Kenapa sepia? Nampak kusam dan lama. Supaya bila aku balik ke sini 10 tahun lagi dan tengok gambar ini, aku akan berkata
"Ah... macamni raya 10 tahun dulu ya"
Seperti biasa, hari pertama Aidil Fitri, rumah keluarga aku akan dibanjiri sanak saudara sebelah Ayah. Kerana Ayah adalah paling tua di kalangan adik beradik beliau (Atuk, Nenek, Pak Long, Pak Ngah dan Mak Njang sudah meninggal dunia), maka sebagai adatnya, adik-adik beliau akan berkunjung ke rumah dulu.
Meriah rumah dengan sanak saudara yang jarang berjumpa. Tidak lupa hidangan laksa Kuala Kangsar yang Emak buat (setelah aku dan adik-adik mendesak beliau menukar rancangan daripada membuat nasi ayam).
Jadi biasanya, hari raya pertama kami sekeluarga jarang keluar. Menunggu sanak saudara datang berkunjung. Esoknya baru boleh berkunjung ke rumah orang. Aku pula, hari raya ke empat baru boleh berkunjung ke rumah sahabat, kerana sepanjang tiga hari sebelum, aku bertugas sebagai pemandu buat Ayah, Emak dan adik-adik.
Bunga api tetap ada. Cuma tahun ini aku tidak beli (entah kenapa). Bila aku lihat rakaman gambar si Raziq sedang bermain bunga api (bawah), aku terkenangkan zaman kanak-kanak aku. Gambar ini dirakam oleh adik bongsu menggunakan kamera Canon aku. Gambar terakhir gayanya hampir sama dengan gambar suasana Aidil Fitri semasa aku kanak-kanak dulu. Cuma anak saudara aku berseorangan, manakala aku dikeliling oleh adik, paksu dan sepupu.
(Raziq bermain bunga api seorang diri - 2009)(Aku bermain mercun dengan adik-adik, paksu dan sepupu - 1982)
Kamu nak tahu kenapa aku kata gambar Raziq bermain bunga api hampir sama dengan gambar aku bermain mercun pada tahun 1982? Kamu lihat gambar 1982, seorang budak perempuan berdiri di sebelah kanan. Lihat gaya beliau berdiri. Hampir sama gaya dengan gaya Raziq berdiri. Budak perempuan dalam gambar pada tahun 1982 itu adalah Suhana, adik aku dan ibu kepada Raziq. Cuba gabung dua gambar tersebut. Macam mereka bermain berdua...
Menarik, bukan?
Ulasan
Catat Ulasan