Langkau ke kandungan utama

Sepuluh Tahun Dari Sekarang, Anak Aku Akan Membaca Ini

"Tahun ke-5 di FB. Tahun ke-3 di Twitter. Tahun ke-10 di Blogger. Live life digitally. :D"
Tertulis di 'wall' Facebook aku tempohari mengenai tempoh masa aku di dalam internet selama ini. Malah, sebenarnya lebih lama dari itu. Laman web aku pertama kali wujud sekitar 1998.

Sepanjang tempoh itu, banyak yang telah aku pelajari. Banyak pengajaran yang aku ambil dan simpan. Antaranya, gambaran manusia realiti jarang sama dengan apa yang dipaparkan di internet. Manusia bila di sini, lebih suka menggunakan alter-ego mereka sebagai sifat sejati terunggul untuk paparan manusia lain yang sebenarnya mungkin melihat semua itu dari mata alter-egonya juga.

Ya, topeng. Dalam internet manusia lebih banyak yang bertopeng dari menunjuk peribadi sebenarnya mereka. Mereka hias avatar mereka di dalam internet sebaik mungkin mengikut acuan kehendak diri mereka. Sekadar 1 dan 0 dalam jalinan infiniti yang kita sangka sangat 'cool'.

Sebab itu juga aku mengambil kata-kata orang di dalam internet seperti secubit garam. Masin tetapi cuma setakat itu. Kerana hanya kita tahu apa yang ada dalam diri kita. Malaikat dan syaitan dalam diri kita, hanya kita yang kenal. Kerana merekalah yang berada di tepi cuping telinga kita menghasut dan memujuk, mendesak dan menasihati.

Ada waktunya aku akan terasa pedas dengan kata-kata orang tetapi aku tahu mereka tidak tahu perkara yang seterusnya. Aku tahu mereka hanya melihat sejauh itu, pada waktu itu. Tidak lebih dari apa yang terpapar di layar di hadapan mereka. Selebihnya dan realitinya hanya kita yang tahu. Kita yang sedang melaluinya.

Sudah kali ke-5 aku putarkan kembali lagu The Sound of Silence nyanyian Simon & Garfunkel, salah sebuah OST filem Watchmen. Lagu tahun 1964; Ayah berusia 18 tahun dan emak masih seusia sembilan tahun, dan sepuluh tahun kemudian mereka adalah suami isteri.

Jangan risau, aku selitkan lagu itu dalam post ini di penghujung cerita. Kamu boleh dengar lagu tersebut sambil membaca tulisan ini. Aku pasti ianya tidak akan dimainkan lebih dari sekali. Begitu keadaannya. Menulis sesuatu mengambil masa panjang kerana banyak perkara dan keadaan yang harus diambil kira. Membaca sekadar itu; membaca. Melainkan ada orang yang cuba memahami setiap baris dan isinya.

Cuti Tahun Baru Cina aku penuhi dengan menziarahi saudara di Bahau, Negeri Sembilan. Zura rindukan anak saudara lelaki tunggalnya yang baru berusia setahun setengah. Dia sudah bijak. Mahu berbicara dengan kita tanpa kita fahami sepatah pun yang diucapkan. Sepanjang perjalanan ke sana, kami lalui jalan luar bandar yang nyaman dan mendamaikan. Gerai buah-buahan ada di mana-mana di tepi jalan dari Ulu Bendol hingga ke Bahau. Selepas Terachi, kami singgah di sebuah gerai dan membeli buah tampoi. Buah yang sangat jarang ditemui ini menjadi kegemaran Zura. Syukur juga dapat temui buah tampoi di situ kerana beberapa hari sebelum itu Zura ada mengatakan hasratnya mahu makan buah tampoi. Malah kami sempat memesan dari saudara Zura yang kebetulan mahu bercuti ke Cameron Highlands untuk membeli buah tampoi di pinggir jalan dari Slim River ke Ringlet. Tiba musimnya, orang asli di situ akan menjual buah tampoi. Tidak sangka pula kami temui buah tampoi di Terachi, Negeri Sembilan. Kata orang, rezeki anak.

Buah tampoi.

Tiga hari dua malam di sana cukup meredakan rindu Zura pada anak saudaranya. Siang malam dihiburkan dengan keletah si kecil. Sekali sekala si kecil akan datang ke dan mencium perut Zura. Dia tahu ada bayi kecil di dalamnya dan mungkin tidak sabar menanti kehadirannya di dunia ini. Tiga bulan lagi, inshaAllah.

InshaAllah cuti Maulidur Rasul yang mendatang ini, kami akan balik ke Kuala Kangsar. Rindu kampung halaman. Rindu emak dan rindu ayah. Jujur aku katakan, aku kurang merindui Kuala Kangsar walaupun itu kampung halamanku. Sepanjang hidup ini dan sejak kami sekeluarga berpindah dari Gerik ke Kuala Kangsar pada tahun 1984, aku cuma kekal bermastautin lama di sana tidak lebih lima tahun; dari tahun 1984 - 1988 dan setahun selepas SPM. Itu saja. Selebihnya aku berkelana di sana sini dari usia 14 tahun.

Aku mencari laksa Kuala Kangsar dan cendol, dan jika dizinkan keadaan, bertemu dengan dua anak saudara kesayangan aku, Raziq dan Raisya. Raziq aku perlu belikan sebuah buku untuknya. Aku mahu dia jadi bijak seperti ibunya. Raisya aku mahu belikan sepasang baju kerana sudah pasti yang memilihnya nanti adalah Zura. Dia sangat sukakan baju budak perempuan. Female bonding agaknya. InshaAllah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 2

Sambungan koleksi gambar MRSM Balik Pulau, circa 2003. Ini bas maktab suatu ketika dulu. Aku sudah tengok bas baru. Tapi bas lama ini sungguh manis kenangannya. Kami menyanyi gembira setelah muncul johan bolasepak under-15 dan under-18. Pergi berkelah di Batu Feringgi atau melawat Botanical Garden. Pergi trip ke MRSM Berseri dengan ditemani bumbung bas yang bocor. Ianya suatu kebanggaan dapat naik bas ini suatu ketika dahulu. Masa itu tidak semua sekolah ada bas sendiri. Jadi kira hebat la. Baru sekarang aku terperasan, bas tersebut ada iras-iras Penang Yellow Bus. Hmm... Padang. Kalau masa aku pergi tahun 2003 dahulu ada sign board tertulis, "Home of The Cougars", merujuk kepada pasukan ragbi maktab. Mungkin pada ketika itu ianya amat kuat. Memang ragbi masa zaman aku pun kuat juga, tapi tidak sehebat team bolasepak yang dibentuk sejak kami form 2. Sepanjang itu hingga ke form 5, kami tidak pernah tewas satu game pun (betul tak Carrie?). Jadi johan Under-15 dan Under-18 nege...

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l...

Apple Mac - Cerita Aku 1

Aku pakai komputer jenama Apple di rumah dan di pejabat. Laptop MacBook Pro aku beli menggantikan laptop Acer Aspire (sudah dijual) dengan tujuan sebenar untuk kerja sampingan sebagai video editor dengan sebuah studio perkahwinan ( DinaWedding ). Aku sudah menggunakan Apple iMac di pejabat sejak penghujung 2006 lagi. Secara umumnya, banyak kerja aku melibatkan senireka grafik menyebabkan komputer Apple menjadi pilihan paling sesuai. Aku pernah dan sering ditanya serta aku yakin di luar sana ramai juga yang ingin mengetahui kebaikan dan keburukan menggunakan komputer jenama Apple. Jadi aku fikir lebih baik aku kongsi pengalaman aku. Komputer jenama Apple secara umumnya adalah komputer peribadi/workstation/server yang dibina dan dijual sendiri oleh syarikat Apple Inc. dan menggunakan sistem operasi (Operating System) jenama Mac OS. Suatu ketika dulu ada syarikat pengeluar komputer yang mengeluarkan komputer dengan menggunakan sistem operasi Mac OS namun begitu semenjak Steve Jobs (CEO d...