Aku sudah lama tahu, dia memang seorang yang cantik. Kalau kamu selalu berhadapan dengannya pun, kamu akan berkata begitu. Melainkan citarasa kamu bukan terhadap orang sebegitu.
Namun, tidak pernah pula aku puji kecantikkan dia di hadapannya. Bukan ruang yang sesuai, mungkin. Bukan juga cara aku, agaknya. Jadi, biar aku saja yang mengetahui cantiknya dia tanpa peduli apa orang lain fikir.
Kemudian seorang sahabat mengatakan memang dia cantik.
Begitu juga dengan seorang sahabat yang lain.
Serta seorang lagi...
Betullah agaknya.
Agaknya, kalau kamu sudah suka, lembu dipakaikan gown pun kamu akan kata cantik. Itu kata-kata Haji Bakhil dalam cerita Nasib Labu Labi. Itu Haji Bakhil. Sinikal.
Ini realiti. Dia memang cantik di mata dan di hati ini.
Aku tidak terbayangkan orang sebegitu dalam hidup, namun dia ada. Cuma, jalannya masih jauh dan aku perlu amat-amat bersabar. Akhirnya nanti belum aku tahu apa. Dia tahu. Sudah semestinya dia tahu. Kerana dia pun menyatakan perasaan yang sama. Hanya masalahnya, ada yang perlu diselesaikan dan aku tahu. Aku biarkan ruang yang amat luas untuk itu.
Aku suka dengar dia mengadu mengenai hidupnya. Kerjanya. Aku sukakan semua itu. Kamu boleh asyik sepanjang masa hanya untuk mendengar suaranya meluahkan segala kelesuan hidup dan kerja. Kemudian dia gembira kembali setelah beban itu dikongsi. Walau dengan hanya sekadar mendengar. Aku tetap suka. Itu peluang yang takkan aku lepaskan.
InsyaAllah, jalan itu ada. Aku cuma perlu jadi orang yang lebih sabar.
Ulasan
Catat Ulasan