Langkau ke kandungan utama

Kamu Pergi Tengok Orang Melayu Di Bukit Bintang!

Kelmarin aku ke Low Yat di Bukit Bintang. Mencari kertas Matte Art Double Sided untuk printer. Aku mahu cetak kad jemputan perkahwinan, bukan aku punya.

Aku park kereta di Berjaya Times Square dan berjalan ke Low Yat. Sepanjang jalan aku lihat budak-budak melayu yang aku pasti hampir semua dari mereka itu berumur tidak lebih daripada 20 tahun. Ada yang mundar-mandir dan ada yang melepak di sepanjang tepi bahu jalan. Dulunya aku fikir ini perbuatan pendatang-pendatang asing di Chow Kit dan Kotaraya saja. Rupanya anak melayu kita juga berbuat perkara yang sama, cumanya di Bukit Bintang.

Kemudian aku terfikir. Patutlah kaum bukan melayu marah sangat dengan orang melayu perihal hal meritokrasi, ketuanan melayu dan hak-hak istimewa orang melayu. Bila kamu berada disitu melihat anak-anak melayu kita dalam keadaan begitu, aku tak fikir sesiapa yang waras sekalipun yang mahu mempertahankan meritokrasi, hak-hak istimewa dan ketuanan melayu.

Kita sepatutnya tidak layak langsung untuk bangun dan mempertahankan semua itu sedang anak-anak melayu kita hanyut dalam arus dunia tanpa arah tujuan. Sedang bangsa-bangsa lain datang kesitu untuk berniaga, membeli-belah (kerana mereka mampu) dan lain-lain lagi, anak-anak melayu kita duduk di atas tembok mengusik orang yang lalu lalang. Anak-anak melayu kita bergaduh sesama sendiri mempertahankan ideologi muzik dan fesyen mereka. Anak-anak melayu kita berkelakuan seperti beruk dan bising sana sini tanpa arah. Apa jenis ketuanan melayu yang kita hendak pertahankan?

Kamu orang-orang politik melayu (tidak kira UMNO, PKR atau PAS) buta ke? Atau buat-buat buta sebab yang lebih penting bagi kamu adalah pangkat dan jawatan yang kamu rebut setiap 5 tahun (sekarang kamu berebut setiap hari)? Kamu pedulikah anak-anak melayu di Bukit Bintang yang setiap hujung minggu berkumpul seperti disitulah Mekah mereka? Kamu pedulikah melihat anak-anak melayu menjadi pendatang di tanah sendiri?

Kamu kata tak ada? Pergi angkat punggung berat kamu dan berjalan sekitar Bukit Bintang. Kamu berani? Aku tak fikir kamu berani. Aku pasti kamu akan ditemani puluhan bodyguard yang sombong dan bongkak berkaca mata hitam dan menolak sesiapa saja yang menghalang perjalanan kamu. Atau kamu hanya mengintai dari cermin tingkap kereta kamu. Kamu tidak peduli bukan? Tidak peduli kerana bagi kamu mereka adalah anak-anak muda yang tidak ada signifikan dalam karier politik kamu. Mereka tidak mengundi dan tidak peduli apa yang berlaku di dunia ini melainkan memenuhi kemahuan hidup mereka sendiri.

Jadi kamu biarkan mereka, anak-anak muda ini dalam dunia mereka sendiri. Kamu fikir selagi mereka ini tidak mengganggu karier politik kamu, mereka itu adalah semut...

Kamu melayu! Kamu mahu mempertahankan hak keistimewaan kamu dengan berkumpul duduk di atas tembok di Bukit Bintang? Kamu mahu mempertahankan hak keistimewaan kamu dengan menari-nari di tengah khalayak ramai di Bukit Bintang? Ya, aku tahu. Kamu peduli apa dengan hak-hak keistimewaan orang melayu. Kamu rebel. Kamu mahu hidup cara kamu. Kamu tidak peduli semua yang kolot itu. Sekarang...

Nanti bila kamu sudah pandai berfikir, kamu akan bangkit marah dengan kerajaan kerana hak-hak orang melayu sudah terhakis. Kamu tidak dapat itu ini dari kerajaan dan kamu tidak ada hak itu ini di tanah tumpah darah kamu ini.

Siapa yang sebenarnya menarik balik hak-hak keistimewaan orang melayu? Kita sendiri. Bak kata orang dulu-dulu,

"Tak Sedar Dek Untung..."

Ulasan

  1. aku_ayu9:16 PG

    dah nampak lama.. 10 tahun lepas begitu jugalah keadaannya..
    emm... sepanjang 10 tahun, dah 2x pilihanraya.. org2 politik tu tak sudah2 sibuk nak rebut jawatan.. nak rebut projek.. dan mcm2 benda lg nak rebut.. memperjuangkan melayu konon.. yg sebenarnya memperjuangkan tembolok sendiri.. hancing!!

    BalasPadam
  2. Anonymous6:14 PTG

    Aku Rase orang melayu yang tak fikirkan nasib mereka sendiri. mungkin umno seronok dengan rasuah dan PKR (PR) sibuk dengan refomasi menumbangkan kerajaan. Tapi, adakah kite fikir rezeki itu datang senang-senang. salahkan orang memang mudah tapi adakah itu merubah hidup kite. aku rase tak. yang penting diri kite. kalo nak pandai bukan datang dari kerajaan tapi dari diri kite. pada aku yang rasuah perlu disingkirkan. orang mulayu kene fikirkan nasib selepas nie kerana kita hidup dizaman sape cepat dia dapat. adakan kita terlalu cepat. lu pk la sendiri

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 2

Sambungan koleksi gambar MRSM Balik Pulau, circa 2003. Ini bas maktab suatu ketika dulu. Aku sudah tengok bas baru. Tapi bas lama ini sungguh manis kenangannya. Kami menyanyi gembira setelah muncul johan bolasepak under-15 dan under-18. Pergi berkelah di Batu Feringgi atau melawat Botanical Garden. Pergi trip ke MRSM Berseri dengan ditemani bumbung bas yang bocor. Ianya suatu kebanggaan dapat naik bas ini suatu ketika dahulu. Masa itu tidak semua sekolah ada bas sendiri. Jadi kira hebat la. Baru sekarang aku terperasan, bas tersebut ada iras-iras Penang Yellow Bus. Hmm... Padang. Kalau masa aku pergi tahun 2003 dahulu ada sign board tertulis, "Home of The Cougars", merujuk kepada pasukan ragbi maktab. Mungkin pada ketika itu ianya amat kuat. Memang ragbi masa zaman aku pun kuat juga, tapi tidak sehebat team bolasepak yang dibentuk sejak kami form 2. Sepanjang itu hingga ke form 5, kami tidak pernah tewas satu game pun (betul tak Carrie?). Jadi johan Under-15 dan Under-18 nege...

Singgah Sebentar

Entah kenapa, sejak beberapa hari kebelakangan, blog ini dikunjungi oleh lebih ramai orang. Kamu semua datang dari mana? Baca dan tengok sajalah apa yang ada di dalam ini ya. Cuma maaf, blog ini tidak ada gossip, gambar lelaki melayu bangga minum beer, lurah dada perempuan atau apa-apa saja perkara berbentuk sebegitu. Oh ya, kalau kamu yang masih lagi mencari laman web menjual tiket bas secara online, cuba Maraliner Entah, ramai betul yang datang ke sini kerana mencari laman web menjual tiket bas secara online. Google sajalah nama syarikat bas ekspres yang kamu tahu. Mungkin ada, mungkin tidak.  Aku suspek ramai antara pengguna internet tidak tahu cara mengguna enjin pencari seperti Google dan Yahoo!. Hmm... Ada sesiapa mahu keluarkan ebook cara-cara menggunakan enjin pencari Google dan Yahoo! atau lain-lain? Boleh buat duit jual ebook kepada orang ramai. Sekarang orang beli apa saja ebook. Itulah yang pelik. Sampai tips mudah mendapat kerja kerajaan pun dibuat ebook dan dijual. Malah ...

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l...