Aku mulakan perjalanan hari ini tanpa arah tujuan. Aku terus memandu kerana aku terasa ingin memandu. Mengambil seperti kata-kata Forrest Gump bila ditanya wartawan kenapa beliau berlari tanpa henti selama lebih tiga tahun, jawabnya mudah,
"I just felt like running..."
Begitu juga aku hari ini,
"I just felt like driving..."
Melepasi Putrajaya dan Cyberjaya, aku menuju ke Dengkil. Mulanya ingin belok ke Dengkil dan kemudiannya ke Banting. Mencari kalau ada restoran makanan segera di sana.
Tiba di simpang ke Dengkil, aku terus saja tanpa masuk ke simpang tersebut. Aku menuju ke arah simpang ke Salak Tinggi dan KLIA. Kemudian terfikir hendak ke KLIA dan duduk saja di sana sambil makan di restoran makanan segera. Kemudian boleh melihat pesawat berlabuh dan terbang.
Tidak. Aku belok ke kiri menuju ke arah Salak Tinggi dan Nilai. Bila hampir tiba di Salak Tinggi, aku teringat berhampiran Hotel Empress situ ada sebuah KFC. Mungkin di situ saja.
Tidak juga. Aku terus saja melewati Salak Tinggi dan belok ke jalan susur ke pekan Salak. Pekan ini tiada restoran makanan segera. Cuma ada pameran MECD yang sedang rancak berlansung. Aku tidak minat untuk singgah. Aku teruskan perjalanan.
Melalui liku-liku perjalanan yang sering aku lihat dari dalam kapal terbang apabila berlepas dan hampir mendarat. Aku boleh bayangkan permandangannya dari udara dan ianya seperti laluan yang aku lalui ini. Tiba di pekan kecil Sepang, ada simpang menuju ke Port Dickson dan Sungai Pelek. Menarik juga kalau makan di Port Dickson.
"Terlampau jauh dan sesak..."
Lalu aku belok menuju ke Sungai Pelek. Jalan ini akhirnya boleh tiba juga di Banting, rancangan asal aku untuk lokasi makan.
Aku sentiasa suka laluan ini, tidak sesak dan sentiasa damai. Tambahan pula cuaca yang redup dan bumi seperti selepas di basahi hujan, nampak begitu "baru".
Namun tiba di Sungai Pelek, aku semakin lapar. Maklumlah sejak malam semalam hingga err.. jam tiga ini, masih belum makan. Aku mulanya tidak fikir di pekan sekecil Sungai Pelek ini akan ada restoran makanan segera.
Jadi seperti di hari lahir aku, aku akan makan di restoran makanan segera sambil membaca buku atau majalah, berseorangan. Hari ini, di Sungai Pelek. Jauh dari kamu semua, aku yakin.
Aku tidak lama di restoran. Hati ini masih mendesak untuk memandu. Aku masih terasa mahu memandu. Lalu aku teruskan perjalanan menuju ke Bagan Lalang dan terus melalui jalan ke Morib dan Banting.
Inilah salah satu laluannya yang amat lurus. Seingat aku, laluan lurus ini adalah lebih 5km jauhnya. Hadapan dan belakang kamu adalah laluan lurus yang bila tenang, tiada apa yang kamu lihat sepanjang jalan tersebut. Nyaman dan damai.
Sempat juga aku singgah di tepi pantai berhampiran jalan untuk mengambil gambar laut Selat Melaka yang mungkin sedang mengalami air pasang. Lihat saja pokok yang ditenggelami air.
Kawasan ini agak cantik tetapi cuma untuk permandangan dan mungkin, memancing. Kamu takkan mahu mandi di sini. Tetapi suasananya agak menarik dengan burung camar yang berterbangan dan bermain-main di gigi air. Mungkin sedang memburu ikan di dalam air.
Aku teruskan perjalanan. Sebenarnya aku terus hingga ke Morib. Dari Morib aku membelok kiri ke Jugra. Asal niat di hati, hendak melihat peninggalan sejarah di Jugra. Namun disebabkan hujan lebat, aku cuma melaluinya dalam suasana hujan. Kalau kamu tidak biasa di kawasan ini, aku nasihatkan kamu guna GPS. Ianya seperti jalan kampung yang kecil dan sempit. Namun aku pasti kamu takkan sesat di sini.
Aku juga pertama kali melaluinya dan aku fikir ianya agak mudah untuk sesiapa saja pergi. Aku pasti akan kembali dengan kamera untuk merakamkan suasana di sekitar Jugra.
Cuaca sudah semakin gelap dan hujan masih belum reda. Aku teruskan saja perjalanan pulang kerana tiada apa lagi yang boleh aku lakukan dalam hujan ini. Tetapi dalam perjalanan, aku terfikir. Mungkin dek kerana beberapa SMS yang aku terima sepanjang perjalanan bertanyakan dengan siapa aku sambut hari lahir. Kalau dengan orang, pastinya ada hadiah. Bila berseorangan ini, tiadalah.
Inilah hadiah yang aku pilih untuk diri sendiri. Sebuah album kumpulan muzik paling aku minati, The Beatles.
...dan sambil menulis ini, aku sedang menikmati lagu-lagunya.
Kamera : Samsung SGH-L700
kadang2 memandu tanpa tujuan ni pun menyeronokkan, dan bagan lalang memang cantik terutamanya bila matahari hampir terbenam...
BalasPadamapa2 pun, happy birthday sekali lagi...yg penting happy walaupun berseorang diri...kan?
p/s: mungkin ini juga yang bakal saya buat di hari jadi saya nanti. hihihi...
huhu.. birthday kau ke ari nie fross.. apesal aku tak tau.. huhu..
BalasPadamsampai hati tak gtau..
tapi takde adiah ler pulak..
ape-ape pun.. selamat hari lahir..
semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki juga jodoh.. hehehhehe
happy birthday again.. :D
Setelah membaca blog saudara, saya percaya semalam kita begitu hampir, Jam 4.00 ptg semasa hujan saya di MIAT lepas itu ke Bandar Baru Nilai dan ke MIAT semula. Saya berlepas ke Seremban jam 5.30 petang. Apa-apa pun, saya suka gambar-gambar yang saudara rakamkan.
BalasPadam