Telah aku katakan sebelum ini bahawa aku ada kerja luar. Empat hari membisu tanpa suara dan berita dari dunia luar (berita maksud di sini adalah berpunca sumber dari internet, bukan media arus perdana).
Namun sehari sebelum bekerja di luar, aku sempat mengambil gambar di bawah di lewat senja. Matahari berlabuh sangat indah. Aku amat suka senja sebegini.
Namun, kalaulah perenggan di atas itu betul dengan suasana sebenarnya pada waktu itu. Ketika aku baru reda dari kepenatan akibat beban tugas. Walau dalam suasana mentari yang damai itu, aku masih resah menanti hari esoknya. Kerja-kerja yang masih perlu diselesaikan seperti tiada penghujungnya.
Gambar-gambar seterusnya ini adalah sebahagian daripada koleksi yang sempat aku rakam semasa di Agrotek Resort, Hulu Langat. Tidaklah menarik kerana aku sedang cuba bermain dengan pelbagai setting yang ada di kamera.
Antara cabaran yang aku letak untuk diri sendiri adalah untuk merakamkan gambar yang melibatkan air terutamanya hujan atau air yang sedang menitik. Setakat ini percubaan aku masih dianggap gagal. Aku juga perlu dapatkan lensa yang lebih baik. Cuma, kos saja yang tidak mengizinkan.
Selama ini aku hanya bercerita mengenai kerja yang aku lakukan semasa kursus Team Building. Gambar di bawah dirakam sendiri oleh Trainer kerana dia sedar aku sebagai seorang jurugambar amat jarang dirakam kerja-kerja yang aku lakukan.
Gambar terakhir ini sebenarnya gambar out-of-focus yang dirakam oleh seorang rakan. Dia tidak pandai menggunakan kamera DSLR dan aku sedang mengajarnya. Walau bagaimanapun, aku amat tertarik dengan gambar yang diambil beliau ini. Walaupun kabur, namun penuh emosi. Ini pertama kali aku dirakam sebegini.
Tidak mampu menulis panjang. Badan amat letih, otak sudah tepu dan jiwa semakin kosong.
Saudara,
BalasPadamTerima kasih atas ucapan tahniah dan doa dari saudara.