Tahun lalu, di penghujung tahun sebegini, aku ceritakan mengenai ritual aku lalui hari seperti tahun baru dan hari lahir. Aku ceritakan bagaimana pada hari lahir, biasanya aku sambut seorang diri di sebuah restoran makanan segera menikmati makan sambil membaca. Aku juga ceritakan bagaimana di hari pertama tahun baru atau hari lahir, aku mahu ke Port Klang merakam suasana petang dan duduk menikmati angin laut (walaupun baunya kurang enak).
Dua tahun sebelum, aku cerita mengenai bahagia. Aku kronologikan hidup aku dan apa yang aku telah lalui hingga saat itu. Aku ceritakan bagaimana aku berusaha untuk bahagia dan nampak bahagia di mata kamu semua. Walaupun hakikatnya tidak, tetapi aku tetap nyatakan aku bahagia. Ketika itu, mungkin kerana aku bersedih akibat kisah yang berlaku. Aku sedari sekarang, baru lebih kurang dua tahun ianya berlaku. Aku sudah dapat melupakan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya aku berfikir begitu.
Tiga tahun lalu, di penghujung tahun seperti ini, aku ceritakan mengenai tugas yang aku sedang laksanakan di Genting Highlands ketika itu sebagai urus setia sebuah kursus. Aku juga selitkan sebuah gambar aku dan Aliah. Ketika itu aku cuma baru beberapa hari mengenali Aliah. Sekarang dia sudah mempunyai seorang cahaya mata yang amat comel, Fisya dan sudah berpindah kerja di Johor Bahru.
Empat tahun lalu, aku selitkan lirik lagu Seven Nation Army oleh The White Stripes dalam post aku. Aku sendiri sudah lupa apa sebabnya. Sekarang, Seven Nation Army masih menjadi lagu kegemaran dan sering dimainkan di MP3 modulator di dalam kereta.
Lima tahun lalu, di penghujung tahun 2004, aku selitkan link ke laman web berkaitan Putrajaya. Mungkin kerana ketika itu aku baru berpindah kerja dari Petaling Jaya ke Putrajaya. Aku komen kerana tiada maklumat lengkap mengenai Putrajaya di dalam laman web tersebut.
Kalau tidak kerana blog ini, aku pasti tidak ingat apa yang berlaku di penghujung tahun seperti ini, pada tahun-tahun yang telah berlalu. Semuanya ada tertulis di dalam blog ini. Syukur sangat kerana aku aktif menulis di sini. Ya, benar, ini jurnal kehidupan aku sebenarnya. Kamu tiada hak untuk mempersoalkan apa isinya.
Harapnya, 10 tahun dari sekarang, aku dapat ulang menulis seperti ini dan mengimbau kembali apa yang aku pernah lakukan di penghujung setiap tahun selama 10 tahun dari sekarang.
InsyaAllah.
Ulasan
Catat Ulasan