Masalah juga begini. Kadang-kadang ada perkara yang hendak diperkatakan kepada seseorang, namun akhirnya diam membisu dan terlupa begitu saja.
Aku terlalu memikirkan implikasinya. Kalau cakap begini, apa yang akan berlaku. Kalau cakap begitu, apa respon nanti yang aku terima. Akhirnya aku tidak bercakap. Lalu diam dan membisu. Akhirnya ketinggalan dan terlepas. Begitulah selalunya.
Aku sudah penat berterus terang. Aku sentiasa kecewa kerananya. Jadi, sebolehnya aku amat berhati-hati apabila hendak berkata-kata. Aku tidak mahu menimbulkan risiko. Atau sebenarnya aku tidak mahir berkata-kata, berbeza dengan jari jemari ini yang mampu menulis apa saja. Mulut lebih selesa menjadi kelu dari meluahkan sesuatu.
Atau juga, aku lebih selesa berkata-kata sendirian daripada menyatakan sesuatu kepada orang lain. Aku pasti skil komunikasi aku pada tahap paling lemah dikalangan manusia ini. Realitinya, 70% daripada masa hidup aku adalah sendirian. Tiada orang disekeliling yang aku kenal dan boleh bertegur sapa. Malah di hujung minggu, ianya cuma ada aku semata-mata. Kemana saja aku pergi, cuma aku saja yang ada. Orang lain aku langsung tidak kenali.
Ya, aku tahu. Pasti ada yang mahu menawar diri. Cuma, aku pasti akan bersimpati dengan kamu. Aku tidak mahu kamu bersusah payah kerana aku. Aku lebih rela berdiam diri dari berkata-kata sesuatu. Aku lebih rela terperap disudut kedai buku dari duduk berbual-bual dengan kamu. Kerana aku tidak tahu dan tidak pandai untuk berbicara. Setiap kali aku berkata-kata, ianya seperti terlalu berat untuk aku luahkan dan untuk orang lain menafsirkannya. Orang tak faham jenaka aku. Mungkin terlalu kompleks atau mungkin terlalu bodoh.
Kalau kamu masih mahu juga berbual-bicara dengan aku, boleh. Seberapa ketika, kamu akan gembira. Lama kelamaan, kamu akan bosan. Kerana aku lebih banyak diam dari berkata-kata. Aku tidak bergossip, jauh sekali mahu mengambil tahu perihal artis atau apa saja berita sosial. Bahan bacaan utama aku adalah National Geographic. Jadi kamu pasti faham orang bagaimana aku ini.
Aku menonton wayang berseorangan. Kamu tahu, aku selalu lihat disekeliling. Aku lihat orang ketawa gembira bersama rakan dan teman mereka. Sebenarnya aku cemburu. Kerana aku tidak punyai keadaan seperti itu. Kalau ada pun, cuma untuk sementara waktu. Jadi, seringkali apabila berjalan, aku akan menunduk kepala. Bukan kerana segan atau sedih, tetapi kerana aku tidak mahu melihat kegembiraan orang lain.
Malah, dari kalangan keluarga aku sendiri, aku adalah antara yang terpinggir. Bukan dipinggirkan tetapi sentiasa merasa terasing didalam keluarga sendiri. Lebih separuh dari hidup aku terpisah daripada mereka. Jadi, aku sebenarnya tidak begitu mengenali keluarga sendiri. Tidak benar-benar kenal ayah dan emak. Bukan berkrisis, tetapi lebih berasa terasing. Rakan-rakan selalu bertanya, kenapa aku jarang balik ke kampung. Aku selalu kata aku agak sibuk. Realitinya apabila di kampung, aku sering bersendirian. Sejak lama dulu memang begitu. Tetapi berani aku kata, aku paling menjaga kata-kata dengan mak dan ayah dan aku amat marah apabila adik-adik melawan dan mengeluh terhadap mak dan ayah; terutama emak.
Orang mungkin agak hairan kenapa aku pergi ke Langkawi seorang diri suatu ketika dahulu. Itulah hidup aku. Lebih banyak sendirian. Apabila kamu ada 10 tahun untuk hidup sendirian, kamu rasakan ianya adalah biasa. Sudah menjadi rutin.
Apabila sendirian itu sudah menjadi rutin, maka dalam keadaan beramai-ramai, aku adalah orang asing.
Ulasan
Catat Ulasan