Seperti yang aku bicarakan sebelum ini mengenai peranan media sebagai agen propaganda, kamu pembaca sebenarnya berhak memilih untuk percaya apa saja. Itu pilihan kamu. Kalau kamu hanya mahu membaca Utusan Malaysia dan mempercayai segala yang ditulis di dalamnya, itu pilihan kamu. Begitu juga jika kamu hanya membaca Harakah/HarakahDaily, New Straits Times, Suara Keadilan dan lain-lain sumber berita. Pilihan kamu untuk percaya.
Cuma kadang-kadang aku kecewa dengan 'kemalasan' orang kita untuk pergi lebih jauh sikit, iaitu berfikir. Sering aku lihat, mereka baca dan terus percaya. Maka apa saja yang terhidang di hadapan mereka, mereka percaya itulah kebenaran 100%. Kalau orang hidang buah plastik, mereka masih percaya ianya buah kerana mereka sebenarnya percaya sumbernya. Itu saja. Mereka memilih untuk tidak mahu bersusah payah berfikir atau membuat kajian sama ada sumber berita itu adalah sumber yang betul dan tepat atau tidak.
Penyakit orang kita adalah kerana terlalu taksub dengan berpolitik. Kita juga terlalu taksub dengan ahli politik. Anehnya, ahli politik itu dipilih oleh kita sendiri. Apabila mereka menjadi wakil kita, sifatnya sudah berubah selepas itu. Mereka seperti menjadi dewa/Tuhan yang disembah dan dipercayai bulat-bulat apa saja yang keluar dari mulut wakil mereka ini.
Tetapi ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami. Orang kita (melayu terutamanya) sejak sekian lama diresapi dengan pengaruh dan adat beraja. Ada ketua yang sering disifat "maha" segalanya sehingga hampir menyampai sifat-sifat Tuhan. Sekarang ini saja kita sedikit berlapis untuk tidak dilihat terlalu taksub. Aku bukan anti-Raja. Aku fikir Raja adalah institusi tradisi Melayu yang perlu dikekalkan. Ianya mencerminkan adat dan budaya asli kita. Tetapi ianya sekadar itu, tradisi. Kita sebenarnya perlu bergerak melepasi konsep taksub kepada pemimpin ini. Kerana selagi kita masih begitu, selagi itu kita sebagai kaum tidak akan kemana-mana. Sebaliknya pemimpin, baik yang wujud secara tradisi atau dipilih melalui proses pilihanraya akan terus berkuasa dan menentukan hala tuju hidup kita.
Tetapi aku tidak mahu menulis mengenai mereka, pemimpin. Aku mahu menulis mengenai kebebalan kita sebagai manusia yang tidak mahu berfikir lebih jauh apabila dihidangkan dengan sesuatu berita/informasi. Pernah ada orang bertanya kepada aku, kenapa aku sangat berminat membaca Wikipedia dan bagaimana menggunakan Wikipedia. Perlu aku ingatkan bahawa Wikipedia adalah sumber maklumat terbuka yang ditulis secara kasual oleh ramai orang. Jadi sumber ilmunya agak diragui kebenarannya. Tetapi kita masih boleh menggunakan Wikipedia sebagai sumber pantas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sesuatu perkara. Kamu mahu tahu bagaimana evolusi manusia mempercayai dunia ini bulat, rujuk situ. Bukan sekadar memberi jawapan bahawa Islam sudah tahu lama mengenainya. Aku pun boleh berkata begitu.
Ianya berkait dengan memperolehi sumber maklumat ekstra dari sumber yang sedia ada. Supaya kita lebih sedar dan terbuka. Supaya kita menjadi manusia seperti yang disarankan oleh Tuhan melalui ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Bacalah!
Kalau kamu sendiri sering berkata bahawa otak manusia ini jauh lebih hebat daripada super-komputer, kenapa kamu tidak gunakan sepenuhnya? Gunakanlah untuk kebaikan. Cari ilmu selagi boleh. Jangan sekadar percaya apa yang orang lain beritahu kamu. Jangan hanya mahu dengar dari satu sumber. Dalam Islam sendiri pun kita sering ungkitkan, kalau tiada dalam al-Quran, rujuk Hadith, tiada dalam Hadith, rujuk sumber lain dan lain lagi...
Sikap kita yang hanya mahu percaya satu sumber bulat-bulat kemudian sebarkan kepada orang lain kononnya sumber itu sumber paling tepat dan betul tidak ubah seperti kita menyebarkan fitnah dan dusta.
"Kira aku okay la. Aku beli Utusan, Berita Harian, Metro dan Kosmo. Semua cakap benda yang sama mengenainya."
Seperti yang aku kata, itu pilihan kamu. Kalau kamu rujuk dengan lebih mendalam, kamu sekadar membaca dua akhbar dan ianya dimiliki oleh satu organisasi politik. Kamu cuma membaca satu berita sahaja. Kemudian kamu tanya aku, apa lagi yang boleh kamu guna untuk mencari sumber rujukan.
Banyak. Paling mudah di internet. Cari di situ dan kamu dapat pelbagai berita mengenai satu perkara dari sudut pandangan yang berbeza. Kemudian, kamu berfikir dan menilainya. Belajar berfikir dan menghuraikan maksud informasi yang diberikan. Bukan sekadar terima apa yang ditulis saja.
Kita bertanggungjawab keatas ilmu yang kita terima. Kalau baik ilmu tersebut, sebarkan. Kalau buruk, diamkan. Begitu juga dengan berita dan informasi. Kalau niat kita baik, kita akan sebarkan berita yang baik. Kalau niat kita jahat, segala yang buruk mengenai sesuatu perkara atau orang lain kita akan jaja kepada semua orang. Kamu mahu jadi mana satu? Pilih sendiri. Jangan lupa, nanti ada sesi soal jawab menentukan arah tuju kamu.
Ulasan
Catat Ulasan