Langkau ke kandungan utama

Sepetang di Jalan TAR

Siang tadi bersama Zura (si dia) dan ibunya, kami meredah lautan manusia di Jalan Masjid India. Orang berpusu-pusu membeli pakaian baru sempena Aidil Fitri yang bakal tiba tidak lama lagi (walaupun puasa baru selesai 4 hari).

Pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlangsung setiap petang Sabtu dipenuhi dengan jualan baju raya pelbagai fesyen. Ada set baju melayu lengkap dengan samping yang boleh dibeli dengan harga kurang RM100. Ada songkok tinggi yang aku cari selama ini. Ada kek bersalut coklat yang nampak sedap. Ada mat dan minah salleh yang mungkin terpegun dengan apa yang dihidangkan dihadapan mereka; manusia dan pilihan pakaian yang begitu banyak.

Akhirnya aku membeli sepasang baju melayu berwarna merah kelabu (kata Zura). Dia tahu aku rabun warna. Paling menyenangkan hati aku adalah sikap Zura yang memahami kekurangan aku. Tidak nampak langsung dia mengeluh atau merendahkan ketidakupayaan aku. Sebaliknya kadang-kadang bila dia lupa dan aku ingatkan yang aku adalah seorang yang rabun warna, dia mohon maaf walaupun itu semua tidak perlu. Dia juga berusaha sebaik mungkin untuk terangkan kepada aku tentang warna yang sedang dilihat. Aku tahu mungkin kamu akan kata bahawa orang lain akan buat perkara yang sama. Tetapi hakikatnya, selama ini ramai yang aku kenali seperti tidak memahami keadaan sebenar rabun warna itu. Ada kalanya kamu dapat rasakan bahawa mereka tidak selesa dengannya. Itu aku tidak nampak langsung dari Zura.

Kemudian aku membeli sehelai jersey bolasepak Liverpool FC musim terbaru dengan penaja Standard Chartered. Dulu bila Carlsberg menjadi penaja utama, aku amat berat hati untuk membeli, apatah lagi memakainya. Sekarang kata tuan kedai, jualan jersey Liverpool FC lebih tinggi daripada dulu. Zura sekadar yang aku tahu adalah peminat Manchester United. Aku akan hasut dia untuk tinggalkan Red Devils.

Kami sempat berbuka puasa di tapak ekspo ramadan, belakang Semua House. Makan apa yang ada; laksa, bihun sup dan ayam goreng berempah yang tidak cukup masak. Kalau dulu, aku pasti akan mencari restoran makanan segera untuk berbuka kerana tidak biasa dengan orang ramai disekeliling. Sekarang, hidup kerana ada tolak ansur dan aku gembira dengannya.

Esok tengahari, aku akan berangkat pulang ke kampung halaman dan bercuti hingga selasa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Malam Di Taman Tasik Titiwangsa

Sudah lama aku tidak membuat fotografi malam. Biasanya aku akan guna Canon EOS 400D aku kerana lebih baik kualitinya dan lebih hebat hasilnya. Memandangkan kamera tersebut sudah sedikit rosak dan juga pada malam semalam hanya kamera digital Sony CyberShot DCR-W350 saja yang berada di tangan, tiada pilihan selain cuba menggunakan kamera tersebut dan melihat hasilnya nanti.

Seperti yang dijangka, hasilnya kurang memuaskan. Begitu banyak noise yang terkandung dalam setiap gambar yang dirakam. Aku tidak menggunakan flash kerana mahu merakam suasna sebenar sekitar Taman Tasik Titiwangsa malam semalam.

Tanpa tripod, ianya lebih menyukarkan keadaan. Aku terpaksa menggunakan apa saja yang ada di sekeliling sebagai 'tripod sementara'.
 Satu perkara yang aku sedari, di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, begitu ramai orang duduk berehat di sepanjang tasik. Cuma keadaan agak gelap kerana lampu yang ada tidak berfungsi. Suasana sedikit dicerahi dengan lampu jalan tidak jauh dari taman. Cahaya da…

Kereta Ku Lari Gagah Berani!

Aku memandu sebuah Perodua Kancil ke pejabat setiap hari bekerja. Perjalanan sejauh lebih 25km dari Bandar Sunway ke Putrajaya aku lalui seorang diri. Jadi pada fikiran aku, Kancil adalah kenderaan yang sesuai untuk jarak perjalanan dan jumlah isi pengguna di dalam kereta tersebut. Maksud aku, tidak perlu memandu sebuah MPV besar untuk ke pejabat jika setiap masa ianya hanya akan diisi dengan orang manusia.
Aku dan Zura sejak awal kenal sering berkata bahawa akan tiba masa kami memerlukan sebuah kenderaan baru. Zura mahukan sebuah MPV kerana mudah untuk membawa barang dan mungkin, membawa saudara mara ke sana sini. Praktikal dan berfikir secara logikal. Aku lebih sukakan sebuah kereta saiz sederhana kerana memikirkan 90% daripada masa penggunaan kereta itu nanti, aku atau Zura akan bersendirian memandunya.
Lagi pun, biras aku sudah membeli sebuah Proton Exora walaupun anak masih seorang. Nampak selesa dan bila balik berhari raya tempohari, Exora itu sangat membantu membawa kami ke sana …

Apple Mac - Cerita Aku 1

Aku pakai komputer jenama Apple di rumah dan di pejabat. Laptop MacBook Pro aku beli menggantikan laptop Acer Aspire (sudah dijual) dengan tujuan sebenar untuk kerja sampingan sebagai video editor dengan sebuah studio perkahwinan (DinaWedding). Aku sudah menggunakan Apple iMac di pejabat sejak penghujung 2006 lagi. Secara umumnya, banyak kerja aku melibatkan senireka grafik menyebabkan komputer Apple menjadi pilihan paling sesuai.

Aku pernah dan sering ditanya serta aku yakin di luar sana ramai juga yang ingin mengetahui kebaikan dan keburukan menggunakan komputer jenama Apple. Jadi aku fikir lebih baik aku kongsi pengalaman aku.

Komputer jenama Apple secara umumnya adalah komputer peribadi/workstation/server yang dibina dan dijual sendiri oleh syarikat Apple Inc. dan menggunakan sistem operasi (Operating System) jenama Mac OS. Suatu ketika dulu ada syarikat pengeluar komputer yang mengeluarkan komputer dengan menggunakan sistem operasi Mac OS namun begitu semenjak Steve Jobs (CEO dan p…