Kalau siang nanti ianya menjadi kenyataan, syukur. Tidak ada yang diharapkan lebih daripada itu. Kalau tidak, aku masih bersyukur. Kerana sekurang-kurangnya aku sudah bergerak.
Sering dulu aku berkata, aku seperti orang yang tetap berada di tempat yang sama, tidak berubah. Aku sajalah yang melihat orang lain datang dan pergi. Nah, esok kalau diizinkanNya, aku yang akan bergerak, datang dan pergi. Kalau ada rezeki yang ditentukan, aku pergi bersama apa yang dihajati. Kalau tidak, maka redhalah dengan apa yang ada.
Tidak mahu lagi aku mengeluh dengan keadaan dan punca-punca yang aku sendiri cipta. Selama berdiri, hidup dan menyedut nafas, aku hanya tahu mencari punca salah dan mengeluh mengenainya. Sekarang, aku diberi ruang untuk berubah dan mengubah diri. Kalau masih aku tidak mahu bergerak, itu salah aku. Tuhan, manusia dan diri sendiri sudah menunjukkan jalannya. Aku cuma perlu laluinya dengan jujur.
Kamu juga begitu, pembaca. Lalui hidup kamu dengan jujur. Kemudian, tiada sebab untuk kamu gagal. Kerana apa jua keadaan yang dilalui nanti, itu adalah akibat daripada perbuatan kita sendiri.
35 tahun aku bazirkan untuk sedari bahawa langkah ini perlu dilakukan dengan penuh bermakna. Aku tidak mahu bazirkan 35 tahun lagi.
Ulasan
Catat Ulasan