Sebentar tadi sempat aku menonton filem Outsourced. Tidak perlu aku cerita sinopsisnya. Cuma, dalam satu babak, ada adegan di mana watak utama diminta menari tarian ala filem Hindustan, Kuch Kuch Hota Hai.
Segan pun tak guna, tapi sebenarnya aku memang suka filem itu. Mungkin Kuch Kuch Hota Hai satu-satunya filem hindustan yang aku suka, dan aku salahkan Bob kerananya. 10 tahun lalu semasa aku dan Bob tinggal di Kelana Jaya, Bob telah berkenalan dengan seorang gadis Johor yang sedang belajar di Medan, Indonesia. Dek kerana begitu kasihkan gadis tersebut, Bob sanggup lakukan apa saja demi memenangi hati si gadis. Termasuk menonton filem-filem hindustan kegemaran si gadis. Sedang selama itu aku kenal Bob adalah peminat muzik rap dan alternatif serta meminati filem-filem aksi. Jarang sekali aku lihat beliau menonton filem cinta, apatah lagi filem hindustan. Suatu hari sedang aku berehat di bilik, Bob tiba setelah keluar dengan si gadis. Ada beg plastik berisi VCD (masa itu DVD belum popular).
"Cerita apa Bob?"
"Hah? Hindustan..."
Aku tergamam. Seperti tidak percaya dengan apa yang Bob jawab.
"Biar betul. Sejak bila kau tengok hindustan?"
"Sejak aku kawan dengan Ima." Jawabnya ringkas sambil sibuk menanggalkan baju dan mencapai tuala, kemudian duduk di atas kerusi.
"Kau tahu Dan, aku memang terpaksa buat. Dah Ima memang suka filem hindustan, jadi aku kena suka juga."
Aku ketawa. Aku ingat Bob bergurau atau sudah hilang akal.
"Takkan sampai macamtu sekali, Bob."
"Tak Dan, memang kena. Kalau kau dah sayang orang tu, kau akan buat juga."
Bob hidupkan komputer di atas meja. Plastik membungkus VCD dikoyak dan sekeping CD dimasukkan ke dalam pemain CD di komputer. Aku terpinga-pinga bila melihat cover VCD. Memang cerita hindustan. Ada beberapa tajuk tetapi Bob sedang memainkan filem bertajuk Kuch Kuch Hota Hai.
"Ima kata filem ni best. Aku kena tengok."
"Ye ke? Siapa berlakon?" Macam la aku kenal...
"Shah Rukh Khan, Kajol dan Salman Khan"
"Aku tak kenal..." Memang aku tak kenal.
Seingat aku kali terakhir aku menonton filem hindustan sebelum hari itu sepuluh tahun lalu adalah ketika di MRSM Balik Pulau. Suatu petang hujung minggu dengan beberapa orang budak lelaki di Dataran Selera. Pelakonnya tidak lain tidak bukan adalah Shah Rukh Khan, semasa itu beliau memegang watak jahat sedang diburu polis.
"Cerita pasal apa ni Bob?"
"Aku pun tak tahu. Ni aku nak tengok ni. Lepas ni boleh aku borak dengan Ima pasal filem ni."
"Takkan la pasal Ima suka cerita hindustan, kau pun kena tengok juga? Bukan Ima nak kira sangat kau suka ke tak filem hindustan."
Bob memang sedang kusyuk menonton filem Kuch Kuch Hota Hai yang sedang tersiar di skrin LCD 15 inci atas meja.
"Bukan macamtu Dan. Aku nak Ima tahu aku suka dia dan sanggup buat apa saja untuk dia. Kau sendiri tahu aku tak pernah suka tengok filem hindustan. Aku bukan tengok saja-saja. Aku tengok sebab bila Ima cerita pada aku mengenai filem-filem hindustan, aku takde la melopong je. Sikit-sikit aku tahu jadilah. Boleh aku tunjuk aku tahu."
Panjang lebar Bob jelaskan kepada aku tujuan sebenar beliau menonton filem hindustan. Bob kembali kusyuk menonton. Aku dengan sikap keras hati aku ketika itu, berpaling dari skrin LCD dan mencapai bantal. Tidur.
Esoknya ketika Bob pergi kerja dan aku yang masa itu masih menganggur keseorangan di bilik. Hendak keluar, duit tidak ada. Terpinga-pinga aku merenung siling, tak tahu apa yang hendak dibuat.
Aku bergerak ke meja komputer. Ada beberapa CD dan kotak VCD filem hindustan di meja. Aku belek satu persatu. Aku biarkan. Aku buka komputer dan terus bermain games. Sedang asyik bermain games, VCD di meja seperti memanggil-manggil aku. Sekali sekala aku jeling VCD di atas meja. Tak boleh jadi.
Aku capai sekeping CD. Masukkan kedalam pemain CD komputer. Filem Kuch Kuch Hota Hai. Entah kenapa selama lebih 3 jam aku terpaku menonton filem tersebut. Dalam hati,
"Menarik sungguh cerita ni..."
Sejak itu sehingga kini, aku meminati filem Kuch Kuch Hota Hai. Bob tidak pernah tahu.
kah kah kah.. tergelak sungguh..
BalasPadamdapat dibayangkan wajah idan dikala tergamam dan terpinga-pinga tu..
Sayang sekali awak rabun warna Idan. Kalau tak, mesti seronok awak membilang warna pakaian utk setiap lagu. Paling kurang 9 baju berlainan warna utk lagu KKHH tu. Apa ending Bob dan Ima tu? -ayp
BalasPadamMereka sudah berkahwin dan punyai dua orang anak.
BalasPadam