Sudah aku katakan dalam Twitter (lihat sebelah kiri tepi blog ini), balik ke Putrajaya siang tadi, aku mahu lalui jalan paling jauh dan paling lengang.
Separuh daripada perjalanan tadi memang selesa. Jalan lengang, sekali sekala baru ada kereta lain. Jalan dari Kuala Kangsar ke Manong seperti gambar di atas siang tadi memang amat mengasyikkan. Aku tahu, kereta aku juga sukakan jalan sebegini. Aku tidak akan memandu laju, dan alunan jalannya lebih membuai.
Tiba di pekan Bruas, keadaan jalan masih selesa. Namun belok saja ke kiri dari arah ini, jalannya amat teruk (sejak dari dulu begitu) dan keadaan sudah semakin sesak.
Aku singgah di Lumut, bertemu Asyikin. Agak ralat, aku tidak sempat bertemu suaminya, Alvin yang masih di atas kapal (perang). Jadi kami berbual sambil menjamah spageti yang sedap. Bertanyakan keadaan hidup dan kerja. Mengeluhkan keadaan kerja (hidup sentiasa damai). Sejam kemudian, aku meneruskan perjalanan pulang.
Singgah di sebuah masjid di Lekir (nama tempat), aku tertarik dengan sebuah tugu peringatan yang dibina di tepi dinding masjid, mengingatkan kita mengenai tarikh kemerdekaan negara. Gambarnya ada di dalam koleksi picasaweb. Bertulis jawi, aku masih belum sempat membacanya.
Sepanjang jalan dari Manjung ke Sabak Bernam, kenderaan begitu banyak, hingga terjadi kesesakan di atas jalan berhampiran jambatan (sudah lupa nama jambatan tersebut) menuju ke persimpangan Teluk Intan dan Bagan Datoh. Setelah beberapa ketika, barulah polis datang mengawal.
Kemudian aku berhenti solat di sebuah masjid di Tanjung Karang. Kalau tidak silap, kawasan Sungai Nipah. Entah kenapa aku tidak rakam nama tempatnya. Aku sedari, di belakang masjid, ada sawah padi terbentang luas. Tetapi seperti kata seorang sahabat, padi sudah dipotong. Jadi, jelapang padi hanya tinggal tanah dan sisa batang padi. Aku sempat rakamkan pelangi yang terjadi ketika hujan sedang turun. Kamu nampak?
Sebelum aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah, aku menghampiri sawah padi dan merakamkan suasananya. Walaupun tiada pokok padi yang menguning, tetapi latar potret masih cantik untuk dirakam.
Sebelum aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah, aku menghampiri sawah padi dan merakamkan suasananya. Walaupun tiada pokok padi yang menguning, tetapi latar potret masih cantik untuk dirakam.
Begitulah keadaan aku siang tadi. Mencari jalan paling jauh untuk pulang. Sembilan jam lamanya aku di atas jalan raya. Tetapi kepuasan tetap ada. Aku akan kembali ke kawasan Sabak Bernam - Kuala Selangor. Ada banyak perkara yang menarik untuk dirakam melalui lensa kamera. Walaupun masih rosak, tetapi masih boleh digunakan sekadar mampu.
Kamu jangan cemburu waktu-waktu begini. Kamu juga boleh laluinya. Kalau biasa kita bergerak dari A ke B, sekali sekala, kita menyimpang ke C, D dan E sebelum sampai di titik B. Lihat suasananya, bagaimana. Dunia ini sungguh indah dicipta Tuhan.
mana eh pelanginya? ke mataku yang semakin rabun. atau pelangi itu hanya Encik Idan je boleh nampak? Jangan lupa nanti singgah di kampung saya. Nanti boleh saya bawak awak makan mee bandung =)
BalasPadam