Menjadi Kurus
Aku tanya bagaimana beliau lakukannya. Pertama, secara jelasnya memang beliau tidak makan nasi. Bayangkan tidak makan nasi 10 bulan. Keduanya, beliau cuma makan siang bila perlu. Malah kalau waktu pagi, selalu aku lihat beliau takkan makan, atau cuma minum sekotak air susu bersama 2 keping sanwic. Malam kalau dia lapar, dia akan minum air kosong banyak-banyak dan kemudian tidur. Ekstrem sungguh diet yang dia lakukan. Aku takkan mungkin sampai kesitu. Aku suka makan.
Cuma, lupakan perihal diet beliau. Fikirkan kesungguhannya. Dia mahu dan berusaha untuk lakukannya. Sama seperti aku (walau aku rasa seperti separuh jalan saja gayanya...), aku juga mahu kurus dan aku cuba berusaha. Bukan kerana orang dan bukan kerana sesiapa pun. Tapi pertamanya untuk kesihatan dan keduanya, aku cemburu melihat diri aku dulu, kurus.
Kerana itu juga banyak posting aku yang berbunyi sebegini; usaha-usaha aku untuk diet. Bukan kerana aku mahu tonjolkan kepada orang tentang perbuatan aku. Aku menulis kerana aku mahu diri aku sentiasa berminat melakukannya. Selalu memikirkannya. Seterusnya aku akan berusaha melakukannya.
Di mana ada usaha, di situ ada jalan. Maka sekarang aku jadikan Ajla (separuh dari nama beliau) sebagai benchmark aku. Kalau dia boleh kurangkan 19kg berat badannya dalam 10 bulan, sudah tentu aku juga boleh lakukannya. :-)
Buku Telefon Dan Isinya
Tadi aku membuka senarai nombor telefon didalam telefon bimbit. Melihat nama-nama yang terdapat didalamnya. Aku sedari diri ini sebenarnya 2/3 dari masa adalah bersendirian. 1/3 lagi kerana aku berada di pejabat. Aku menghantar mesej kepada seorang dari dalam nama-nama dalam telefon bimbit tersebut,
"Selamat Malam."
"Slmt mlm. xtdo lg"
"Belum. Teringat cik adik seorg ni."
"Kt mane lm xnmpk. kete pn org lain bwk"
"Ada. Cuma sibuk. Sekarang bawa kereta sendiri. Senang sikit. Lama juga tak nampak. Nak terserempak di kafe pun susah."
"Jrg trn kafe. xtau dh nk mkn ape kt bwh 2. ingtkn a.idan g kursus kt mana2"
"Mungkin saya rindu. Hehe. Semoga sentiasa bahagia. Take care."
Begitu lebih kurang. Jangan keliru kenapa setiap mesej aku ditulis lengkap. Untungnya telefon bimbit Samsung ini kerana ada sistem menulis mesej T9 dalam bahasa Malaysia. jadi tidak perlu aku menekan tiga empat kali untuk mendapat huruf F atau S. Pedulikan.
Bukan itu yang hendak aku cerita.
Suatu masa dahulu aku selalu juga menghantar mesej mengucap selamat malam kepada beberapa orang. Selalunya hanya seorang dua saja yang akan membalas kembali. Aku pun sudah agak siapa yang akan balas. Ada seorang di pejabat, kalau beliau tidak dapat membalas, esoknya beliau memohon maaf dan katanya dia sudah tidur. Takpelah. Itu aku tidak peduli.
Tapi apa rasa kalau kamu hantar beberapa mesej yang agak penting dan orang tersebut tidak membalasnya. Atau kamu telefon, tidak dijawab. Kamu rasa amat-amat terkilan, mungkin. Kalau seperti aku, tidak lama kemudian aku telefon dan dia jawab dan memberi seribu alasan. Kemudian perkara yang sama berlaku kembali. Setelah beberapa kali begitu, kini sudah lebih 2 bulan aku mendiamkan diri darinya walau hakikatnya ada sesuatu milik aku padanya yang aku "mahu" kembali sekiranya tidak digunakan. Sebuah headphone.
Jadi aku biarkan saja. Malah kalau aku keluar berjalan-jalan di kompleks membeli belah, aku akan membelek-belek beberapa headphone dengan niat untuk membelinya. Entah. Itu mungkin tabiat aku yang ada beberapa orang tidak suka. Terutama kawan-kawan baik aku, sejak dulu lagi. Aku lebih rela berdiam diri dari mencari dan meminta di depan mata orang yang tersebut. Aku tak sanggup lakukannya.
Sekali sekala terdetik dalam diri ini untuk menelefon dia, bukan untuk meminta headphone. Cuma mahu bertanya khabar. Setiap kali itu juga, aku memaksa diri untuk tidak melakukannya. Dalam hati seperti berkata,
"Biarkanlah..."
Sehingga berfikiran begitu. Aku tahu ada sahabat dia yang membaca blog ini. Tidak perlu perkatakan hal ini kepada dia. Ini antara aku dan dia saja.
Hakikatnya, aku betul-betul sukakan dia. Kerana setiap kali memandang wajahnya, terutama matanya, seperti melihat bidadari. Entahlah, mungkin sikap aku ini terhadap dia kerana aku sukakannya. Aku tidak mendesak kerana perasan. Mungkin begitu. Aku tak pasti. Jangan tanya aku. Kalau sekarang kamu tanya, masih ada lagi perasaan itu, jawapan paling jelas; masih. Sejauh mana; mungkin tidak seperti dulu kerana aku sedar dia sudah berpunya. Dan aku, bila mengetahui keadaannya begitu, pasti takkan mahu berbuat apa-apa lagi.
Dia tahu perasaan aku? Sudah pasti. Sudah beberapa kali aku menyatakannya. Respon? Perlukah aku jelaskan bagaimana kalau kamu sudah tahu jawapannya?
Mengingatkan aku tentang beberapa tahun lalu. Sewaktu ada Zura. Minggu lepas ketika di Tanjung Tuan, Port Dickson, ingatan itu amat jelas. Ketika melihat senja, aku terkenangkan jalan-jalan kami di tepian pantai sehari sebelum Zura berlepas ke Miri untuk menjadi seorang guru. Ketika itu aku tahu, itulah akhirnya nanti. Selepas ini, aku takkan dapat lagi miliki beliau.
Sama seperti begini. Sewaktu aku tinggalkan tempat kerja lama. Ketika itu aku sedar, takkan mungkin aku boleh melihat beliau selalu dan memperolehi apa yang aku inginkan.
Kepada Tanpa Nama
Kamu bersembunyi dari diri ini, aku tidak mengerti kenapa. Namun takkan sekali aku pujuk kamu untuk keluar dari sembunyi kamu. Kerana bila tiba masa nanti mungkin, kamu sudi memperkenalkan diri kamu.
Sehingga tiba waktu itu, terima kasih kerana selalu membaca tulisan-tulisan di sini. Kamu pastinya amat-amat mengenali diri aku sekarang. Tidak adil rasanya kerana aku langsung tidak mengenali kamu.
Tidak mengapa. Aku sentiasa gembira dengan setiap komen yang kamu berikan. Sekurang-kurangnya ia membuatkan aku tidak jemu menulis.
Terima kasih.
p/s: Kamu tahu siapa kamu yang aku maksudkan.
This comment has been removed by a blog administrator.
BalasPadamDengarlah hai teman..dengarkan pesanan.... Aku menulis bukan kerana nama..kerna sifat kasih pada sesama insan..dan menyatakan kasih sayang ku..kita sama semuanya sama...apa yang ada hanyalah kehidupan..
BalasPadamThis comment has been removed by a blog administrator.
BalasPadamAnd also the first one...
BalasPadam