"Idan..."
"Ye?"
"Kenapa kau tak sokong kerajaan?"
"Bila aku tak sokong kerajaan?"
"Dalam blog ni. Selalu kau kritik kerajaan."
"Ye ke? Setahu aku, aku cuma kritik parti politik yang memerintah sahaja."
"Kritik kerajaan la tu."
"Siapa kata? Kerajaan lain, parti politik lain."
"Mana pulak. Kalau kau kritik apa yang mereka buat, kau kritik kerajaan la tu. Sebab mereka yang memerintah."
"Betul mereka memerintah tetapi bukan aku kritik kerajaan. Sejak bilalah parti politik itu adalah kerajaan?"
"Sejak dulu lagi."
"Kalau macamtu, orang yang tidak sokong mereka semasa pilihanraya itu adalah penentang kerajaan la ye? Pemberontak? Pembelot?"
"Bukanlah macamtu. Tapi kalau kau tidak suka apa yang mereka buat, sama juga dengan kau tak suka kerajaan. Lagipun, kau kerja kerajaan. Tak patut kau kritik kerajaan."
"Mana boleh macamtu. Aku kerja dengan kerajaan bukan bermakna aku perlu sokong parti politik yang memerintah. Aku cuma perlu sokong kerajaan yang memerintah."
"Samalah... Apa pula bezanya."
"Eh, banyak beza. Kerajaan adalah kerajaan, kuasa yang memerintah negara. Bukan dia perintah negara untuk ahli parti politik mereka saja. Mereka perintah negara untuk semua orang yang menjadi rakyat dalam negara ini. Mereka perlu jaga setiap orang tidak kira apa fahaman politik orang itu. Mereka perlu melindungi rakyat. Perlu ambil berat dan perlu beri ruang untuk rakyat. Itulah fungsi kerajaan. Parti politik lain."
"Macamana lain?"
"Parti politik berfungsi untuk kepentingan ahli dan penyokong parti politik tersebut sahaja. Tetapi apabila parti itu dipilih untuk membentuk kerajaan, mereka sepatutnya membuang ideologi dan pengaruh parti politik mereka dan meneruskan agenda negara. Bukan agenda parti. Kerana agenda negara adalah untuk setiap orang."
"Jadi, salahlah kalau guna jentera negara untuk kepentingan politik?"
"Ya, amat-amat salah. Jentera negara adalah untuk semua rakyat tidak kira siapa mereka. Kalau hendak guna telefon di pejabat kerajaan untuk menelefon pejabat partinya pun sepatutnya tidak boleh. Kalau guna juga, perlu dibayar bil itu oleh pengguna sendiri. Harta kerajaan tidak boleh guna untuk kepentingan mana-mana parti politik."
"Lagi? Menarik ni..."
"Kau pernah tengok papan tanda projek pembangunan kerajaan?"
"Papan tanda?"
"Alah... Papan tanda projek macam pembinaan hospital, sekolah, balai polis dan lain-lain aset kerajaan."
"Oh.. Banyak. Kenapa?"
"Apa jadah lambang parti politik ada di papan tanda ni?"
"Ntah... Salah ke?"
"Salah la tu. Itu projek kerajaan, bukan projek parti. Kalau hendak sangat kata itu projek parti, keluarlah duit sendiri buat projek tersebut."
"Betul juga. Itu duit kerajaan. Bukan duit mana-mana parti politik."
"Itu satu. Sudahlah letak lambang parti, letak pula lambang tersebut lebih tinggi daripada jata negara. Bahaya!"
"Bahaya?"
"Itu kalau mengikut tafsiran kasar, parti lebih berkuasa daripada negara. Ini perkara biadap yang ramai orang tidak tahu atau mungkin tahu tetapi buat-buat tidak tahu kerana takut dihukum."
"Kau berani pula tulis semua ini di sini?"
"Aku cuma tulis perkara yang betul. Aku bukan sokong mana-mana pihak. Aku sayangkan negara aku dan kalau aku lihat perkara itu salah, apa salahnya aku cuba beritahu salahnya."
"Berani gila. Tak takut ke?"
"Ramai yang kata mereka lebih takut Tuhan dari orang... Aku boleh juga cakap macamtu. Tapi
ramai ke antara mereka yang sanggup membuktikannya?"
"Okay faham. Tapikan, aku masih tak puas hati."
"Apasal?"
"Kira betullah kau tidak suka parti politik yang memerintah sekarang?"
"Aku bukan tidak suka parti politik tersebut. Aku tidak suka tindakan dan salah perbuatan yang berlaku. Aku harap mereka perbetulkan."
"Tapi apa kesannya kalau mereka perbetulkan pun?"
"Ish... Banyak! Pertamanya, mungkin mereka tidak tahu. Tapi inilah sebenarnya persepsi golongan muda terhadap mereka. Salah guna kuasa."
"Kenapa?"
"Golongan muda bukan tidak suka parti ini. Mereka cuma meluat melihat pelbagai salah guna kuasa dan sikap pentingkan diri sendiri ahli politik. Aku percaya, kalau dibersihkan segala salah silap ini, parti politik lawan takkan ada ruang untuk bangun."
"Macamtu..."
"Parti pemerintah juga tidak lagi boleh menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan parti. Tidak boleh lagi menunggang aset kerajaan dan segala yang kerajaan patut/wajib lakukan kepada rakyat sebagai agenda politik mereka. Kerana mana-mana parti yang memerintah pun, perkara pembangunan, ekonomi, kesejahteraan adalah perkara wajib dalam agenda kerajaan."
"Sebab itulah agaknya sogokan pembangunan, ekonomi dan lain-lain sudah semakin tidak menjadi ye?"
"Tentulah. Kerana orang sudah sedar bahawa itu perkara pokok yang wajib bagi sesebuah kerajaan untuk laksana demi kepentingan rakyat. Tidak perlu mana-mana parti politik menggunakannya sebagai tulang perjuangan politik mereka."
"Habis apa yang perlu mereka buat untuk menarik penyokong?"
"Bentangkan pelan terperinci apa yang akan mana-mana parti politik lakukan sekiranya diberi peluang untuk memerintah. Keluarkan fakta berdasarkan sasaran. Bukan berdasarkan prestasi semasa yang telah berlaku. Memang tidak adil begitu dan orang tidak suka hendak dengar."
"Ooo... Kira mereka tidak boleh la kata, lihat, kami sudah bangunkan Malaysia. Inilah kehebatan dan kemampuan kami. Parti lawan tidak mampu melakukannya."
"Ya, mereka tidak patut kata begitu. Kerana itu adalah perkara wajib untuk mana-mana kerajaan lakukan. Lagipun di Malaysia ini amat tidak adil berkata begitu. Semenjak merdeka, kita tidak pernah ada parti politik lain yang memerintah."
"Kira boleh gunalah juga. Tapi kalau ada parti lain yang pernah memerintah la ye. Sebagai perbandingan yang lebih jelas. Macamtu?"
"Betul. Seperti di Amerika Syarikat dan Britain. Ada beberapa parti yang pernah memerintah jadi mereka boleh bandingkan. Kalau itu dibuat di sini, orang benci."
"Jadi betullah kau tidak benci parti politik yang memerintah sekarang?"
"Ya, aku tidak benci. Aku cuma tidak suka cara mereka menyalah guna jentera negara. Seperti media rasmi dan jabatan-jabatan. Itu tidak patut dilakukan tambah-tambah zaman internet ni. Orang nampak jelas. Lagipun, orang zaman sekarang ni bukannya macam 20 tahun dulu. Sedarlah sikit."
"Betul."
"Siapa saja yang menjadi strategis politik parti pemerintah sekarang, patut dipecat saja. Bebal."
"Hahaha.."
"Iyelah, masih leka menggunakan perang psikologi lapuk."
"Ya, betul. masih tak faham-faham."
"Ya... bengap otak. Internet pun tak boleh nak kuasai lagi."
"Idan..."
"Ye?"
"Apa yang kau mahu dari parti yang memerintah sekarang?"
"Bersih, cekap dan amanah. Itu agenda mereka dulu. Takkan lupa kot? Bersihkan tangan mereka dari jentera kerajaan. Jentera kerajaan adalah hak rakyat dan 26 juta rakyat nampak JELAS semua itu. Jangan terlalu gila kuasa dan cuba bergantung talian hayat dengan kuasa. Ianya tidak akan kekal abadi. Sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat. Untuk kepentingan negara. Berhenti menjadi retorik dan buktikan kepada rakyat bahawa mereka adalah kerajaan yang jujur dan ikhlas untuk rakyat... Kemudian kamu akan lihat rakyat kembali menyokong kamu. Kalau tidak..."
"Kalau tidak apa?"
"Percayalah, internet ini akan menyebabkan mereka tersungkur dari atas sana..."
"Hmm..."
Ulasan
Catat Ulasan