Langkau ke kandungan utama

Masjid Sultan Mizan (Masjid Besi) - Dari Sudut Lensa

Aku mencari-cari post lama mengenai Masjid Sultan Mizan (Masjid Besi) dalam blog aku. Baru aku sedari aku masih belum membuat ulasan mengenai masjid ini seperti yang aku janjikan tempohari. Sedangkan semua gambar masjid (luar dan dalam) untuk aku sisipkan dalam post aku sudah lama aku upload.

Jadi, baik aku terus ceritakan saja.

Aku sudah lama mengikuti pembangunan Masjid Besi ini. Kalau tidak salah aku, awal dulu ianya digelar Masjid Putrajaya. Jangan kamu keliru dengan Masjid Putra berhampiran pejabat PM. Lebih kurang tahun lepas aku dapat tahu masjid ini juga digelar "masjid besi" kerana struktur binaannya banyak menggunakan besi. Kalau kamu lihat dari awal pembinaan, kamu akan percaya. Kamu cari post mengenainya dalam blog ini.


Satu identiti unik Masjid Sultan Mizan adalah ketiadaan menara (minaret) yang biasa kita lihat pada sesebuah masjid. Ada yang berpendapat ini mencacatkan ciri-ciri sebuah masjid. Bagi aku, rekabentuk masjid ini sudah cukup melambangkan ianya sebuah masjid kontemporari. Tidak perlu ada minaret untuk mengukuhkan lagi fakta tersebut.

Aku tidak mahu berbicara mengenai warna masjid kerana aku rabun warna.


Bila kamu menghampiri masjid, baru kamu sedar betapa besar struktur binaan ini.Garisan pada dinding dan tiang masjid sentiasa menuju ke atas (vertikal) menambahkan impak tingginya masjid ini. Penggunaan panel aluminium (mungkin) seperti di bangunan moden membuatkan masjid ini nampak simple dan approachable. Tidak ada kubah atau arch yang biasa kita lihat di masjid mega di Malaysia. Ianya langsung tidak kelihatan seperti sebuah masjid di Bukhara atau Esfahan.


Malah gerbang besar ke ruang solat utama (atas dan bawah) juga tidak menonjolkan senibina Islam yang biasa kita lihat di Masjid Wilayah Persekutuan atau Masjid Putra. Sebaliknya gerbang dibina dalam bentuk segi empat melengkung ke luar tanpa jubin atau ukiran marmar. Seni pertukangan besi sebaliknya mengambil tempat dan ianya nampak agak futuristik.



Namun tidak semua ciri asas senibina Islam dibuang. Arch di luar masih kelihatan dalam bentuk yang klasik seperti kita biasa lihat di masjid lain. Cuma sekali lagi di sini, ianya dibina dengan menggunakan besi. Nampak lebih elegan.

'

Courtyard di luar ruang solat utama adalah tipikal seperti masjid lain, dengan sebuah kolam air pancut menjadi centre-piece.



Masuk saja ke ruang solat utama, perkara pertama yang kamu akan perhatikan adalah dinding kaca yang ditulis khat di atasnya. Susah hendak aku jelaskan dengan tulisan, melainkan kamu pergi dan lihat sendiri. Sungguh cantik. Kalau cahaya petang yang bersinar dari barat menembusi masuk, nampak lebih hebat. Aku rasa inilah satu-satu masjid setakat ini yang tidak perlu menggunakan pencahayaan buatan yang banyak. Cahaya natural boleh masuk dari semua sudut masjid ke dalam ruang solat utama. Konsep terbuka ini sebenarnya membantu menyejukkan ruang solat.



Kubah besar di tengah-tengah bangunan masjid ini, kalau kita lihat dari dalam, ianya adalah kubah paling "simple" di kalangan masjid mega di Malaysia. Sekadar tulisan Allah di tengah dan selebihnya adalah "kedutan" kepingan aloi yang digunakan. Sudah cukup untuk menghias kubah tersebut. Manakala tiang-tiang di sekeliling kubah adalah sama strukturnya seperti tiang arch di luar.


Sesuai dengan konsep terbuka masjid Sultan Mizan, sekeliling kiri dan kanan masjid kita boleh saksikan permandangan menarik sekitar Putrajaya. Kalau kena waktunya, angin akan bertiup nyaman ke dalam ruang masjid sambil kita boleh duduk bersantai di tepi kolam air yang mengelilingi ruang solat utama.



Bagi aku, kolam air yang mengelilingi ruang solat utama adalah identiti paling menarik masjid Sultan Mizan. Aku percaya, ianya adalah berdasarkan kolam air yang terdapat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.


Kolam air yang memagari sekeliling ruang solat utama ini bertindak seperti penyejuk asli. Angin yang bertiup akan disejukkan oleh kolam ini dan ianya amat selesa. Kolam ini juga bertindak sebagai pemisah antara ruang solat dengan tebing tinggi masjid tanpa perlu dibina pagar yang tinggi yang seterusnya boleh menghalang permandangan sekitar Putrajaya. Idea yang sangat menarik.



Secara keseluruhan, masjid Sultan Mizan adalah contoh terbaik pembinaan masjid cara baru yang tidak terikat dengan kaedah pembinaan masjid di negara Timur Tengah seperti yang lazim kita lakukan. Mungkin sudah tiba masa kita promosi rekabentuk pembinaan masjid Sultan Mizan sebagai rekabentuk masjid ala Malaysia yang sesuai untuk negara beriklim panas seperti Malaysia.

Ada beberapa perkara negatif yang aku sedari. Pertama, tangga bergerak ke ruang mengambil wuduk cuma ada satu di setiap sudut. Tangga kecil dan orang yang ramai akan menimbulkan masalah. kita perlu sedar, orang kita amat malas hendak menapak naik tangga. Kedua, ada tangga bergerak yang dibina dari ruang mengambil wuduk ke ruang solat utama. Agak pelik. Pergerakan dari ruang berwuduk hingga ke ruang solat memerlukan kita berkaki ayam (tidak pakai kasut). Mana mungkin kita boleh biarkan orang menggunakan tangga bergerak dengan tidak memakai kasut? Cari nahas? Lebih baik kalau mereka bina laluan seperti laluan OKU, ianya lebih selamat dan tidak memenatkan.



Ini sebenarnya ulasan agak malas kerana aku sudah mengantuk dan tiba-tiba hidung tersumbat dan bersin. Kalau aku rajin, aku akan polish balik. Kalau tidak, aku biarkan saja.

Baca saja tidak cukup. Tengok gambar saja pun tidak cukup. Datang dan saksikan sendiri masjid besi ini. Kamu tidak akan menyesal.


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon