Hariman, sahabat semasa di Maktab dulu mengirim gambar ini kepada aku tempohari. Baru hari ini aku berkesempatan untuk membuka dan melihatnya.
Aku tenung gambar ini beberapa ketika. Memerhatikan detail pada gambar ini. Mulanya aku ingin menulis mengenai ayat "Home Of The Cougars". Cougars adalah gelaran bagi pasukan ragbi maktab, pasukan senior. Pasukan junior pula dikenali sebagai Foxes (zaman aku dulu). Pernah juga pasukan kami bercadang untuk menukar nama gelaran pasukan kepada nama lain. Antara nama yang aku masih ingat untuk dicadangkan adalah "Assault". Pelik juga nama gelaran begitu tapi mungkin kerana zaman itu, Thrash Metal sedang hebat mempengaruhi minda.
Pencapaian terbaik zaman aku dulu (1989 - 1992) adalah mendapat tempat ke-3 peringkat negeri. Sayangnya, medal tersebut sudah hilang dari koleksi aku.
Kemudian aku perhatikan lebih lama gambar ini. Apa yang sebenarnya aku cari? Pertama, melalui peta yang terpapar di papan tanda ini, aku masih boleh ingat setiap bangunan yang ada. Aku juga masih ingat lokasi papan tanda ini. Tepi padang berhampiran yang mana dulu pelajar selalu berlatih softball dan hoki. Ada cerun tepi padang yang menjadi tempat lepak setelah penat bersukan. Namun aku dapati ianya agak lapang sekarang berbanding dulu.
Akhirnya aku dapat jawapannya. Ini bukanlah persoalan daripada Hariman yang menghantar gambar. Ini persoalan aku sendiri. Aku sedari sesuatu dan aku bandingkan dengan sekolah serta institusi pendidikan di negara barat.
Betul juga apa yang beberapa orang yang meninggalkan komen di blog ini tidak lama dulu. Selepas tamat belajar di maktab, kebanyakkan bekas pelajar sama ada terus mengasingkan diri dari maktab atau terasa terasing dengan maktab. Tiada bonding melainkan Ansara yang terlalu besar dan secara jujur aku fikir, ianya agak politikal.
Aku pasti ada antara bekas pelajar yang sekarang sudah bergelar jutawan atau punyai aset yang cukup banyak. Mungkin mereka tiada ruang atau tidak nampak peluang, masih belum aku dengar ada antara mereka yang memberi sumbangan kepada maktab dalam apa bentuk. Mungkin membekalkan makmal komputer maktab dengan peralatan komputer tercanggih atau membekalkan perpustakaan dengan stok buku yang mencukupi. Sama ada aku belum pernah dengar atau tiada yang memberitahu.
Tidak mengapalah. Cuma, sepatutnya ada "avenue" yang lebih khusus untuk bekas pelajar memberi sumbangan balik kepada maktab. Mungkin, mana tahu suatu hari nanti aku mahu sumbang apa-apa kepada maktab, aku perlu tahu bagaimana dan cara yang terbaik untuk melakukannya tanpa ianya nampak seperti ada kepentingan peribadi atau lain-lain yang boleh menyebabkan MACC datang jumpa aku.
Persatuan Alumni agak kurang berkesan rasanya. Mungkin ada jalan yang lebih baik supaya manfaat boleh dirasa oleh pelajar yang ada sekarang dan masa akan datang. Mungkin kamu boleh fikirkan.
Ulasan
Catat Ulasan