Tisu sudah banyak di sekeliling aku. Bukan menangis, cuma selsema. Bukan juga influenza A, cuma hidung agak sensitif dengan habuk. Ada pil Clarinase di dalam kereta tetapi amat malas hendak turun ke kereta tengah malam buta semata-mata kerana sebiji pil. Jadi biarlah aku guna kertas tisu saja.
Fikir-fikir balik, aku tidak pernah guna sapu tangan kain. Mungkin ada, sewaktu kecil dulu kerana emak dan ayah yang menyuruh dan aku ingat ayah memang guna sapu tangan kain. Cuma, aku tidak pernah minat hendak menggunakannya.
Agaknya, kalau diberitahu budak-budak sekarang mengenai sapu tangan kain, ada yang terpinga-pinga tidak faham. Itu antara aksesori lelaki yang makin pupus dalam poket seluar orang lelaki. Sekarang orang lelaki lebih selesa pakai tisu kertas; kalau tidak dibeli sendiri, mungkin diambil saja dari orang yang terdekat. Aku sentiasa ada tisu kertas di rumah, dalam kereta dan di pejabat. Maklumlah sebab aku memang selalu selsema. Jadi budak lelaki yang perasan macho tidak mahu beli tisu selalu akan minta dari aku, atau staf perempuan yang ada tisu kertas di meja mereka.
Membazir ye. Membazir kertas, kata orang. Aku fikir, tidak juga. Kebanyakkan kertas tisu yang dibuat di Malaysia adalah daripada kertas kitar semula. Aku pernah melawat kilang tisu Scotts di Kluang (rasanya, aku sudah lupa) semasa belajar dulu dan memang betul mereka guna kertas kitar semula untuk menghasilkan kertas tisu. Jadi rasa bersalah dalam diri ini agak kuranglah.
Cuma, kalau hendak dibandingkan dengan negara luar, terutama negara beriklim empat musim, kita agak rugi. Pokok yang ada di sini kebanyakkannya bukan jenis senang hendak membesar. Kebanyakkan perlu mengambil masa puluhan, malah ratusan tahun untuk jadi begitu besar dan boleh ditebang oleh pembalak dalam masa 30 minit dan seterusnya dihantar ke kilang untuk dibuat kaki meja makan.
Berbanding di negara barat, atau paling dekat di Thailand, mereka ada ladang pokok balak yang mempunyai kitar hayat yang singkat untuk membesar. Pokok ini mereka guna untuk hasilkan kertas (kertas DoubleA yang kamu sering guna) dan perabot (dari IKEA contohnya). Sebab itu orang di negara barat mengaku mereka lebih mesra alam daripada kita yang memotong pokok balak di hutan. Itu logik mereka dan ada benarnya. Tapi, balak yang kita tebang dan bawa keluar dari hutan itu akhirnya akan jadi perabot dan dieksport ke negara barat.
Sampai bila perlu kita eksploit sumber hutan untuk memenuhi kehendak pengguna di negara barat? Kenapa tidak saja kita salahkan kehendak mereka yang menyebabkan ada di kalangan kita masih tidak sayangkan hutan kita dan kaut segalanya di dalam hutan untuk beberapa helai wang?
Aku dulu semasa di universiti, belajar Teknologi Perkayuan. Secara asasnya, aku adalah antara orang yang sepatutnya tidak kisah dengan hal-hal pembalakan dan memotong kayu di hutan. Tapi itu dulu.
Bila aku fikir balik dan bila aku ingat kenangan meredah hutan di Rengit dan Kuala Koh, Kelantan, aku teringatkan pokok-pokok besar yang majestik merimbun tinggi. Atau bila berada di FRIM, aku teringatkan sewaktu mengutip daun-daun di bawah pokok yang besar, sungguh mendamaikan. Banyak nama pokok yang masih aku ingat; Medang Teja, Balau Bukit, Simpuh Gajah, Bintangor, Kulim, Keruing... Banyak.
Aku lebih peka dengan alam sekitar sekarang. Itu yang pasti. Mungkin kerana sekarang aku lebih kerap berfotografi dan aku kurang selesa melihat sampah sarap di sekeliling dan juga ruang-ruang terbiar di hutan akibat dijarah oleh pembalak. Aku fikir kita sebagai manusia boleh dan mampu meninggalkan alam tanpa diganggu. Kita boleh cari tempat di mana kesan kemusnahan di situ bila kita bangunkannya dengan rumah, kedai dan jalan raya adalah minima.
Aku teringat cerita mengenai Korea Utara. Kebanyakkan rumah dan bangunan di sana dibina di tebing bukit yang kontang atau kawasan yang tidak ada atau kurang tumbuhan. Alasannya bukan untuk menjaga alam, tetapi lebih bersifat untuk memaksimakan ruang untuk bercucuk tanam iaitu tanah datar.
Mungkin kita boleh aplikasikan idea itu di sini. Cari lokasi yang kurang sesuai untuk bercucuk tanam atau tidak produktif dari segi tumbuhan dan tanaman, maka kita bina rumah dan bangunan di situ. Biarkan keindahan alam terus wujud dan kita boleh nikmatinya bersama.
Apa yang sedih, sekarang kita berlumba untuk membina persekitaran alam artificial seperti tasik, taman botani dan anak sungai untuk kawasan perbandaran dan perumahan kita. Putrajaya dan Cyberjaya contohnya. Semua itu adalah artificial, termasuk tasik dan taman botaninya. Kemudian kita teruja dan mengatakan permandangan sebegitu adalah cantik dan menakjubkan. Realitinya, semua itu adalah buatan manusia dan tiada yang asli.
Rugi rasanya. Kita rosakkan alam untuk mencipta "alam" kita sendiri. Sedang alam yang sedia ada sudah amat cantik dan indah. Mungkin cucu cicit kita akan datang akan percaya, "alam" yang kita cipta sekarang adalah yang asli dan mereka akan membina pula "alam" ciptaan mereka sendiri.
Aku dengar; dunia dah nak kiamat. Tidak perlulah guna ayat tersebut. Cukup kita kata; dunia semakin tidak asli.
huuuu... sama la. ngah selesema gak ni.tensen btol laa...
BalasPadameh, nape simpan ubat dlm kete? ubat cepat rosak especially kalau letak kete tgh panas
Tak risau panas. Jarang sangat kereta kena panas. Pegi kerja awal pagi, matahari pun belum naik lagi. Sampai opis, parking di basement. Balik rumah, matahari dah hilang dari pandangan.
BalasPadam