Sudah lama aku tidak menulis di sini sehinggakan Zura sendiri bertanya kenapa. Mungkin aku boleh jawab aku sudah tidak ada apa yang menarik untuk ditulis. Tetapi hidup ini sedang dalam keadaan yang sangat menarik. Sejak beberapa ketika ini, aku terkenangkan kampung halaman. Bukan di Kuala Kangsar, tetapi di Gerik, Perak. Aku membesar di sana dari hari pertama hingga berusia sembilan tahun, sebelum berpindah ke Kuala Kangsar pada tahun 1985. Kamu tahu apa yang paling menarik mengenai Gerik? Bahasanya. Ada yang menggelar bahasa pertuturan di Gerik sebagai bahasa Gerik, ada yang kata bahasa Patani (seperti di Selatan Thailand), ada yang fikir ianya bahasa Kelantan. Hakikatnya bahasa di Gerik adalah unik dan hanya ada di sekitar Hulu Perak dan sedikit di selatan Kedah sahaja. Itu pun, di hampir setiap kampung atau kawasan, bunyinya berbeza dan gaya pertuturannya juga berbeza. Itu yang membuatkan bahasa Gerik (selepas ini aku hanya akan andaikan ianya Bahasa Gerik sahaja) adalah yang istime...