Tengah malam buta semalam aku terima satu panggilan. Jody dan Selina Bee ajak minum sedang aku sudah terbaring di atas tilam dengan batuk yang tak sudah-sudah sejak seminggu yang lalu. Akhirnya aku setuju pergi. Jumpa mereka di Cyberia, Cyberjaya dan duduk di kedai mamak hingga jam 4 pagi, berbual-bual. Apa lagi yang hendak dibualkan dengan sahabat-sahabat lama kalau tidak kenangan-kenangan lama.
Mereka 'puji' aku kerana banyak ingat kenangan lama dan aku ceritakannya di ruang blog ini. Aku cuma kata aku ingat apa yang aku nak ingat. Kemudian ianya membuat aku terfikir siang tadi.
Bukan orang lain tidak ada ingatan yang baik atau sudah lupa apa yang berlaku dahulu. Cuma ramai antara mereka yang tidak pandai untuk huraikannya dalam bentuk tulisan seperti ini. Kalau kamu dengar apa yang Jody dan Selina cerita semalam, aku fikir mereka lebih banyak ingat perkara-perkara lalu berbanding dengan aku. Cuma mungkin, mereka tidak mahir hendak jelaskannya dalam bentuk penulisan dan akibatnya, mereka tidak sedar bahawa mereka juga ingat banyak perkara. Aku pasti ramai antara kamu juga begitu.
Aku fikir begini, tapi ini adalah cadangan saja. Kalau kamu berminat, kita boleh teruskan. Cuma ini khas buat MRSM BP 89ers saja ye. Aku mahu bukukan koleksi cerita-cerita kamu semasa di maktab dulu. Pasti setiap orang dari kamu ada cerita yang menarik hendak diceritakan dan kalau aku dapat satu cerita dari setiap orang, kita sudah ada lebih 100 cerita. Bagaimana?
Rumit ya? Begini, kamu tidak semestinya mengarang cerita. Mungkin saja boleh disediakan dalam bentuk point-point yang kemudiannya kita sama-sama boleh terjemahkan dalam bentuk penulisan. Kemudian apabila sudah cukup kelak, kita boleh bukukan dan jual sesama kita. Kalau tiada modal untuk bukukannya dalam bentuk hardcopy, kita boleh jadikannya dalam bentuk PDF saja. Aku pasti setiap kali kamu membacanya nanti, itulah waktu kamu akan tersenyum, ketawa, menangis, sedih, kecewa dan semuanya.
Jadi, ini projek kita boleh buat sama-sama kalau sudi. "Koleksi Cerita-Cerita 89ers". Aku tahu, tajuknya kurang menarik. Boleh difikirkan nanti. Ideanya begini;
- Setiap orang mengirimkan cerita masing-masing mengenai kenangan semasa di maktab, tidak kira apa jua keadaannya. Setiap orang boleh hantar lebih dari satu cerita.
- Kalau tak pandai menulis, cukup saja dalam bentuk point begini. Kemudian kita olah bersama hingga menjadi rangkap-rangkap cerita yang menarik.
- Tiada satu cerita yang sama. Maksudnya kalau ada lebih dari seorang yang menyumbang cerita yang sama, kita akan kreditkan penulisan itu kepada seberapa orang yang menceritakan cerita tersebut.
- Setelah cukup 50 (atau mungkin 100), kita akan bukukan dan kirimkan secara percuma kepada setiap orang 89ers (yang boleh dihubungi dalam bentuk PDF. Kalau kita boleh cetak dalam bentuk buku, kita terpaksa cas harga yang minima. Mungkin Faris Fahmi boleh tolong dengan hal percetakan.
- Kita hasilkan dalam bentuk volume sekiranya banyak, dan aku pasti ianya banyak.
- Aku boleh uruskan hal kumpul dan susun hingga jadi buku/PDF.
- Aku (dan kamu juga) sudah tidak cukup muda untuk ingat semuanya. Kalau ada buku ini nanti, sekurang-kurangnya di masa mendatang, ia menjadi kenangan buat kita. Aku mahu tersenyum bila membacanya suatu masa nanti.
- Aku teruja dengan cerita Jody mengenai apa yang berlaku dalam kelas seperti mengusung meja dan kerusi setiap kali masuk kelas, usikan-usikan bebudak lelaki terhadap bebudak perempuan dan banyak perkara lagi. Aku sudah lupa perkara itu sebenarnya.
- Aku sedari kamu juga ada cerita menarik hendak diceritakan tapi mungkin tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya atau di mana. Jadi buku/PDF ini adalah solusinya.
Aku mahu usahakan sesuatu untuk kenangan kita. Harapnya kamu sudi untuk turut serta. Kirimkan email atau post saja di yahoogroups 89ers atau tinggalkan komen pada blog aku dengan setiap cerita ditandakan sebagai cerita yang hendak kamu kirim.
Gambar-gambar reunion tempohari meninggalkan seribu kenangan. Cerita yang kamu baca bakal meninggalkan seribu senyuman, InsyaAllah. Oh ya, aku fikir tajuk yang sesuai,
Nostalgia 89ers... atau cukup sekadar Nostalgia.
Ulasan
Catat Ulasan