Langkau ke kandungan utama

Lotus Lawan Lotus

Dunia perlumbaan Formula 1 sedang rancak membahaskan pertembungan antara dua Lotus. Satu Lotus yang dibawa oleh Tony Fernandes, CEO Air Asia sejak tahun lalu, dikenali sebagai Lotus Racing. Pada tahun 2011 nanti mereka akan menggunakan kembali nama pasukan lagenda dalam F1, Team Lotus.

Team Lotus bagi yang kurang arif mengenai F1, adalah pasukan F1 yang paling berjaya selepas Scuderia Ferrari. Namun begitu pada tahun 1994, mereka telah menarik diri daripada F1 kerana faktor kewangan dan sokongan penaja.

Pada tahun 1996, Group Lotus iaitu syarikat yang membina kereta Lotus telah dibeli oleh Proton. Namun begitu, pembelian itu tidak termasuk hak kepada jenama Team Lotus. Mengikut sejarah, Colin Chapman, pemilik Team Lotus dan Lotus Cars tidak pernah meletak kedua-dua entiti ini di bawah satu bumbung. Alasan beliau adalah, sekiranya satu syarikat mengalami masalah, syarikat satu lagi tidak akan lingkup bersama. Jadi Proton pada tahun 1996 cuma membeli Lotus Cars yang sekarang dikenali sebagai Group Lotus. Manakala Team Lotus telah dimiliki oleh David Hunt iaitu adik kepada James Hunt, pelumba F1 sekitar era 70an yang juga pernah memandu untuk Team Lotus. Team Lotus dikendali oleh David Hunt melalui Team Lotus Ventures.

Pada penghujung 2010, Tony Fernandes telah berjaya membeli Team Lotus Ventures daripada David Hunt seterusnya melayakkan beliau menggunakan jenama Team Lotus untuk pasukan beliau yang sebelum ini dikenali sebagai Lotus Racing.

Lotus Racing digunakan pada tahun 2010 oleh Tony Fernandes selepas membuat perjanjian penggunaan nama Lotus dengan syarikat Proton dan Group Lotus. Perjanjian yang sepatutnya berlangsung selama lima tahun telah ditamatkan oleh Proton pada penghujung tahun 2010 atas dakwaan Proton bahawa Tony Fernandes telah melanggar terma perjanjian.


Awal November 2010, kedengaran khabar angin bahawa Proton dan Group Lotus berminat untuk menyertai F1 melalui rakan kongsi lain, iaitu tidak melibatkan Lotus Racing. Akhirnya disahkan dengan pembelian saham Renault dalam pasukan F1 Renault yang selebihnya dimiliki oleh Genii Capital, sebuah syarikat dari Luxembourg. Pasukan itu dikenali sebagai Lotus-Renault dan mereka akan menggunakan warna kereta Team Lotus klasik iaitu hitam dan emas, juga dikenali sebagai JPS Livery.

Timbul kekeliruan kerana Team Lotus 2011 milik Tony Fernandes juga pada mulanya dicadang akan menggunakan livery yang sama. Malah Team Lotus sudah awal-awal mengumumkan akan menggunakan enjin Renault dan sistem gear-box Red Bull. Manakala Lotus-Renault sudah semestinya akan menggunakan enjin Renault.

Akhirnya selepas meminta pendapat peminat melalui pungutan suara, Team Lotus memilih untuk mengekalkan livery asal; hijau dan emas seperti musim 2010. Nama pasukan saja yang akan ditukar daripada Lotus Racing (yang dilesenkan oleh Proton) kepada Team Lotus (setelah dibeli daripada David Hunt).

Sengketa yang berlaku antara pasukan F1 Tony Fernandes dengan Proton/Group Lotus adalah kerana kononnya Proton tidak berpuas hati dengan pencapaian Lotus Racing pada 2010. Apa yang lebih jelas daripada pandangan penganalisis, mereka lebih melihat keengganan Dany Bahar, CEO baru Group Lotus melibatkan diri dengan Lotus Racing. Dany Bahar lebih berminat untuk mengetuai sendiri sebuah pasukan F1.

Dany Bahar pernah bekerja dengan Ferrari dan pasukan F1 Red Bull yang tahun ini menjuarai F1 secara keseluruhan. Beliau juga telah merangka pelan transformasi Group Lotus daripada sebuah syarikat pengeluar kereta skala kecil untuk menjadi pencabar kepada Ferrari, Lamborghini, Porsche dan Aston Martin. Pada Pameran Motor Paris 2010, Lotus telah mempersembahkan lima buah kereta konsep Lotus yang dirangka akan mula dijual pada tahun 2012 nanti. Selaras dengan ini juga, usaha promosi terhadap Lotus giat dijalankan dan F1 adalah satu ruang yang paling luas untuk mencipta aura kehebatan Lotus.

Rancangan Dany Bahar ini sebenarnya mendapat kritikan ramai. Lebih banyak pendapat negatif tentang usaha Dany Bahar berbanding yang menyokong. Antara teori akan ditimbulkan adalah selepas 2015 nanti, Lotus akan sekali lagi bengkrap dan terpaksa dijual oleh Proton. Apa tidaknya, untuk bersaing dengan Ferrari dan Porsche bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula Lotus selama ini terkenal dengan mantra oleh Colin Chapman; "Add speed, add lightness". Kereta konsep yang diperkenalkan oleh Dany Bahar semuanya tidak menepati mantra ini.

Memang suatu perubahan itu sukar hendak diterima oleh orang ramai. Tetapi apa yang cuba dilakukan oleh Dany Bahar dan Group Lotus adalah untuk keluar daripada niche dan berada di tahap yang sama dengan pengeluar kereta sport lain. Moga mereka berjaya.

Percanggahan yang berlaku dalam F1 adalah apabila Proton/Group Lotus mendakwa bahawa mereka mempunyai hak terhadap jenama Lotus Racing. Proton pernah membawa kes ini ke mahkamah dan mereka kalah. Team Lotus kekal di tangan David Hunt. Sebab itu juga ketika Tony Fernandes mahu menggunakan Lotus pada tahun 2010 melalui Proton/Group Lotus, mereka terpaksa menggunakan nama Lotus Racing, bukan Team Lotus. Menarik daripada perjanjian ini, Proton/Group Lotus tidak mengeluarkan satu sen pun duit mereka untuk Lotus Racing. Ianya seperti Proton/Group Lotus mendapat promosi percuma selama lima tahun perjanjian berlangsung.

Apabila perjanjian ditamatkan oleh Proton, Tony Fernandes mengumumkan bahawa beliau telah membeli hak penggunaan jenama Team Lotus daripada David Hunt, seterusnya melayakkan beliau menggunakannya untuk musim 2011. Perkara ini disahkan oleh FIA melalui senarai pasukan yang bertanding pada tahun 2011 nanti di mana pasukan Lotus Racing akan dikenali sebagai Team Lotus. Manakala pasukan Renault akan dikenali sebagai Lotus-Renault. Lebih daripada itu, jentera lumba Team Lotus akan dikenali sebagai Lotus manakala jentera lumba Lotus-Renault akan dikenali sebagai Renault sahaja, bukan Lotus atau Lotus-Renault. Ini bermakna, penglibatan Proton/Group Lotus dalam F1 pada musim 2011 adalah sebagai penaja utama (title sponsor) pasukan F1 Renault. Mereka sedang berusaha untuk mendapatkan hak penggunaan nama Lotus pada jentera lumba tetapi itu perlu mendapat persetujuan daripada pemilik pasukan F1 lain (berdasarkan perjanjian Concord). Jadi, Lotus-Renault perlu mendapatkan persetujuan antara lain daripada Team Lotus sendiri untuk membenarkan mereka menggunakan 'Lotus' pada jentera mereka. Agak-agak Team Lotus akan bersetuju?

Aku sedari melalui beberapa forum, terdapat ramai yang menyokong Lotus-Renault kerana ianya usaha secara langsung Proton/Group Lotus dan mereka mengkritik Tony Fernandes kerana menggunakan Team Lotus. Justifikasi mereka adalah kerana Tony Fernandes tidak ada kena mengena dengan jenama Lotus berbanding Proton/Group Lotus. Ada yang mendesak agar Tony Fernandes memberikan saja Team Lotus kepada Proton/Group Lotus.

Kita perlu ingat, pada permulaan Lotus Racing di awal 2010, Tony Fernandes berusaha sedaya upaya untuk mendapat restu daripada Clive dan Hazel Chapman, anak dan balu kepada Colin Chapman. Beliau bukan saja mendapat restu, malah beliau juga dihadiahkan dengan 'topi' yang pernah dilambungkan ke udara oleh Colin Chapman setiap kali kereta lumba beliau memenangi perlumbaan. Begitu penerimaan keluarga Chapman terhadap usaha Tony Fernandes. Malah peminat Lotus yang pada awalnya mengkritik Lotus Racing, di penghujung musim sudah begitu menghargai usaha yang dilakukan oleh Lotus Racing.

Kita boleh baca forum di seluruh dunia yang begitu 'passionate' dengan usaha Lotus Racing untuk mengembalikan aura Team Lotus. Ada antara mereka yang sudah lama meninggalkan F1 kerana bosan, kembali meminati F1 hanya kerana Lotus Racing yang dilihat sebagai sebuah pasukan yang benar-benar jujur dalam usaha mereka.

Aku sendiri adalah peminat Lotus Racing dan sekarang akan terus meminati Team Lotus. Bukan aku mahu menyokong mereka kerana minat aku. Tetapi kalau kita kaji dan lihat sendiri apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2010, mereka berhak untuk menggunakan jenama Team Lotus lebih daripada Proton/Group Lotus sendiri. Kenyataan Dany Bahar bahawa lebih baik membeli kejayaan daripada berusaha memilikinya menunjukkan sifat arogant beliau. Kenyataan Tony Fernandes bahawa Dany Bahar tidak pernah melawat Lotus Racing (lokasi yang sama di Hethel) menunjukkan betapa Dany Bahar cuma memandang sebelah mata dengan Lotus Racing.

Masa akan menentukannya. Penglibatan Proton/Group Lotus dalam F1 melalui Renault adalah sesuatu yang tidak diduga tetapi ianya bersifat arogan dan tidak bijak. Mereka mungkin akan lebih berjaya daripada Team Lotus pada tahun 2011 memandangkan pasukan F1 Renault memperolehi keupayaan dan pengalaman yang jauh lebih lama daripada Lotus Racing. Benar, kejayaan boleh dibeli tetapi passion dibina melalui titik peluh dan usaha yang tidak berbelah bagi.

Sebab itu aku menyokong Team Lotus 2011.

Ulasan

  1. Anonymous6:39 PTG

    saya sedang menjalankan tugasan mengenai negotiation..saudara tahu tak dekat mana nak dapatkan info mengenai perjanjian Concorde antara g.Lotus n t.lotus..tq

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 2

Sambungan koleksi gambar MRSM Balik Pulau, circa 2003. Ini bas maktab suatu ketika dulu. Aku sudah tengok bas baru. Tapi bas lama ini sungguh manis kenangannya. Kami menyanyi gembira setelah muncul johan bolasepak under-15 dan under-18. Pergi berkelah di Batu Feringgi atau melawat Botanical Garden. Pergi trip ke MRSM Berseri dengan ditemani bumbung bas yang bocor. Ianya suatu kebanggaan dapat naik bas ini suatu ketika dahulu. Masa itu tidak semua sekolah ada bas sendiri. Jadi kira hebat la. Baru sekarang aku terperasan, bas tersebut ada iras-iras Penang Yellow Bus. Hmm... Padang. Kalau masa aku pergi tahun 2003 dahulu ada sign board tertulis, "Home of The Cougars", merujuk kepada pasukan ragbi maktab. Mungkin pada ketika itu ianya amat kuat. Memang ragbi masa zaman aku pun kuat juga, tapi tidak sehebat team bolasepak yang dibentuk sejak kami form 2. Sepanjang itu hingga ke form 5, kami tidak pernah tewas satu game pun (betul tak Carrie?). Jadi johan Under-15 dan Under-18 nege...

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l...

Apple Mac - Cerita Aku 1

Aku pakai komputer jenama Apple di rumah dan di pejabat. Laptop MacBook Pro aku beli menggantikan laptop Acer Aspire (sudah dijual) dengan tujuan sebenar untuk kerja sampingan sebagai video editor dengan sebuah studio perkahwinan ( DinaWedding ). Aku sudah menggunakan Apple iMac di pejabat sejak penghujung 2006 lagi. Secara umumnya, banyak kerja aku melibatkan senireka grafik menyebabkan komputer Apple menjadi pilihan paling sesuai. Aku pernah dan sering ditanya serta aku yakin di luar sana ramai juga yang ingin mengetahui kebaikan dan keburukan menggunakan komputer jenama Apple. Jadi aku fikir lebih baik aku kongsi pengalaman aku. Komputer jenama Apple secara umumnya adalah komputer peribadi/workstation/server yang dibina dan dijual sendiri oleh syarikat Apple Inc. dan menggunakan sistem operasi (Operating System) jenama Mac OS. Suatu ketika dulu ada syarikat pengeluar komputer yang mengeluarkan komputer dengan menggunakan sistem operasi Mac OS namun begitu semenjak Steve Jobs (CEO d...