Langkau ke kandungan utama

Kamu Perlu Buka Mata Lebih Besar

Aku ada cadangan buat kamu semua. Selain daripada membaca Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, New Straits Times, Kosmo! dan Metro dan mendengar berita di TV1, TV3, NTV7 dan TV9, aku cadang kamu baca juga media alternatif lain seperti The NutGraph, The Malaysian Insider, Malaysiakini, CNN, AFP, BBC dan dengar juga berita di Astro Awani, Al Jazeera serta mungkin Bernama TV.

Kemudian, barulah kamu buat keputusan berdasarkan berita-berita yang tersiar dalam media tersebut. Jangan kamu terlalu mempercayai sesebuah media hanya kerana datuk nenek kamu membaca/mendengarnya sebelum ini.

Namun, media online seperti The NutGraph, The Malaysian Insider dan Malaysiakini ini adalah media alternatif yang kalau kita baca, mungkin pada fikiran kita mereka adalah pro-pembangkang. Aku tidak libat sebegitu. Apa yang mereka cuba lakukan adalah memberi ruang yang sama rata kepada mana-mana pihak. Secara personal, penulis di media alternatif ini adalah 10 kali lebih bermutu daripada media arus perdana. Mereka tidak terpengaruh dengan politik mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, agak merugikan kerana ramai orang Melayu kita yang tidak pandai membaca artikel berbahasa inggeris menyebabkan mereka agak keberatan untuk membaca berita di media alternatif yang rata-ratanya berbahasa inggeris. Maka, akhirnya mereka akan membaca cuma akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo! dan Metro. Seperti juga yang kita tahu, kesemua akhbar ini adalah pro-BN, maka tidak hairan kalau semua berita mengenai BN adalah bersifat positif semata-mata. Kalau itu kita boleh terima sebagai asas media kelas pertama, tidak mengapalah. Cuma maaf, aku tidak mahu menjadi secetek begitu.

Aku tetap membaca Utusan atau Berita Harian tetapi atas prinsip yang seperti aku sebutkan sebelum ini, mencari alternatif. Dan bagi aku kedua-dua media tersebut adalah media alternatif aku. Media arus perdana aku adalah internet. Kalau kamu boleh berkata dengan tulisan seramai 300 orang pergi merusuh, kamu takkan boleh menipunya dengan gambar-gambar yang terpapar banyak di internet. 

Kemudian, aku sebenarnya tidak faham kenapa orang Melayu kita terlalu obses dengan akhbar Metro. Apa value berita di dalam Metro hingga perlu kita baca? Bagi aku Metro tidak lebih daripada tabloid yang mensensasikan berita-berita kecil yang lebih bersifat memalukan orang lain demi menarik pembaca. Namun aku sedar, hakikatnya ramai orang Melayu yang terlalu sukakan berita-berita sensasi yang mendedahkan kelemahan perilaku orang lain. Maka tidak hairan kalau perceraian artis terkenal mendapat tempat di muka hadapan Metro berbanding berita lain yang lebih besar. Kerana bagi orang Melayu, artis bercerai, artis kena tangkap basah, pusat maksiat orang Melayu, orang Melayu minum arak, orang Melayu berjudi, orang Melayu bergaduh, orang Melayu mengamalkan seks bebas dan lain-lain buruknya orang Melayu ini adalah berita besar yang perlu didedahkan seluas-luasnya kerana SEMUA orang mahu tahu.

Kita tidak perlu tahu mengenai Large Hadron Collider (LHC) kerana pertamanya, kita tidak faham apa maksudnya dan kedua, kita tidak peduli kerana ianya tidak berkaitan dengan kita (walau kalau betul teori sesetengah saintis, bakal boleh menghancurkan dunia). 

Kita juga tidak perlu tahu mengenai bengkrapnya ING dan bank-bank lain di seluruh dunia akibat kegawatan ekonomi kerana media arus perdana di Malaysia mengatakan ekonomi Malaysia adalah sentiasa kukuh dan tidak akan terpengaruh dengan kesan ekonomi global. Sedang kita berbangga kerana menjadi negara pengeksport utama dunia (seperti yang sentiasa disogok oleh media arus perdana). Apa logiknya ekonomi Malaysia takkan terpengaruh kalau kita ini digelar antara pengeksport utama dunia sedang di negara lain dalam dunia ini sedang mengalami masalah ekonomi? Kemana kita eksport barangan kita? Ke Bulan? Kalau media seluruh dunia mengatakan kesan kemelesetan ekonomi kali ini adalah bersifat global, adakah global itu tidak termasuk Malaysia? Mungkin mereka boleh perbetulkan ayat mereka,

"Kemelesetan ekonomi sekarang adalah kemelesetan secara global kecuali Malaysia."

Yep... Kecuali Malaysia kerana Malaysia mengeksport produk mereka ke bulan, Marikh dan beberapa planet di galaksi Andromeda. Pasaran produk Malaysia di sana amat baik dan permintaan sentiasa tinggi. Makhluk di sana mempunyai kuasa beli astronomikal sehinggakan Malaysia tidak perlu mengeksport kepada negara-negara di dunia yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi.

Ya, aku tahu. Poyo.

Namun, akhirnya, pilihan untuk mempercayai mana-mana media adalah terletak kepada individu itu sendiri. Pertamanya, mereka perlu celik akal dan dapat membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Keduanya, mereka perlu memberi ruang dalam pemikiran mereka untuk menerima pendapat orang lain. Ketiganya, mereka perlu bersifat terbuka kerana tanpa keterbukaan, segala maklumat yang tersedia di alam ini adalah sia-sia saja.

Kenapa? Okay aku beri contoh untuk melihat keterbukaan kamu. Pergi ke halaman web Kerajaan Filipina dan lihat di bawah About The Philippines, baca kandungan dalam General Information. Baca dulu kemudian sambung baca tulisan aku di bawah.

Sudah baca?

Sudah baca yang di bawah ini?

Ethnic Groups: 91.5% Christian Malay, 4% Muslim Malay ,1.5% Chinese and 3% other.

Apa yang kamu rasa sekarang? Boleh terima hakikat?

Ulasan

  1. Buat masa ni, cuma akhbar Harian Metro saja yang tulisannya cukup besar dan berwarna hitam pekat, yang nampak jelas untuk mata seorang tua berusia 81 tahun - Tok saya :)

    Kalau tulisan Jawi, lagi bagus untuk bacaan Tok. Cuma sekarang Utusan Melayu yang sekarang hanya terbit seminggu sekali dengan sisipan Utusan Malaysia.

    Tapi isu akhbar jawi tu boleh jadi satu entri baru dalam blog...heh.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Malam Di Taman Tasik Titiwangsa

Sudah lama aku tidak membuat fotografi malam. Biasanya aku akan guna Canon EOS 400D aku kerana lebih baik kualitinya dan lebih hebat hasilnya. Memandangkan kamera tersebut sudah sedikit rosak dan juga pada malam semalam hanya kamera digital Sony CyberShot DCR-W350 saja yang berada di tangan, tiada pilihan selain cuba menggunakan kamera tersebut dan melihat hasilnya nanti.

Seperti yang dijangka, hasilnya kurang memuaskan. Begitu banyak noise yang terkandung dalam setiap gambar yang dirakam. Aku tidak menggunakan flash kerana mahu merakam suasna sebenar sekitar Taman Tasik Titiwangsa malam semalam.

Tanpa tripod, ianya lebih menyukarkan keadaan. Aku terpaksa menggunakan apa saja yang ada di sekeliling sebagai 'tripod sementara'.
 Satu perkara yang aku sedari, di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, begitu ramai orang duduk berehat di sepanjang tasik. Cuma keadaan agak gelap kerana lampu yang ada tidak berfungsi. Suasana sedikit dicerahi dengan lampu jalan tidak jauh dari taman. Cahaya da…

Kereta Ku Lari Gagah Berani!

Aku memandu sebuah Perodua Kancil ke pejabat setiap hari bekerja. Perjalanan sejauh lebih 25km dari Bandar Sunway ke Putrajaya aku lalui seorang diri. Jadi pada fikiran aku, Kancil adalah kenderaan yang sesuai untuk jarak perjalanan dan jumlah isi pengguna di dalam kereta tersebut. Maksud aku, tidak perlu memandu sebuah MPV besar untuk ke pejabat jika setiap masa ianya hanya akan diisi dengan orang manusia.
Aku dan Zura sejak awal kenal sering berkata bahawa akan tiba masa kami memerlukan sebuah kenderaan baru. Zura mahukan sebuah MPV kerana mudah untuk membawa barang dan mungkin, membawa saudara mara ke sana sini. Praktikal dan berfikir secara logikal. Aku lebih sukakan sebuah kereta saiz sederhana kerana memikirkan 90% daripada masa penggunaan kereta itu nanti, aku atau Zura akan bersendirian memandunya.
Lagi pun, biras aku sudah membeli sebuah Proton Exora walaupun anak masih seorang. Nampak selesa dan bila balik berhari raya tempohari, Exora itu sangat membantu membawa kami ke sana …

Terminal Bersepadu Bas - Bandar Tasik Selatan

Tempohari semasa dalam perjalanan ke terminal bas sementara Bukit Jalil untuk membeli tiket balik kampung Zura, kami melencong sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan. Terminal bas moden ini terletak bersebelahan dengan stesen ERL, KTM Komuter dan LRT Bandar Tasik Selatan. Pada asalnya, terminal bas ini dirancang untuk digunakan sebagai terminal bas ekspres laluan arah selatan Semenanjung Malaysia iaitu semua destinasi ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Namun kalau mengikut saiz infrastruktur yang dibangunkan, TBS mampu mengendalikan semua perjalanan bas ekspres laluan utara, timur dan selatan untuk jangkamasa sekurang-kurangnya 10 tahun. Jadi kerajaan boleh jimat kos pembinaan terminal arah lain buat masa ini (kalau betul kerajaan kurang dana sekarang) dan satukan terminal arah utara dan selatan di TBS saja. Terminal arah timur masih sesuai digunakan di Terminal Putra berhampiran PWTC. Terminal Puduraya yang sekarang masih dalam proses renovasi aku fik…