera marin di Okinawa, Jepun dan kini menetap di Mazatlan, Western Mexico menjemput aku kesana untuk menikmati keindahan pantai Barat Mexico. Katanya sewa rumah adalah murah, cuma 8 - 10 dollar sehari, boleh memancing ikan-ikan besar sambil menikmati beer di tepi pantai menghadap lautan Atlantik. Ya, bab beer tu aku biarkan saja dia berbicara.
Menjelang jam 6 pagi, aku mencadangkan dia supaya pergi melihat bas yang boleh membawanya ke Kota Singa. Seketika kemudian setelah bersalaman, dia berlalu pergi. Sudah lama aku tidak berbual-bual dengan mat saleh. Kamu tahu apa? Seburuk mana sekali pun bahasa Inggeris kamu, mereka tidak akan pernah mengkritiknya. Malah mereka sanggup biarkan kita berkata-kata dengan perlahan agar mereka boleh faham apa yang kita maksudkan.
Orang kita? Orang kita lebih berlagak dari mat saleh sendiri. Seorang PRO syarikat besar di Malaysia ini pernah cuba untuk berbicara di khalayak umum dengan gaya bahasa Inggeris Amerika Syarikat;
"So(r), I would(r) like to(r) welcome you(r) all to(r) th(r)is event..."
Grrrr... Marahnya aku. Cakap macam biasa sudah la.
Hmm... Apa kena mengena semua ini dengan cerita aku cari buku di Larkin? Takde kena mengena. Cuma aku fikir perlu diperbanyakkan buku-buku ilmiah dan hal-hal semasa di pasaran dalam bahasa Malaysia. Aku mahu membacanya. Kalau baik, aku akan beli. Tapi aku takde masalah untuk baca buku bahasa Inggeris. Ianya membantu aku dalam banyak perkara. Termasuk dari segi perbualan dengan bangsa asing walaupun agak berkarat. Mastika tidak akan dapat membantu kamu berbuat begitu, aku pasti. Cerita-cerita mistik dalamnya tidak akan membuatkan kamu mahir berbahasa Inggeris. :-)
Ya, kesimpulan bodoh.
kuang..kuang..kuang..
BalasPadamsifat kaum melayu idan..
aku juga telah alaminya sewaktu bekerja di langkawi..
walaupun dulu i.c.u...
tapi segalanya bekemungkinan untuk mahir berbahasa inggeris...
dikutuk member setiap hari..hanya aku berkepit dengan mat saleh tua..
sedih tapi benar..
89041
89041.. Ery, mu ke ni.. sapa lagi kalu mu sorang dok ICU... heheehh
BalasPadam89075
Oit, apa kes main nombor maktab ni? :-p
BalasPadam89031
Kalau majalah bahasa melau, terutama pasai IT & fotografi..semua ditranslate drp buku ingeris..
BalasPadamsapa yang kena teka no maktab sapa punya ni?
BalasPadamPernah baca bagaimana penerbit "Penguin" terpikir ingin memulakan penerbitan buku di UK? Boleh di"google", tapi secara ringkas, dia mencari buku untuk dibaca semasa menunggu keretapi.
BalasPadamMungkin boleh dijadikan panduan.
aku pun suka baca buku ilmiah tp dlm bahasa malaysia la. bahasa inggeris aku tak berapa fasih. betul tu, buku ilmiah dlm BM amat kurang. kalau ade pun mahal. baca suratkabar je la,....
BalasPadam