Aku memerhatikan pembinaan Masjid Putrajaya atau lebih dikenali sebagai masjid besi dari jendela pejabat. Ianya terletak lebih kurang 200 meter daripada bangunan JPN. Terpapar di satu sudut dalam tapak pembinaan adalah jumlah hari yang tinggal untuk masjid ini siap. Tadi aku nampak cuma tinggal 72 hari saja lagi. Tidak lama, lebih sikit dua bulan.
Apabila siap kelak, menjadi lebih mudah bagi aku dan lain-lain umat Islam di sekitar Presint 2 hingga 4 untuk menunaikan solat.
Kebetulan pula aku ada gambar masjid besi ini dari sudut yang sama aku telah rakam kira-kira setahun yang lalu. Menarik apabila melihat perubahan yang berlaku sepanjang waktu tersebut. Putrajaya ini masih ada masa yang panjang lagi untuk betul-betul membangun.
Aku tidak peduli dimana pihak kamu berdiri mempersoalkan kebaikan dan keburukan pembinaan Putrajaya. Boleh dikatakan setiap minggu aku menemui sesuatu yang baru di sekitar Putrajaya. Baru saja aku temui pantai berpasir berhampiran Alam Warisan di Presint 6, Putrajaya. Sesuatu yang menarik.
Kalau orang asing boleh kagum dengan Putrajaya, apa salahnya kita turut berbangga. Tapi seperti ulasan jiwafaham dalam tulisan aku sebelum ini mengenai Putrajaya, perlu ada penjagaan terhadap infrastruktur di Putrajaya. Kalau pandai bina binaan yang canggih, cantik dan megah, perlu juga kita labur untuk menjaganya. Kita tidak boleh kedekut.
Cuma disebabkan kebanyakkan pekerja yang menjaga tempat-tempat ini adalah pendatang asing, timbul pula beberapa kesan. Paling utama adalah tidak patriotik. Kenapa perlu mereka patriotik? Mereka bukan rakyat Malaysia pun. Mereka takkan bangga dengan pusat pentadbiran kerajaan asing. Kenapa perlunya penjaga yang patriotik? Kerana mereka akan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi apabila menjalankan tugas. Sama seperti groundsmen padang bola sepak kelab-kelab profesional di Eropah. Mereka bangga dengan kerja mereka. Tapi aku tak fikir orang Malaysia mahu bekerja sebegitu. Malu mungkin.
Berbalik dengan masjid besi ini, harapnya ianya akan memberi impak yang hebat, sehebat masjid Putra. Kamu perlu ingat, masjid Putra adalah masjid yang sedia ada di Dataran Putrajaya. Masjid besi ini kelak akan diberi nama Masjid Putrajaya. Jangan tanya aku kenapa.
Wow! Ada pantai berpasir berhampiran Alam Warisan di Presint 6, Putrajaya? Ada kesempatan nanti saya nak juga kesana menyaksikannya...
BalasPadamMaklum saja, kini dari aras 14 Kompleks Pejabat Parsel E saya hanya menyaksikan tasik Putrajaya dengan air keroh warna teh susu.
Ramai orang melawak: disitulah tempat Makhluk kuno Putrajaya (Jin) bercempera dan bersiram.. sebab tu airnya keroh. (Saya pun tak tahu sejauhmana cerita ni betul, dan dari mana mereka dapat sumber cerita ni...)