Aku tidak pergi jauh, cuma di Putrajaya. Merakamkan suasana petang hari pertama 2010. Oh ya, hasilnya seperti yang aku katakan; sampah. Tidak ada apa yang menarik. Tidak ada apa yang "majestic". Sekadar pemandangan biasa yang biasa kamu lalui di hari-hari biasa.
Namun semasa aku berfotografi siang tadi, banyak yang aku fikir dan aku cuma menyelami suasana di sekeliling aku. Mungkin permandangannya tidak seperti yang diharapkan. Tetapi perasaan dan fikiran lebih jauh terbang dan menikmati keindahan yang ada; di dalam akal fikiran. Itu mungkin cukup "majestic" buat aku hari ini.
Mungkin kerana aku memikirkan ruang internet sedang penuh dengan persoalan mengenai penggunaan perkataan Allah oleh pihak Kristian di Malaysia. Membaca rasional dan komen yang diberi membuat aku rasa keliru. Keliru kenapa manusia sanggup bersusah payah hanya kerana sebuah perkataan. Bagi aku mereka sebenarnya bertelagah kerana sebuah perkataan, bukan apa yang diwakili oleh perkataan itu.
Kemudian aku juga memikirkan tentang apa yang dikatakan baik dan apa yang dikatakan jahat. Good and Evil. Putih dan Hitam. Kenapa, kita sebagai manusia yang sudah semestinya dalam kehidupan kita mahu lakukan yang terbaik untuk diri kita perlu dinilai oleh lain sama ada kita baik atau jahat. Tiada siapa dalam dunia mahu mengaku dia jahat. Kalau ada, ianya bersifat sinikal atau cuba dilihat cool.
Aku lihat kanak-kanak bermain di gigi air, tasik Putrajaya. Sedang aku merakam gambar, mereka melihat penuh persoalan tingkah laku aku. Pelbagai andaian oleh mereka keluar tentang apa yang sedang aku rakam melalui lensa kamera. Aku dengar. Terdetik di hati. Hidup mereka sungguh mudah. Tidak perlu bersusah payah melihat segala dan mempersoalnya hingga menjadi kompleks. Mereka mempersoalkan dan membuat andaian paling mudah. Sekadar apa yang mereka faham. Itu saja. Tidak perlu lebih daripada itu. Kemudian mereka sambung bermain.
Aku fikir, kita sebagai manusia apabila dikatakan berakal dan berilmu, kita mahu pergi jauh daripada sekadar berfikir perkara remeh. Kalau ditulis di sini, "Lebih senang jadi kanak-kanak.", pastinya aku akan dicemuh kerana tidak melihat keadaan dengan lebih luas. Namun ada kalanya kita sebagai dewasa begitu bebal hendak mempertahankan sesuatu perkara yang pada awalnya tidak perlu langsung diperdebatkan. Kita sentiasa mahu jadi yang terbaik dan dilihat baik oleh orang lain. Sentiasa mahu berada setingkat lebih tinggi daripada orang lain. Sentiasa mahu lebih.
Itu warna hidup manusia. Dan setiap antara kita tidak sama. Tidak pernah sama. Kita berjalan atas satu landasan yang sama kerana mungkin terdapat sedikit persamaan antara kita dan orang lain. Selebih daripada itu, kita manusia adalah unik. Kita lalui hidup kita dalam kepompong yang terbuka. Semua orang nampak kita dan kita nampak semua orang. Kita tetap lalui juga hidup ini biar perit, biar payah, biar terseksa.
Kita mengadu, kita mengeluh dan kita tunjuk, rebah dalam kecewa. Tetapi kita tetap bangun balik untuk meneruskan hidup kita sehingga tiba destinasinya. Suatu perjalanan yang amat panjang, biarpun hanya sesaat.
Carpe Diem. Live life to the fullest!
craps laa sangat kan..heh!
BalasPadam