Syukur dengan hidup yang sedang aku lalui. Semakin damai rasanya dan semakin bermakna. Tidak perlu minta lebih dari ini daripadaNya. Sebaliknya meletakkan penghargaan dan kesyukuran yang tidak terhingga, kerana dalam keadaan aku yang terlalu jauh dariNya, hidup ini sentiasa diberkati dan dirahmati.
Cuma tinggal aku untuk cuba dan berusaha menjadi kembali dekat dengan Yang Maha Esa. Moga dipermudahkan jalannya.
Aku juga mempunyai insan yang mampu membuat aku tersenyum gembira sepanjang masa. Setiap waktu walau hanya mendengar suaranya di telefon, sudah cukup menyenangkan hati ini. Apa lagi yang aku mahukan selain daripada itu? Ianya pemberian hidup yang tidak ternilai dan aku perlu jaga dan hargainya sebaik mungkin.
Mungkin kerana aku sekarang sudah lama berdamai dengan hidup aku sendiri. Aku tidak mendesak diri untuk menjadi orang lain atau berpura-pura untuk hidup cara hidup orang lain. Apa yang aku lakukan, aku lakukan dengan cara sendiri dan ianya sungguh menyenangkan hati.
Setiap petang selepas waktu kerja, kalau cuaca mengizinkan, aku berbasikal mengeliling Putrajaya. Waktu yang sangat damai melihat alam dan merasai hembusan bayu yang kadang-kadang memujuk aku untuk terus leka dengan keindahan suasananya. Kamu hanya perlu duduk di suatu sudut di dunia ini dan jujur memerhatikan suasana sekelilingnya. Kamu pasti akan menghargai setiap detik yang kamu ada.
Tuhan berikan kita segalanya untuk kita fikir, rasa, dengar, sentuh dan sedar bahawa hidup ini, kalau kita menghargainya, kita akan berasa lebih damai. Redakan kecewa, sedih dan marah di hati kita, hargai apa yang kita ada.
Ulasan
Catat Ulasan