Catatan ke 365 untuk tahun ini.
Buka Mata, Buka Otak, Buka Hati
Aku masih tidak mengerti kenapa ramai masih tidak faham beza parti politik dan kerajaan yang memerintah. Sama juga dengan aku tidak faham apabila sesebuah parti politik semasa berkempen di pilihanraya menjanjikan pembangunan demi pembangunan seperti mereka menentukan pembangunan tersebut perlu atau tidak dilakukan. Kamu boleh berkata begini,
"Saya berjanji saya akan cuba mendesak kerajaan untuk membina sebuah sekolah baru di kawasan ini."
Sebaliknya kamu tidak boleh berkata begini,
"Saya berjanji kalau saya menang nanti, Parti X akan bina sebuah sekolah di kawasan ini."
Janji pertama itu adalah sebuah usaha memberi cadangan atau mendesak atas kuasa beliau sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. Janji kedua pula adalah janji sebuah parti politik untuk membina sebuah sekolah. Kamu fikir, dari mana duit itu perlu datang kalau parti politik tersebut menang?
Sepatutnya dari poket mereka sendiri, bukan dari poket kerajaan. Kenapa? Kerana mereka berjanji atas tiket parti politik mereka. Itu saja. Parti politik BUKAN kerajaan. Mereka tidak boleh janjikan sesuatu perkara yang kerajaan memang perlu buat. Kerajaan ada tanggungjawab mereka sendiri dan tidak kira ianya diwakili oleh parti mana, maka tanggungjawab itu perlu dilaksanakan. Kerana sumber yang mereka guna itu adalah milik rakyat. Bukan milik parti politik yang memerintah. Ingat perkara ini.
Maka aku kurang senang apabila pemimpin negara mengeluarkan kenyataan beliau menganggap rakyat di sesuatu kawasan menolak untuk pembangunan apabila menyokong parti lawan. Itu sama seperti memberitahu rakyat di kawasan tersebut bahawa kerajaan tidak akan pedulikan kamu lagi selepas ini dan ini adalah hukuman kerana memilih pihak lain. Itu adalah SALAH, SALAH dan AMAT SALAH. Pemimpin negara tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut.
Malah bagi aku, apabila beliau berkempen mewakili parti politik beliau, jawatan beliau dalam pemerintahan kerajaan haram sekali digunakan atau dijadikan alat politik. Ini kerana jawatan beliau itu adalah lebih tinggi kedudukannya dan beliau sepatutnya melangkaui sempadan politik dan menjadi pemimpin kepada semua rakyat. Sekarang ini aku lihat ianya tidak lebih daripada "Kamu vs The Government".
Tidak, aku tidak anti mana-mana parti politik. Cuma aku tidak suka mana-mana parti politik menggunakan KERAJAAN sebagai aset dan tools mereka. Kalau pertandingan bola sepak, ianya tidak ubah seperti Selangor Red Giant menentang World's 11. Gila.
Sekali lagi aku berkata, parti politik yang menggunakan cara sebegini, penasihat/strategis/pencatur mereka patut dipecat dan disumbat dalam lubang jamban kerana kebodohan dan bebalnya mereka ini. Kalau 20 tahun dulu, mungkin kamu boleh mengaburi mata orang ramai. Sekarang, kamu tidak ubah seperti kucing kurap yang cuba mengajar orang mengaji.
Jangan Percaya Media Arus Perdana
Aku buka untuk membaca dan menonton media arus perdana cuma sekali sekala dan tidak menyeluruh. Kerana apa?
Kerana semua media arus perdana dikuasai oleh parti politik. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya media di Malaysia bebas daripada kekangan/pengaruh politik. Kalau kamu lihat sekarang, media tidak lebih seperti lembu yang diseret ke sana ke mari. Dalam masa lima tahun, media arus perdana akan hancur akibatkan pengaruh media internet yang lebih terbuka dan bebas.
Serius, tiada siapa yang suka disumbat ke dalam benak mereka dengan ideologi dan basuhan minda yang berlaku sekarang. Stop It! Ianya sudah 20 tahun lewat.
365
Catatan untuk hari ke 365 berbaur politik. Biarkan. Selagi mereka tidak bijak, kita yang akan jadi lebih bodoh. Melainkan orang yang mahu berfikir dengan terbuka dan waras.'
Terima kasih kepada kamu semua kerana mengunjungi blog ini. Aku amat menghargainya.
Ulasan
Catat Ulasan