Sebenarnya, ruang itu seperti sudah ada, walaupun amat kecil.
Aku cuma perlu menempuhinya.
Kalau tidak cara begitu, tiada siapa yang akan sedar.
Lalu aku lakukannya, sedikit demi sedikit, tanpa disedari.
Aku cuma perlu menduganya.
Kalau tidak aku lakukan, maka selamanya pasrah.
Cuma mungkin, apa yang sedang dilakukan, sudah agak terlewat.
Aku cuma perlu menunggunya.
Kalau tidak ada reaksi, maka tahulah hasilnya.
Kadang-kadang aku sangka diri terlalu bodoh, atau mungkin terlalu bebal kerana tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling. Kamu berada di suatu persimpangan dan melihat apa yang melintas di hadapan kamu itu adalah realiti kehidupan kamu yang sepatutnya ada kamu didalamnya, tetapi tiada.
Kamu lihat satu per satu ianya pergi dan kalau ianya terus berlalu pergi, tidak mengapa. Ianya masih hadir dan dekat. Setiap hari kamu lihat suasananya; bahagia, ceria, damai dan gembira. Sedang kamu rasa kamu seperti terus berdiri, menantikan sesuatu. Apa jua perkara itu, kamu tidak pernah tahu.
Akhirnya, di lewat malam sebegini, kamu luahkan dalam bentuk baris-baris kata seperti ini. Kerana kamu tidak berdaya untuk meluahkannya dengan kata-kata. Juga kamu tidak berdaya menduganya.
Kamu jadi patung di sebalik dinding kaca melihat orang lain melintasi kamu dan kamu mahu begitu juga. Kecewanya nanti, kamu sekadar patung di balik dinding kaca. Kamu sekadar kamu, yang menjadi rugi itu sebagai teman.
Begitu hidup kamu.
Benar, apa yang diungkap tu kesan pengalaman diri.
BalasPadamTidak salah kalau kita menjadi semut mengorek ruang, bukan hanya untuk diri sendiri tapi juga untuk keluarga terdekat dan komuniti.
Tabiat semut juga sangat menakjubkan, SEDIKIT-SEDIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT. Situasi ini lebih membekas di hati dan akan kekal sehingga ke akhir hayat.
Apalah maknanya PROJEK MEGA kalau ia bukan untuk diri kita dan komuniti kita... HANYA SEKADAR UNTUK HIASAN RUANG PANDANGAN MATA.