Sebenarnya, apabila orang berceritakan perkara-perkara mistik, begitu lambat aku hendak mempercayainya terus. Pertama, aku lihat orang yang menceritakannya (kalau dia sendiri yang menghadapinya). Aku lihat watak mereka dan fahami pemikiran mereka. Kemudian, berdasarkan cerita mereka, aku bayangkan keadaan yang berlaku dan apa yang sebenarnya mungkin berlaku.
Aku bukanlah tidak mempercayai perkara mistik. Aku cuma tidak terus mempercayainya dengan hanya berdasarkan cakap dan keluhan orang. Aku cuba menjadi rasional dan berfikiran lebih logik kerana selalunya cerita mistik lebih bersifat tidak rasional dan logik.
Bukan juga aku tidak pernah hadapinya. Sejak dari kecil aku pernah hadapinya. Malah kalau kamu hendak fikir mengenai cerita-cerita aku, kamu juga akan menghadapi masalah untuk menerima rasional dan logik aku.
Ada waktu, ketika memandu dan melalui kawasan-kawasan sunyi, hati menjadi berdebar dan seram sejuk. Atau ada kalanya seperti terlihat sesuatu sekilas pandang. Itu semua pernah aku hadapi.
Cuma aku lebih bersifat rasional dan logik. Dulu, semasa di Shah Alam, aku menyewa sebuah rumah berhampiran dengan sungai Klang (Padang Jawa). Sewaktu malam ketika tidur, beberapa kali aku seperti lemas ditindih sesuatu. Atau begitu biasanya orang kata, kita ditindih sesuatu. Aku kaji balik cara aku tidur. Pertamanya, dalam keadaan terlentang. Keduanya, bantal terlalu tinggi dan ketiganya, tidur di dalam keadaan panas dan berselimut (zaman aku tidur dalam apa jua keadaan pasti berselimut, sekarang tidak lagi). Secara teknikal, tidur keadaan begitu sudah menyebabkan kita tidak selesa. Tambahan pula ketika aku aku juga sedang hadapi masalah berat badan.
Secara teorinya, aku fikir ruang penafasan aku terbatas kerana rongga ditutup akibat cara tidur aku. Kemudian aku tidur mengiring dan memasang kipas.
Selesai masalah.
Memanglah aku tidak nafikan ada yang betul-betul ditindih atau apa juga keadaan yang menyebabkan ada makhluk halus yang mengganggu manusa. Namun ada juga keadaan sebenarnya diakibatkan oleh kesilapan dari segi teknik dan juga kecuaian manusia sendiri. Akibat terlalu percaya dengan perkara mistik, kita mudah mengaitkan sesuatu yang berlaku dengan perkara mistik.
Percayalah, manusia ini jauh lebih bijak dan lebih kurang dari yang kita sangka. Lebih hebat dari yang kita ketahui selama ini. Kalau kita masih terbelenggu dengan andaian kelemahan akibat gangguan makhluk halus dan lain-lain perkara yang mistik, kita sebenrnya masih tidak kemana. Itu sebabnya Mastika dan lain-lain tabloid mistik amat popular dalam budaya kita. Apabila kita membacanya, kita akan serba sedikit mempercayainya. Kita bayangkan dan kita letak konsep "gangguan makhluk halus" dalam diri kita dan secara tidak sedar, kita dipengaruhinya.
Seperti anjing, loceng dan makanan (Kamu cari sendiri kajian sains tersebut dan apa sebab aku tulis begitu). Atau seperti mengayuh basikal. Kamu berlatih dan kamu mahir. Namun setelah lama kamu tidak melakukannya, kamu tetap masih percaya dan yakin kamu boleh mengayuh basikal. Kerana ingatan kamu berfungsi sebegitu.
Betul ada perkara mistik. Cuma kadang-kadang kita perlu membezakan mana satu mistik dan mana satu realiti. Ingat, manusia ini adalah bijak, lebih kuat dan lebih tegar daripada yang kita sangka.
Ulasan
Catat Ulasan