Langkau ke kandungan utama

Penghujung Malam

2.30 pagi, Isnin. 7.20 pagi nanti aku akan ke pejabat. Aku masih belum tidur.

Aku teringatkan soalan dari seorang sahabat;

"Bagaimana keadaan hidup sekarang?"

Kalau boleh aku mahu cari jawapan lain daripada,

"Seperti biasa. Okay saja."

Aku harap aku ada jawapan lain yang lebih menarik. Namun hakikatnya, tiada. Begitu hidup ini seharian.

Tetapi aku mungkin lebih tenang sekarang. Semenjak pulang dari Langkawi tempohari, aku rasa lebih selesa dan lebih damai. Mungkin kerana di sana aku temui secebis 'manis' dalam hidup ini. Kalau dia tidak tahu sekalipun, tidak mengapa. Dia tidak perlu tahu sebenarnya.

Tapi mungkin juga kerana aku sedar, hidup ini lebih bermakna kalau aku lebih tenang menghadapinya. Ketika memandu dan sampai di lampu isyarat, aku seboleh mungkin mahu tunggu lampu bertukar menjadi merah supaya aku boleh berhenti daripada memandu. Bukan kerana letih atau mahu berehat, kerana aku mahu sebegitu. Kalau lihat ada orang mahu melintas jalan, aku perlahankan kereta dan lalu berhenti dan biarkan mereka melintas.

Kamu tahu, tidak apa yang perlu dikejar lagi sebenarnya. Aku sudah ada semuanya. Aku sudah ada secukupnya. Lebih daripada itu, ianya suatu hadiah yang amat berharga. Seperti kata seseorang, kamu tidak perlu kejar. Ia akan datang.

Aku pernah cerita dahulu bahawa aku tidak pernah berganjak pergi dari tempat aku berdiri. Aku lihat orang lain datang dan pergi. Aku rasa aku masih begitu. Dan aku senang begitu. Bukan ada sesuatu yang merugikan lagi, rasanya. Kerana semua yang pernah aku mahukan dulu, semuanya sudah pergi meninggalkan aku. Salah aku juga ketika itu.

Sekarang aku bayar dengan harga yang amat mahal.

Apa yang ada sekarang, cuma aku dan lensa kamera. Merakam detik waktu aku lalui. Walau tiada aku dalam rakaman itu, tidak mengapa. Asalkan aku sedar, aku berada di situ ketika itu. Aku rakam apa yang ada di sekeliling aku sebelum aku lupa ianya pernah wujud. Itu satu cara.

Aku menulis di blog ini supaya apabila tiba waktu aku mungkin membacanya balik 5 - 6 tahun dari sekarang, aku sedar apa yang telah berlaku dalam hidup ini. Aku pasti aku akan tersenyum membaca setiap baris tulisan ini dan berkata dalam hati,

"Naifnya kau, Idan..."

Itu perkara mendatang. Biarkan Idan di masa itu menghadapinya nanti.

Kamu tahu apa yang aku mahukan sekarang?


Aku mahu duduk di atas jeti ini menanti senja tiba dan biarkan senja berlabuh.



Berjalan setiap pagi di tepi pantai ini menanti fajar menyinsing.

Mungkin, aku sudah kurang sesuai dengan kerja aku sekarang. Tujuh tahun adalah jangkawaktu yang sangat lama aku berada di sesuatu tempat. Cuma, hidup ini sekarang bergantung sepenuhnya dengan kerjaya ini. Aku tidak boleh ke mana-mana lagi.



Terima kasih, sahabat.

Ulasan

  1. Penghujung Malam.. ya sebenarnya inilah permulaan hidup di peringkat matang seseorang itu di alam fana ini.

    Ini bukan suatu yang luar biasa, bukan juga terkena penyakit mamai, gila-isin atau telah hilang daya kendiri.

    Saya juga pernah mengalaminya apabila mencapai tahap sebegini. Sebenarnya kes ini sama seperti kanak-kanak mengalami proses 'baligh'. Setelah bercerita dan berkongsi pengalaman dengan beberapa orang berjaya dan bergelar, mereka juga pernah mengalaminya.. cuma mereka mendiam diri saja dan tidak membukanya kepada sesiapa. Ini tidak kepada saya dan kepada Ahmad Sharidan. Saya pernah mendedahkan kepada beberapa kalangan, dan Ahmad Sharidan mendedahkan di blog ini.

    Bila ia tiba dalam hidup kita memang jadi sebagai kejutan. Lama kelamaan nanti tidak lagi.

    Ini sebenarnya rahsia perlu diteliti di PUNCAK KEHIDUPAN kita. Kita telah menjejaki dan berada di ZON SELESA KEHIDUPAN DUNIA:

    semua yang kita hendak telah dapat diperolehi, jawatan, gaji, rumah, kereta, memenuhi kehendak hobbi dan sebagainya.

    saya sendiri sekarang tidak kisah lagi pada penampilan diri sebab semua aksesori diri seperti pewangi, bedak, pakaian, kasut dan sebagainya telah dimiliki.

    Cuma satu yang memeningkan kepala dan muncul tanpa dapat diselesaikan: BERAT BADAN, NAFAS MAKIN SEMPUT, TAK BOLEH MELAKUKAN SESUATU SECARA SEMBARANGAN SEPERTI KETIKA USIA REMAJA... HANYA PERLU TERIMA HAKIKAT SAYA TELAH SEMAKIN BERUSIA... PERLU MELAKUKAN SESUATU MENGIKUT TAHAP USIA KITA. Ini rupanya ubat untuk kita jadi COOL dan cuba meredakan situasi DARAH MUDA yang pernah dimiliki suatu masa yang lalu...

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas kesimpulan yang lebih mudah.

    BalasPadam
  3. menantu mak

    BalasPadam
  4. Anonymous9:33 PTG

    ada lagi yang perlu di cari dalam kehidupan apabila usia semakin menganjak..ketenangan yang hakiki dalam jiwa yang diciptakan untuk pencipta yang esa..

    BalasPadam
  5. Anonymous9:34 PTG

    ada lagi yang perlu di cari dalam kehidupan apabila usia semakin menganjak..ketenangan yang hakiki dalam jiwa yang diciptakan untuk pencipta yang esa..

    BalasPadam
  6. apa yg sy mahu lakukan sekarang???
    pertamanya berjumpa org lain dan bercakap meluahkan apa jua rasa.sudah terlalu bosan menatap wajah yg sama.sudah terlalu lama tidak berjumpa kawan lain..tp apa kan daya diri ni tak punya ramai kwn yg menyenangkan.
    keduanya membeli semua bahan bacaan di gramedia the mines.pastinyer hidup ku lebih bahagia dengan buku2.tp apa kan daya diri ini tidak cukup kaya."ape ko ingat kedai tu bapak ko punya?".hahaha...
    ketiganya menemui idan dan mungkin berkongsi kisah lalu dia yg sgt menyentuh jiwa sambil makan di restoran makanan segera.tp apakan daya diri ini tidak mengenalinyer secara dekat hnya lewat blog ini.

    tp apakan daya...=)

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MRSM Balik Pulau (Koleksi Foto) - Part 1

Malas pula hendak bercerita mengenai Homeroom. Baik aku tunjukkan koleksi gambar yang diambil pada tahun 2003 semasa reunion MRSM Balik Pulau ketika itu. Ada lagi gambar yang akan diupload kemudian nanti. Banyak. Aku fikir ada baik aku kembali kesana suatu hari nanti untuk aku ambil gambar yang lebih baik. Ini pun guna kamera digital Kodak 3.2 megapixel. Model di atas adalah Meor. Ini sebenarnya pada zaman aku dulu merupakan kaunter untuk segala pembayaran yang berkaitan dengan yuran pembelajaran maktab. Kalau tak salah aku ianya adalah sebanyak RM30 setiap bulan. Disini juga kami akan terima wang saku daripada MARA berjumlah RM25 bagi sesiapa yang layak. Segala keputusan, slip periksa dan apa saja urusan dengan pejabat, semuanya disini. Kaunter segera tepi tingkap. Ini sebenarnya pentas dalam dewan besar maktab. Aku masih ingat semasa menjadi 'sound engineer' untuk drama arahan Amron Roni. si Amron ni pernah jadi produser untuk rancangan sembang-sembang Chef Wan di TV9 tidak l

Cikgu Zul & SmartLearning

Cikgu Zul Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar. Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat. Sebentar tadi ak

Mahu Beli Kamera DSLR? Baca Sini Dulu

Kebelakangan ini aku ditanya oleh beberapa orang rakan mengenai kamera DSLR (digital single-lense reflex). Seperti kamu sendiri sedia maklum, kamera DSLR adalah gajet terkini yang 'perlu' dimiliki. Orang ramai sudah tidak memandang kepada kamera digital biasa, sebaliknya terus ingin membeli DSLR. Mungkin kerana kamera DSLR yang tergantung di leher adalah cool atau pemilik itu benar-benar minat dengan fotografi, tidak dinafikan kamera DSLR semakin menarik minat ramai orang. Dulu, memang agak sukar untuk temui orang di sana sini memegang atau menggantung di leher sebuah kamera SLR yang besar 'gedabak'. Orang lebih selesa dengan kamera digital biasa yang boleh disimpan di dalam poket atau sarung. Ringan dan mudah. Tetapi mungkin kerana terdapat batasan keupayaan kamera digital biasa, maka DSLR sekarang semakin banyak kelihatan di tangan orang ramai. Satu lagi punca paling jelas, sebuah kamera DSLR sekarang boleh dimiliki dengan harga kurang RM2000. Model asas seperti Canon