Aku beli dua biji buah mempelam (aku fikir mangga hanya berkaitan dengan kunci) beberapa hari lepas. Aku beli sebilah pisau pemotong buah. Ya, aku tidak pernah ada pisau pemotong buah atau apa-apa pisau yang sesuai untuk memotong.
Ceritanya, aku tidak mahir menggunakan pisau. Lebih terperinci, aku tidak pandai mengupas buah, memotong daging, menyiang ikan, atau apa-apa perbuatan teliti dengan menggunakan pisau. Kalau aku guna pisau sekalipun, potongan aku cuma lurus.
Lebih jelas lagi, aku agak penakut dengan pisau. Aku takut pisau melukakan jari dan tangan. Jadi apabila menggunakan pisau, barang yang hendak dipotong biasanya dipegang dengan hujung jari saja, jauh dari pisau. Bukan kerana fobia, tetapi lebih kerana aku tidak suka luka. Atau sakit. Agaknyalah.
Jadi, amat jarang aku beli buah-buahan yang berkulit kerana aku tidak pandai hendak mengupasnya. Selalu aku akan beli pisang, epal, kiwi (kerana aku boleh potong lurus dan mengorek isinya dengan sudu) dan anggur. Limau juga, kalau ada musim. Mempelam, betik, nenas (aku tak suka pun) dan lain-lain buah yang perlu dikupas, aku tidak akan beli.
Atas sebab itu juga, aku jarang memasak. Kalau aku masak sekalipun, aku masak makanan yang tidak perlu diproses, buka dari plastik dan goreng. Pathetic, aku tahu. Mungkin atas sebab itu, aku tidak pandai memasak seperti lelaki macho lain.
Kelmarin, aku kupas mempelam dengan pisau pengupas yang aku baru beli. Tidak kupas sebenar. Aku belah lurus mempelam tersebut dan terus makan isinya. Aku lihat di Agrotek Resort mereka buat begitu. Jadi aku tidak rasa bersalah sangat. Cuma aku rasa leceh. Patutlah aku suka pisang, anggur, epal dan kiwi serta limau. Senang.
Mono sungguh hidup ini.
ishh... ishhh... buat malu orang kampung jer. :P
BalasPadamTakpe.. Orang kampung semua tak pakai pisau! :P
BalasPadam