Selesai menghadiri majlis perkahwinan sahabat di Gombak petang tadi, aku terus memandu ke arah Ulu Yam. Sudah lama aku tidak ke sana. Lebih setahun, mungkin. Pertamanya, aku mahu menyampaikan cermin mata Pak Ngah di rumahnya. Dia tertinggal di Kuala Kangsar tempohari.
Keduanya, hajat di hati ingin berjumpa seorang sahabat lama, sahabat semasa di universiti suatu masa dulu. Sampai di tepi jalan masuk ke rumahnya di Kampung Kalong Tengah, aku menelefonnya. Dia tiada di rumah. Tidak mengapalah. Aku mahu balik dan berehat.
Kerana aku sudah jauh di Ulu Yam, aku terus saja balik melalui Serendah, Rawang dan Selayang, seterusnya ke Kuala Lumpur. Lama juga aku tidak lalui jalan ini. Banyak yang sudah berubah. Suasana dan keadaan sekeliling juga sudah berubah.
Lembah Klang terlalu cepat membangun. Jalanraya semakin berlingkaran keluar dan masuk. Susur keluar bertingkat di setiap simpang yang kamu jumpa pasti akan membuatkan kamu keliru. Mungkin lima tahun dari sekarang, aku perlukan sebuah alat GPS untuk mencari laluan di Lembah Klang.
Hujung minggu juga tidak terlepas dari kesesakan jalanraya. Aku masih ingat ketika aku baru tiba di Kuala Lumpur sekitar penghujung 1992 dan bekerja sementara di sebuah syarikat jual beli saham sehingga pertengahan 1993, hujung minggu adalah hari paling selesa untuk ke sana sini. Bas mini langsung tidak sesak, jalanraya juga tidak sesak. Keluar di hujung minggu adalah santai. Kamu tidak perlu risau terperangkap dalam kesesakan jalanraya, kecuali sewaktu hari-hari bekerja.
Siang tadi, di mana-mana saja kamu lalui, berlaku kesesakan jalanraya. Dua buah kereta yang cuma bergesel sedikit di bonet, boleh menyesakkan jalanraya hingga berkilometer jauhnya. Ralatnya, kerana bergesel sedikit di tengah jalanraya, pemandu kenderaan berhenti di tengah-tengah jalanraya dan berbincang. Kalau kamu mahu polis selesaikan, lain cerita. Ini hendak berbincang sesama sendiri, alihkanlah kereta ke tepi jalan atau berhenti di mana-mana. Catat saja nombor pendaftaran kereta kalau tidak yakin. Janganlah jadi bebal sangat.
Begitu juga kalau kamu baru datang ke kotaraya atau kurang mahir memandu, maka kamu memandu 40 - 50 kilometer sejam di laluan tengah dalam keadaan kurang pasti hendak ke mana. Kenapa laluan tengah? Kenapa tidak di laluan paling tepi saja? Bukankah lebih selamat dan lebih senang hendak keluar ke susur keluar nanti? Pemandu sebegini aku anggap mereka terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak peka dengan keadaan. Malas kata bodoh kerana mereka sebenarnya tahu itulah maksud aku.
Kamu tahu apa yang aneh sepanjang aku memandu siang tadi? Aku tidak nampak sebuah kereta polis, motosikal peronda polis atau anggota polis di mana-mana pun. Mana mereka pergi? Rasanya polis memang ramai di Malaysia. Tetapi siang tadi dalam keadaan sesak, mereka tiada.
Paling menarik, malam sewaktu menonton Avatar di Alamanda, aku disaman kerana meletak kereta di tepi jalan. Tertulis di surat saman pada jam 2.05 pagi, aku mengganggu lalu lintas jalan. 2.05 pagi di Alamanda, aku mengganggu lalu lintas jalan! Kamu tiada kerja lain ke, encik Polis? Atau mahu cukupkan kuota saman kamu sebulan?
Aku juga lihat sebuah kereta di tahan di tepi jalan sebaik keluar dari Alamanda selepas menonton Avatar. Aku hairan. Apa masalah polis di Putrajaya? Sudah tidak ada kerja lain nak buat?
Bukan aku mahu kritik polis. Tapi kadang-kadang tindakan mereka seperti memperbodohkan diri sendiri. Polis akhirnya jadi agensi yang dibenci dan ditakuti kerana tindakan mereka ini. Sepatutnya Polis menjadi agensi contoh yang dihormati dan di sanjungi. Sebaliknya berlaku.
Sama seperti media arus perdana yang terlalu bebal. Kamu fikir dengan 'black-out' berita parti politik lawan, kamu boleh mempengaruhi pemikiran orang? Internet ada. Lama-lama kamu akan jadi pembungkus kacang putih, kalau penjual mahu guna kertas surat khabar. Kalau tidak, kamu jadi sampah.
Perkara kecil ini sepatutnya pemimpin kita lihat dan perbetulkan kalau mahu memenangi hati rakyat. Bukan melaungkan di atas puncak dunia tentang kehebatan kamu.
Huh.. melalut dah aku.
Ulasan
Catat Ulasan